a.r.t.i.c.l.e.s







Sibuk Hadapi SUKOM

Apa khabar pembaca semua? Siti berharap semuanya sihat dan gembira selalu. Sejak beberapa minggu ini, Siti memang sibuk dengan pelbagai aktiviti. Memanglah terdetik juga rasa cemburu di hati Siti apabila melihat orang lain mempunyai waktu rehat.

Namun, apabila difikirkan kembali bahawa apa yang Siti lakukan hari ini adalah satu tanggungjawab dan jalan yang Siti pilih, penat dan lelah bukan lagi satu bebanan.

Selepas tamat program ‘When Rivers Meet’, Siti terpaksa menumpukan perhatian kepada persembahan majlis pembukaan dan perasmian Sukan Komanwel ’98.

Walaupun latihan minggu ini tidak banyak, persediaan dari segi mental dan fizikal harus dilakukan setiap hari.

Pemilihan itu, bagi Siti adalah satu penghormatan dan mungkin tidak ada peluang kedua selepas ini. Entah bila sukan kedua terbesar di dunia itu kembali semula ke Malaysia. Siti sendiri tidak dapat bayangkan, apa akan berlaku pada Siti waktu itu!

Oh! Ya, selain Siti, penyanyi Noraniza Idris, Anuar Zain dan Roy juga sama-sama menjayakan persembahan pada majlis perasmian dan pembukaan Sukom pada 11 September di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

Bagi acara penutup pada 21 September pula, Siti akan sekali lagi berganding dengan Noraniza. Dua lagi artis yang turut terbabit ialah Jay Jay dan Jamal Abdillah.

Ayuhlah sama-sama kita saksikan acara itu dan memberi sokongan kepada atlit negara. Semoga semua atlit kita akan memperoleh kejayaan dan dapat menanam semangat kesukanan yang tinggi dalam diri masing-masing.

Di samping sibuk menjalani latihan untuk Sukom, Siti sempat mencuri-curi masa untuk menjalani rakaman klip video album terbaru Siti di Langkawi pada 25 hingga 27 Ogos ini.

Seperti album Aku Cinta Padamu dan Cindai, Siti akan menyiapkan 10 klip video untuk album Adiwarna. Setakat ini, Siti telah menyiapkan klip video Purnama Merindu dan tinggal sembilan klip video lagi. Jika sebelum ini Siti memilih Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan, kali ini syarikat rakaman memilih Pulau Langkawi.

Pada kesempatan ini, Siti ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Pelangi Beach Resort, Langkawi kerana telah menaja penginapan Siti dan wakil syarikat rakaman di hotel terkenal itu.

Memandangkan agak lama juga tidak berkunjung ke Langkawi, Siti berharap agar kunjungan kali ini dapat melapangkan fikiran walaupun Siti ke sana bukan untuk bercuti.

Pihak syarikat rakaman Siti ada memberitahu bahawa penggambaran klip video Siti di sana akan diadakan di tempat yang menarik. Sebab itulah Siti mahu melapangkan fikiran dan di samping itu, Siti dapat melawat tempat yang belum pernah Siti lawati di Langkawi.

Sekian dahulu catatan Siti, minggu ini. Bertemu kembali di minggu depan.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|