Siti Tak Kecil Hati
Assalamualaikum dan
salam sejahtera buat pembaca
Metro Ahad, Siti doakan anda
semua sihat sejahtera dan dapat
menjalankan tugas harian dengan
sempurna.
Seperti yang kita ketahui,
Anugerah Industri Muzik Malaysia
(AIM 98) berjalan lancar pada 12
April lalu. Siti yakin, ramai
peminat menyaksikannya di kaca
tv kerana rancangan itu bukan
saja disiarkan secara langsung
menerusi saluran Astro Ria tetapi
penonton TV1 juga dapat
menyaksikannya.
Pada kesempatan ini, Siti
mengucapkan tahniah kepada
semua pemenang. Siti kagum
dengan pencapaian kumpulan
nasyid kontemporari, Raihan yang
banyak membolot hadiah malam
itu. Begitu juga kumpulan
berbakat besar, Innuendo yang
meraih enam anugerah.
Walaupun Siti tidak membawa
pulang sebarang anugerah, Siti
tidaklah berkecil hati kerana
semua yang berjaya pada malam
itu, hebat-hebat belaka.
Bagi Siti, kejayaan, kekalahan,
populariti dan sebagainya
bukanlah menjadi agenda utama
dalam karier seseorang artis.
Anugerah adalah satu
pengiktirafan yang kita terima
tetapi karier adalah satu
tanggungjawab yang harus dipikul
dan dilaksanakan dengan baik.
Alhamdulillah, karier Siti hari ini
sudah dapat diterima ramai dan
Siti akan sentiasa melakukan
yang terbaik untuk peminat Siti.
Siti juga bersyukur kerana
peminat Siti sentiasa memberi
sokongan dan tidak kecewa
dengan kegagalan Siti meraih
anugerah pada malam itu, malah
lebih ramai yang memberikan
kata perangsang.
Jika ada pihak yang berkata Siti
berkecil hati dan tidak puas hati
dengan keputusan yang
diumumkan, ia tidak benar sama
sekali. Sebelum AIM
berlangsung, Siti sudah boleh
terima apa juga kemungkinan.
Siti juga berminat meminjam
kata-kata abang M Nasir ketika
ucapannya di majlis Anugerah
Skrin dan Bintang Popular tahun
lalu, iaitu "semua orang diberikan
peluang dan mungkin ini
peluangnya".
Baiklah kita beralih pula kepada
cerita lain. Walaupun di Lembah
Klang sekarang mengalami
masalah air dan jerebu, ada acara
hebat yang sedang berlangsung.
Apa yang Siti maksudkan ialah
Sukan Malaysia (Sukma) ke-7
yang Selangor menjadi tuan
rumah. Walaupun bergelar artis,
Siti tetap meminati bidang sukan
seperti pada zaman sekolah dulu.
Bermula kelmarin hingga 26 April
ini, atlit seluruh negara berkumpul
di Selangor. Siti tertarik bercerita
mengenai Sukma kerana negara
kita juga akan menjadi tuan
rumah temasya sukan kedua
terbesar dunia, iaitu Sukan
Komanwel.
Siti bangga menjadi anak
Malaysia kerana golongan artis
juga boleh menyumbangkan
sesuatu untuk Sukma dan Sukan
Komanwel. Sejak tahun lalu lagi,
artis giat membantu
mempromosikan Sukan
Komanwel menerusi
persembahan mereka.
Insya-Allah jika tiada aral
melintang, Siti akan muncul
dalam persembahan penutup
Sukma pada 26 April depan. Siti
berharap lebih ramai artis dapat
menyumbangkan sesuatu demi
kemajuan sukan negara.
Siti juga difahamkan, ada
beberapa persatuan dan kelab
sukan membabitkan artis. Aktiviti
yang mereka lakukan juga dapat
memberi manfaat, termasuk
menjalinkan hubungan baik artis
dengan orang ramai.
Sesekali turun padang dan
berehat daripada kegiatan
hiburan, seronok juga. Jika ada
kesempatan, Siti juga teringin
bersukan dengan artis lain.
Sampai di sini catatan Siti.
Semoga bertemu kembali minggu
depan. Salam Cindai.