Tahniah Buat Pengantin
Apa khabar pembaca
Metro Ahad? Minggu ini, Siti
ingin berkongsi pengalaman
dengan peminat tersayang dan
para pembaca semua.
Siti tertarik pada satu pepatah
masyarakat Cina yang masih
Siti ingat hingga hari ini, iaitu
"perjalanan untuk 1,000 batu itu
bermula dengan langkah
pertama".
Pepatah berkenaan bukan saja
mengungkap makna yang cukup
luas tetapi pengertiannya juga
mendalam. Sebagai seorang
anak kecil yang masih belum
dapat meramalkan masa
hadapannya, Siti hanya pandai
menyanyi untuk menghiburkan
hati sendiri.
Apabila masuk alam
persekolahan (sekolah rendah),
Siti hanya berpeluang
menjayakan persembahan
sempena hari penyampaian
hadiah, hari guru dan majlis
kebudayaan.
Ketika itu Siti bukanlah belum
apa-apa. Yang menontonnya
juga adalah di kalangan guru,
teman sekolah dan penduduk
kampung. Lebih bangga jika ada
kaum keluarga memberi
sokongan.
Mungkin kerana dilahirkan dalam
keluarga yang mempunyai minat
dalam bidang seni, Siti mula
menunjukkan minat apabila
masuk sekolah menengah.
Peluang memasuki pelbagai
pertandingan semakin terbuka.
Bukan gelaran juara yang
hendak disandang tetapi apabila
menyertainya dengan
berpakaian cantik, muka terpalit
solekan dan ramai yang datang
menonton, itu sudah menjadi
satu kepuasan.
Ketika itu, fikiran juga tidak
macam orang dewasa. Apa saja
yang dirasakan, mahu
dilakukan.
Alhamdulillah. Berkat sokongan
ramai, Siti berjaya dalam satu
pertandingan yang paling
bermakna dalam hidup Siti
hingga ke hari ini. Siti telah
bergelar Juara Bintang Hiburan
Minggu Ini TV1 pada penghujung
1995.
Bermula dari situlah, Siti
diperkenalkan kepada pihak
Suria Records dan ditawarkan
menjadi artis mereka.
Alhamdulillah, hingga hari ini,
Siti telah menghasilkan tiga
album solo bersama syarikat
berkenaan.
Ramai yang berpendapat senang
jadi artis, boleh hidup mewah
tetapi sebenarnya betapa berat
mata memandang, berat lagi
bahu Siti untuk memikulnya.
Sejarah Siti selama kurang tiga
tahun bergelar artis, mungkin
sudah diketahui peminat semua.
Selama jangka waktu itulah, diri
Siti tidak pernah sunyi dengan
pelbagai kontroversi, cemuhan,
fitnah dan tidak kurang juga
yang cuba hendak menabur
pasir ke periuk nasi Siti.
Namun, kesukaran inilah yang
telah membangkitkan semangat
Siti untuk lebih bersedia
mendepani semua kemungkinan
ini. Barangkali tidak mudah
mengecapi kejayaan tanpa
cabaran.
Siti bersyukur kerana bagi Siti,
biarlah cemuhan, fitnah dan
kontroversi, itu tidak akan
membuatkan kita popular tetapi
Siti yakin, jika niat kita ikhlas,
hati kita bersih dan kita tahu apa
yang kita buat, insya-Allah,
kejayaan tetap menyebelahi
kita.
Selepas ini, masih banyak
perkara yang harus Siti
laksanakan dalam karier Siti.
Siti amat berharap kita semua
sama-sama berjaya mengecapi
apa yang kita impikan.
Sebelum Siti mengundur diri, di
kesempatan ini, Siti ingin
mengucapkan tahniah kepada
rakan artis yang baru saja
mendirikan rumah tangga dan
juga yang akan menaiki jinjang
pelamin.
Buat peminat Siti serta peminat
sukan negara, jangan lupa
sama-sama ke Stadium Shah
Alam, malam ini. Temui Siti di
sana kerana Siti akan muncul
dalam persembahan penutup
Sukma ke-7.
Salam hormat daripada Siti.
Jumpa lagi minggu depan.
Wassalam.