a.r.t.i.c.l.e.s







Siti Belajar Hargai Masa

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna.

Tanggal 29 Mei lalu, genaplah 25 tahun pemergian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Sepanjang minggu lalu, banyak acara yang diadakan untuk mengenang jasa beliau dalam bidang seni, khususnya nyanyian dan perfileman.

Malam semalam, Siti berkesempatan muncul dalam rancangan khas mengenang P Ramlee, iaitu Terima Kasih... Lagendaku. Kesemua artis yang terbabit menyanyikan lagu P Ramlee.

Begitulah...walaupun sudah 25 tahun beliau meninggalkan kita, namanya terus menjadi sebutan.

Kini, Jun datang lagi. Hari ini adalah hari terakhir kita berada dalam bulan Mei. Siti sendiri dapat merasakan bahawa masa berlalu begitu cepat. Namun, kita harus belajar menjadi seorang yang menghargai masa.

Terlalu banyak agenda yang harus kita selesaikan sebelum tamat 1998. Siti yakin, setiap daripada kita mempunyai pelbagai perancangan untuk masa depan dan kemajuan dalam diri.

Sebagai artis, Siti tidak nafikan, masa adalah peluang. Peluang yang ada di depan mata adalah pertarungan. Dalam pertarungan itu, tidak ada yang kalah atau menang kerana masing-masing mahu ke kemuncak.

Namun, jalan untuk ke kemuncak itu penuh dengan rintangan. Salah satu yang Siti rasakan rintangan bagi golongan artis ialah fitnah, gosip dan pelbagai cerita kosong yang diperbesar-besarkan.

Berdasarkan pengalaman yang masih cetek, Siti akui pernah putus semangat dan hampa. Namun, sedikit demi sedikit, pengalaman yang Siti kutip itu Siti jadikan penguat semangat.

Siti akur, kemenangan yang paling besar adalah kesabaran. Itulah yang harus kita pegang agar kita tidak menjadi insan yang putus asa. Jangan biarkan tulang temulang kita kecewa kerana bertuankan seorang insan yang lemah.

Kita harus kuat semangat, harus ada jati diri kerana dugaan yang datang itu adalah ujian yang mengandungi pelbagai hikmah. Sebagai manusia biasa, masing-masing ada kekurangan dan kelemahan. Hati dan perasaan yang berbeza dan detik hati yang tidak mungkin sama.

Zaman ini, zaman untuk bekerja kuat. Zaman untuk berganding bahu dan bukan untuk jatuh-menjatuhi sesama sendiri. Jangan biarkan perlumbaan ini dimenangi seorang diri, biarlah dapat diraikan beramai-ramai.

Sekian dahulu catatan Siti kali ini. Bertemu kembali minggu depan. Salam mesra selalu.

Wassalam


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|