a.r.t.i.c.l.e.s







Siti Idam Konsert Solo

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad, terutama yang mengikuti ruangan Lenggok Siti. Semoga anda semua dalam keadaan sihat dan gembira dengan tugasan harian.

Jika anda membaca ruangan ini minggu lalu, tentu anda masih ingat, Siti ada menyebut mengenai konsert Siti di Tawau, Sabah.

Alhamdulillah, konsert yang berlangsung Ahad lalu, mendapat sambutan di luar dugaan Siti. Siti sendiri berasa terharu dengan sambutan yang diberikan peminat Siti di sana.

Di kesempatan ini juga, Siti ingin merakamkan terima kasih Siti kepada penganjur konsert Malam Aku Cinta Padamu, iaitu Jamil Aziz dari Sumber Karya. Begitu juga penaja utama konsert, Nescafe Classic.

Konsert berkenaan adalah konsert ketiga Siti di Sabah. Tahun lalu, Siti berpeluang mengadakan konsert di Sandakan dan Kota Kinabalu.

Kalau hendak digambarkan dengan perkataan, mungkin sukar bagi Siti tetapi yang pasti, Siti gembira kerana dapat bertemu peminat di luar Semenanjung.

Peluang yang ada bukannya selalu datang tetapi Siti rasa cukup gembira. Bagaimanapun, Siti tidak dapat lama di Tawau kerana terpaksa bergegas semula ke Kuala Lumpur pada keesokannya.

Kepada peminat Siti yang datang menonton konsert pada malam berkenaan, Siti mengucapkan terima kasih atas sikap ‘sporting’ anda. Keadaan konsert pada malam itu juga terkawal dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku.

Begitu juga kepada peminat yang menunggu di lapangan terbang, termasuk yang sanggup menanti Siti di lobi hotel.

Cuma yang paling penting di sini ialah Siti ingin berkongsi sesuatu dengan peminat menerusi sebarang pertunjukan yang Siti adakan. Walaupun kita berseronok dan berhibur, banyak perkara lain yang harus kita fikirkan.

Siti juga tidak lupa menyelitkan mesej dan nasihat berguna untuk dihayati peminat yang datang menyaksikan pertunjukan Siti.

Oh! ya, bercakap mengenai konsert, Siti tahu ramai peminat Siti yang bertanyakan mengenai konsert solo Siti. Bagi Siti, setiap penyanyi pasti mempunyai impian untuk muncul dengan konsert sendiri.

Siti juga berhasrat muncul dalam satu konsert terbesar sebagai hadiah paling bermakna buat peminat semua. Bagaimanapun, buat masa ini, Siti belum dapat beri kata putus mengenai konsert berkenaan kerana semuanya masih dalam perancangan.

Insya-Allah, jika tiada aral melintang, ia akan terlaksana jua. Siti harap anda semua sabar menantikan detik yang memberikan sejarah tersendiri untuk Siti sepanjang bergelar artis.

Sebenarnya bukan satu perkara mudah untuk membuat konsert berkenaan kerana perancangan yang teliti perlu dibuat. Bagi Siti, biarlah konsert berkenaan dirancang dengan baik agar ia berjaya dan peminat Siti akan puas hati.

Sekian dahulu catatan Siti minggu ini. Bertemu kembali minggu depan. Sambutlah salam paling manis daripada Siti buat anda semua. Bye.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|