trademark articles: page 1


Siti Nurhaliza Rangkul 4 Anugerah


SITI NURHALIZA Taruddin menyifatkan isu dan gossip yang kerap melanda dirinya banyak membantu meningkatkan populariti sekali gus melayakkan dia menjadi artis paling popular pada 1996.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur gossip liar itu tidak melemahkan semangat peminat untuk memberi sokongan padu terhadap kariernya sebagai penyanyi.

Siti yang ditemui selepas menerima anugerah itu berazam untuk meningkatkan lagi usahanya dan memantapkan karier seninya sebagai penyanyi yang baik di masa depan.

"Ini adalah cabaran bagi saya. Saya tidak pernah menyangka dapat memenangi semua kategori yang dicalonkan. Ia seolah-olah memaksa saya meningkatkan lagi azam saya untuk menjadi penyanyi yang baik dan serba boleh di masa depan," katanya sewaktu ditemui selepas majlis Anugerah Skrin dan Bintang Popular 1996 di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam, semalam.

Mengenai popularitinya yang terlalu mendadak, Siti berkata, dia tidak bimbang jika ia tidak berkekalan.

"Hari ini hari saya. Mungkin esok hari orang lain. Siapa tahu jika tahun depan kategori ini akan dimenangi oleh orang lain. Apa yang pasti adalah saya harus mencuba yang terbaik bagi mengekalkan populariti saya di masa depan," katanya.

Selain artis paling popular untuk tahun lalu, Siti turut memenangi tiga kategori lain iaitu Artis Remaja Popular, Penghibur TV Popular dan Penyanyi Wanita Popular. Semua anugerah itu melayakkan Siti membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM22,000.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peminat saya di seluruh negara, tidak ketinggalan kepada akhbar Berita Harian dan TV3 yang berjaya menganjurkan acara penuh berprestij untuk tahun ini," katanya.

Source: Berita Harian (Dated 25-8-97)

[prologue] [profile] [albums] [awards & achievements]
[photo gallery] [articles] [guestbook]


Hakcipta Terpelihara (c) Kal_El 1997
E-mail: kal_el7@rocketmail.com