Siti Bantu Isi Tabung Negara
Sikit-sikit, lama-lama
jadi bukit. Dalam keadaan
negara sekarang, kita harus
memainkan peranan agar
ekonomi negara dapat
dipulihkan. Walaupun isu ini
bukanlah perkara baru, kita tidak
harus berdiam diri atau memeluk
tubuh kerana masing-masing ada
tanggungjawab.
Alhamdulillah, bermula pagi ini
hingga ke petang nanti, Siti dan
beberapa rakan artis lain akan
turut sama berganding bahu
dalam usaha mengutip tabung
bagi membantu memulihkan
ekonomi negara.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr Mahathir Mohamad akan
melancarkan Dana Khas Negara
di Dataran Merdeka, Kuala
Lumpur.
Siti juga diundang bersama
menjayakan program ini.
Walaupun sumbangan Siti tidak
sebesar mana, Siti rasa amat
bertuah kerana dapat
menyumbangkan sesuatu untuk
negara.
Pada majlis pelancaran Dana
Khas Negara ini, para artis yang
terbabit bukan saja membuat
persembahan tetapi turut sama
menggalakkan orang ramai
menyumbang sesuatu bagi
mengisi dana negara.
Jika tiada aral, selepas majlis
pelancaran dibuat PM, orang
ramai boleh memberi sumbangan
dan berpeluang menemui artis
secara dekat. Siti difahamkan
juga, sesiapa yang mahu
menemui artis kesayangan
mereka atau ingin mendpatkan
tandatangan, mereka haruslah
membuat sumbangan.
Sebenarnya, apa jua bentuk
sumbangan anda, janganlah
dianggap sesuatu yang dipaksa.
Insya-Allah, jika niat anda ikhlas
untuk membantu negara, Tuhan
akan membalasnya dengan
kebaikan.
Sama-samalah kita tanamkan
niat bahawa sumbangan yang
diberikan itu ikhlas demi negara
kita yang tercinta.
Siti bersyukur kerana golongan
artis turut diberi peluang untuk
sama-sama mendokong setiap
usaha kerajaan. Apa yang kami
lakukan pada hari ini cukup
besar ertinya, malah kami rasa
sungguh berbesar hati atas
kepercayaan yang diberikan oleh
kerajaan.
Kepada anda yang ingin
memberi sumbangan, silalah
datang ke Dataran Merdeka hari
ini dan jumpa Siti di sana.
Oh! ya, minggu ini Siti tidak
mahu bercerita panjang
mengenai album pop terbaru Siti
yang akan berada di pasaran,
akhir bulan ini. Mungkin minggu
depan Siti akan bercerita lebih
panjang.
Mengenai album berkenaan, Siti
berasa sungguh gembira kerana
dapat melahirkan album keempat
yang juga album pop Siti yang
ketiga. Alhamdulillah, penantian
Siti dan juga penantian peminat
akan berakhir sedikit masa lagi.
Seperti biasa, setiap kali album
baru hendak muncul di pasaran,
Siti akan berdebar. Namun, Siti
mengharapkan agar album
berkenaan dapat memenuhi cita
rasa peminat Siti. Insya-Allah.
Jangan lupa dapatkan yang asli
kerana kita juga masih berusaha
membanteras gejala cetak
rompak. Ini juga satu masalah
besar yang masih tidak dapat
diatasi secara menyeluruh.
Sekian dahulu catatan Siti kali
ini. Bertemu kembali minggu
depan. Salam mesra selalu.
Wassalam.