a.r.t.i.c.l.e.s







Tanpa Peminat Siapalah Siti

Apa khabar semua pembaca Metro Ahad? Siti doakan agar anda semua dalam keadaan baik dan sihat sejahtera pada hari minggu ini. Tradisi kunjung mengunjung sempena Aidilfitri tentu berterusan, terutama di bandar.

Kali ini, Siti rasa tertarik untuk menulis mengenai artis dan peminat. Ilham ini tercetus ketika Siti sedang membelek ratusan kad raya dan surat kiriman peminat.

Memang sukar Siti membalas semua pemberian itu dalam waktu singkat. Namun, Siti bersyukur kerana sebahagian daripada surat dan kad peminat dapat dibalas. Sebahagian lagi, Siti cuba balas secara beransur-ansur.

Pada pendapat Siti, begitu besar maknanya peminat dalam hidup seseorang yang bergelar artis. Seperti yang selalu disebut, tanpa peminat siapalah artis. Siti setuju dengan pandangan itu kerana peminatlah yang banyak memberi sokongan kepada artis.

Namun, ada juga yang kurang enak didengar apabila ada peminat menyangka artis tidak menghargai mereka. Sebenarnya, banyak cara penghargaan cuba diberi. Ada secara zahir dan sebaliknya.

Bukannya Siti tidak pernah rasa terkilan atau kesal apabila tidak dapat melayan peminat dan bertemu dengan lebih dekat lagi setiap kali selepas membuat persembahan.

Segalanya bergantung pada keadaan ketika itu. Jika terlalu ramai dan akan menyebabkan sesuatu tidak diingini, mungkin peluang bertemu peminat sekejap saja. Kalau semuanya dalam keadaan baik, Siti tidak ada masalah untuk bersama lebih lama.

Setakat ini, Siti amat bersyukur kerana peminat Siti begitu prihatin dan memahami keadaan Siti walaupun Siti tahu, ada antara mereka sedih dan terkilan jika hasrat bertemu artis tidak tercapai.

Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata kerana hendak bertemu, bergambar, mendapatkan tanda tangan, memberi hadiah atau pun sekadar bersalaman.

Namun, bayangkanlah jika jumlah peminat ketika itu terlalu ramai? Bagaimanakah seseorang artis dapat melayani semuanya... Tentu perkara itu sukar, bukan? Mungkin juga artis itu terpaksa berkejar ke tempat lain kerana ada urusan tertentu yang perlu dilaksanakan dengan segera.

Siti amat berharap situasi ini difahami kedua-dua belah pihak. Secara jujur, Siti begitu menghargai peminat semua dan Siti yakin artis lain juga begitu.

Sebagai salah satu tanda terima kasih dan penghargaan Siti kepada peminat semua, Siti ada menulis sebuah lirik untuk lagu terbaru yang bakal dimuatkan di dalam album keempat Siti nanti. Ceritanya berkisar mengenai Siti dan peminat.

Begitu juga sebagai artis, Siti mahu sentiasa memuaskan hati peminat baik dalam apa jua perkara. Peminat biasanya terlalu prihatin dan sentiasa mengikuti perkembangan artis. Mereka ibarat mata dan telinga kepada artis berkenaan.

Semoga selepas ini tidak ada lagi peminat yang tersalah anggap kerana apa jua bentuk sokongan yang anda berikan, pastinya akan dihargai artis.

Salam sayang daripada Siti.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|