Siti Jadi Penceramah
Syukur alhamdulillah
kerana dapat bertemu lagi di
dalam ruangan ini. Siti
mendoakan semua pembaca
Metro Ahad, terutama peminat
Siti, sentiasa bahagia dan
sejahtera.
Minggu lalu, Siti berkesempatan
pulang ke kampung untuk
beberapa hari. Secara tidak
sengaja, Siti diundang memberi
sedikit motivasi kepada pelajar
Sekolah Menengah Clifford
(SMC), bekas sekolah Siti.
Walaupun Siti akui bukanlah
orang yang layak memberi
ceramah atau motivasi kepada
pelajar yang bakal menghadapi
peperiksaan PMR, SPM dan
STPM tetapi undangan bekas
pengetua Siti, tidak dapat Siti
tolak.
Turut sama memberikan motivasi
pada hari itu ialah bekas
Presiden Majlis Belia Malaysia
yang juga Ahli Dewan Undangan
Benta, Datuk Suhaimi Ibrahim
dan juga bekas guru Siti yang
juga PPD di Kuala Lipis, iaitu
Syed Mohamed Syed Agil.
Mengenangkan sudah lama Siti
tidak menjenguk sekolah yang
banyak meninggalkan kenangan,
Siti tidak keberatan kerana itulah
peluang Siti untuk bertemu
semula dengan guru dan teman
yang masih berada di Sekolah
Menengah Clifford.
Siti bersyukur walaupun kerjaya
artis sering dipandang rendah
dan ada pihak yang beranggapan
bahawa artis kurang
mementingkan ilmu tetapi
alhamdulillah, dengan sedikit
pengalaman, Siti diberi peluang
berkongsi pendapat, idea dan
nasihat untuk adik-adik yang
bakal menduduki peperiksaan
tahun ini.
Pada sesi ceramah satu
setengah jam itu, Siti juga dapat
menimba pengalaman sebagai
seorang motivator. Memang Siti
agak gentar dan berdarah
gemuruh juga berucap di depan
ramai pelajar tetapi Siti berusaha
untuk berkongsi sesuatu dengan
mereka.
Minggu lalu, Siti sudah
menceritakan sedikit sebanyak
mengenai persembahan When
Rivers Meet pada 13 hingga 16
Ogos nanti, di Auditorium DBKL,
bermula jam 8.30 malam.
Siti sudahpun mula mengadakan
latihan dan acara ini adalah acara
besar yang menarik serta dapat
menyorot pelbagai kisah sejarah
dan mengangkat budaya kita.
Setelah beberapa hari menjalani
latihan, Siti dapat merasakan
bahawa halus dan agungnya seni
budaya kita.
Siti juga berharap, anda semua
tidak melepaskan peluang untuk
hadir sama menonton When
Rivers Meet pada 14 dan 15
Ogos yang dibuka kepada orang
ramai.
Hari ini, sebuah majalah dan juga
pihak Suria Records
mengadakan majlis pertemuan
Siti dengan peminat. Ini adalah
kali kedua Siti bertemu secara
dekat dengan peminat tersayang.
Semoga majlis seumpama ini
dapat mengeratkan hubungan
artis dengan peminat.
Sekian dahulu catatan Siti kali
ini, salam mesra selalu. Jumpa
lagi minggu depan. Insya-Allah.