Makan Kailan Pulih Suara
Laguku bertakhta di hatimu,
menggetar rasa,
Sorakan bergema mempesona,
daku bahagia,
Itulah secebis daripada lirik
lagu yang Siti tulis sendiri untuk
album terbaru yang bakal
dipasarkan, bermula esok.
Album itu diberi judul ‘Adiwarna’
yang bermaksud amat bagus
atau amat indah. Namun, Siti
tidak berani meletakkan harapan
terlalu tinggi. Cuma Siti berharap
peminat menilai sendiri
keindahan yang dimaksudkan
dalam album itu.
Baiklah, minggu ini, Siti ingin
berkongsi pengalaman Siti
dengan peminat semua
sepanjang menghasilkan album
berkenaan.
Lagu yang mula-mula Siti rakam
ialah ciptaan Azmeer berjudul
Purnama Merindu. Itulah kali
pertama Siti bekerjasama
dengan abang Azmeer dan lagu
itu dirakamkan pada bulan
puasa.
Bagi Siti, abang Azmeer baik.
Dia pelembut dan Siti mudah
mengikut apa yang
dikehendakinya untuk
mencantikkan melodi lagu itu.
Apabila habis rakaman, kami
sama-sama pergi ‘supper’ dan
masing-masing puas hati dengan
percubaan pertama itu.
Bekerja dengan abang D (Adnan
Abu Hassan) memang Siti sudah
biasa, iaitu sejak daripada album
pertama lagi. Ketika
menyanyikan ‘guide’ untuk lagu
Gelora Asmara, iaitu sebelum
rakaman sebenar dibuat, Siti
mampu menarik ‘key’ yang tinggi
pada bahagian korusnya.
Malam esoknya, suara Siti agak
tersekat-sekat, banyak kali juga
mencuba. Selepas itu, abang D
sarankan agar Siti makan nasi
dengan sayur kailan ikan masin
sebab malam sebelumnya Siti
mampu menarik suara tinggi
selepas makan makanan itu.
Apalagi, selepas makan saja
sayur kailan ikan masin, Siti
mampu menyanyikan lagu
berkenaan walaupun pada nada
tinggi. Emmm...bagus juga idea
abang D ya!
Lagu Aku Cinta Padamu banyak
meninggalkan kenangan manis
dalam kerjaya Siti sebagai
penyanyi. Kali ini Siti
bekerjasama lagi dengan
pencipta lagu itu, iaitu LY. Dia
mencipta dua lagu, iaitu Sendiri
dan Demi Kasih Sayang.
Di studio, Cikgu LY masih
memainkan peranan seperti
seorang guru (dia memang guru.)
Dia ‘toucher’ Siti di studio untuk
mendapatkan sesuatu yang
terbaik. Dia baik hati tetapi
selalu ejek Siti macam-macam!
Dengan abang Salman pula,
pada mulanya Siti takut juga
sebab mukanya serius saja. Itu
pada mulanya saja sebab Siti
tak pernah berjumpa dengannya
sebelum rakaman di studio.
Selepas itu, kami jadi okey dan
Salman mencipta lagu berjudul
Laguku Di Hatimu.
Pengalaman bekerjasama
dengan abang Johari Teh juga
menyeronokkan kerana dia
banyak memberi kebebasan
untuk Siti menyampaikan lagu
ciptaannya yang berjudul Tak
Rela Berpisah Darimu.
Bagi lagu Kitakan Bersama, ia
diterbitkan Zuraini. Ini lagu
terakhir yang Siti rakamkan, iaitu
kira-kira tiga minggu sebelum
album dipasarkan. Lagu
berkenaan ‘catchy’ dan Zuraini
juga menjadi penyanyi pengiring
untuk lagu itu. Suara dia pun
sedap!
Lagu berjudul Diari Hatimu ada
sejarah tersendiri kerana lagu itu
siap dirakamkan untuk album
kedua tetapi tidak dimasukkan.
Siti menyukai lagu itu dan
merakamkannya semula untuk
dimuatkan di dalam album
terbaru. Lagu itu ciptaan Ferdi
Khalid Ns, orang baru berpotensi
besar.
Pencipta lain yang terbabit
dalam album ini ialah Malek
Osman dan Azlan Abu Hassan
tetapi lagu masing-masing
diterbitkan oleh Zuraini dan
Adnan Abu Hassan. Siti
menyukai lagi ciptaan mereka,
iaitu Kitakan Bersama dan Satu
Cinta Dua Jiwa.
Semoga anda menyukai album
terbaru ini. Salam mesra selalu
dan jumpa lagi.
Wassalam.