Cipta Kejayaan Buat Negara
Assalamualaikum dan
salam sejahtera buat semua
pembaca Metro Ahad. Seperti
biasa, Siti mendoakan agar anda
semua sentiasa sihat sejahtera
bersama teman dan keluarga.
Sekarang, di mana saja orang
sibuk memperkatakan mengenai
Piala Dunia France ’98.
Kemeriahannya begitu dirasai
hingga ada yang dilanda ‘demam’
bola sepak.
Namun, dalam pada kita ghairah
bercerita mengenai Piala Dunia,
kita juga harus ingat bahawa
negara kita juga akan berhadapan
dengan satu temasya
seumpamanya tidak lama lagi.
Jika hendak dihitung, Sukan
Komanwel (Sukom) ke-16 hanya
tinggal 82 hari lagi.
Tentulah sukan kedua terbesar di
dunia selepas Sukan Olimpik
bakal mengukir satu lagi sejarah
abadi dalam diari negara kita.
Sebagai anak Malaysia, Siti turut
bangga kerana negara kita terpilih
menjadi tuan rumah buat kali
pertama dan kita sudah hampir
benar untuk merealisasikannya.
Kita memang tidak dapat lari
daripada ingin menyaksikan acara
gilang gemilang dan bersejarah
ketika upacara pembukaan serta
penutup nanti.
Sebagai suara kerdil, barangkali
pendapat Siti boleh mewakili
hasrat masyarakat kita yang
mahukan upacara berkenaan
punya identiti, ada nilai budaya
yang mampu mengungkap mimpi
paling indah bagi pengunjung luar,
termasuk yang menontonnya
secara langsung menerusi
televisyen.
Alangkah bahagianya menjadi
warga Malaysia yang punya
budaya pelbagai dan jalinan
pelbagai bangsa yang bersatu
harmonis dalam satu negara.
Walau apa pun bentuk
penganjuran atau persembahan di
acara pembukaan dan penutup
Sukom nanti, Siti berharap ia
melambangkan negara dan
identiti kita. Seluruh masyarakat
dunia tertumpu kepada kita pada
tarikh sejarah itu dan ayuhlah kita
hidangkan apa yang ada di
negara kita.
Dan yang paling utama... sebagai
peminat sukan, Siti berdoa agar
atlit negara kita akan dapat
mencipta kejayaan buat negara.
Inilah masanya untuk
membuktikan bahawa Malaysia
Boleh!
Jika negara sudah menyaksikan
sejarah manis dengan kejayaan
ekspedisi ke Everest dan juga
penerjunan di Kutub Utara,
barangkali bakal ada kejayaan
yang lebih indah di negara sendiri.
Buktikanlah ia di Sukom nanti.
Malaysia Boleh!!! Yakin Boleh!!!
Sekian dahulu catatan Siti pada
minggu ini. Semoga bertemu
kembali di lain keluaran. Salam
mesra selalu.
Wassalam