a.r.t.i.c.l.e.s







Nanti Klip Video Siti

Assalamualikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad.

Selamat bertemu kembali di ruangan Lenggok Siti. Seperti biasa, Siti mengharapkan agar anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Ketika anda menatap ruangan ini, Siti sedang sibuk menjalani penggambaran klip video untuk lapan lagu di dalam album Cindai. Siti sudah pun menyiapkan dua klip video, Cindai dan Joget Berhibur. Amacam klip video tu...okey tak?

Sekurang-kurangnya dapat juga peminat melihat Siti berlakon tanpa dialog. Tidaklah ada yang kempunan lagi, bukan?

Buat pengetahuan semua, bermula hari ini, Siti akan turun ke lokasi untuk menjalani penggambaran klip video. Semua penggambarannya akan dibuat di beberapa lokasi menarik di Pahang.

Eh! Jangan ada yang marah pula sebab Siti memilih Pahang saja. Sebenarnya, pemilihan ini dibuat kerana Siti mahu menampilkan satu konsep tersendiri untuk klip video Siti yang terbaru ini. Semua klip video ini akan dimuatkan dalam satu pita video yang akan diedarkan sebaik saja semuanya selesai.

Tempoh tayangan sesebuah klip video biasanya empat hingga lima minit tetapi penggambarannya tidaklah sesingkat itu. Adakalanya menjangkau masa hingga dua hari untuk menyiapkannya.

Bagi peminat yang menonton klip video itu, tentu anda tidak terasa bahawa penggambarannya memakan masa yang lama.

Contohnya, untuk klip video lagu Cindai yang dibuat di sekitar bandar Melaka. Siti memulakan penggambaran pada awal pagi dan hanya berakhir pada sebelah malamnya.

Apabila bercakap soal penat, memanglah tidak boleh dinafikan tetapi untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik, Siti terpaksa berkorban masa. Itu sudah menjadi adat dan Siti gembira melakukannya.

Klip video Cindai menampilkan tempat menarik di Melaka. Antaranya Siti berpeluang menunggang kereta lembu ketika berkunjung ke Kota A Famosa. Selain itu, Siti juga ke perkampungan Portugis dan melihat kesan sejarah di situ.

Bagi klip video Joget Berhibur pula, Siti menggunakan lokasi istana lama Seri Menanti yang masih berdiri teguh hingga ke hari ini. Untuk penggambaran di situ, Siti berpeluang mengenakan pakaian tradisional Negeri Sembilan di samping dapat menjalani penggambaran di beberapa sudut yang cukup menarik di dalam istana berkenaan.

Hari ini, Siti berada di Kuala Lipis untuk penggambaran klip video lagu Laksamana Mati Dibunuh. Sambil bekerja, bolehlah juga Siti singgah di kampung untuk bertemu keluarga.

Namun, Siti tidak lama di sana kerana terpaksa bertolak ke Kuantan untuk penggambaran klip video yang lain. Selepas ke Kuantan, destinasi seterusnya pula bandar diraja Pekan. Mungkin Siti ambil masa empat atau lima hari untuk menyelesaikan semua penggambaran ini.

Apabila semuanya sudah selesai, barulah Siti akan kembali ke Kuala Lumpur untuk melakukan tugasan lain pula.

Untuk makluman peminat Siti, pita klip video Siti kali ini menampilkan tempat menarik di negara kita. Walaupun untuk 10 lagu, kali ini lebih memaparkan Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan, Siti berharap untuk klip video yang akan datang, Siti memilih negeri lain pula.

Sekian saja coretan Siti untuk minggu ini. Semoga bertemu kembali. Salam mesra selalu.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|