a.r.t.i.c.l.e.s







Tahun Baru Perbaiki Diri

Salam Maal Hijrah 1419 Siti ucapkan buat semua umat Islam. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita semua akan dapat ‘buang yang keruh dan ambil yang jernih’ dalam apa jua perkara yang kita lakukan.

Sebenarnya, cukup besar erti kedatangan tahun baru dalam kehidupan seharian kita. Tahun baru membawa kepada peningkatan usaha, azam dan setiap insan pastinya berusaha memperbaiki diri.

Alhamdulillah, dalam kita menyambut kedatangan Maal Hijrah 1419 ini, negara kita masih berada dalam keadaan aman, semua bangsa yang bersatu di bawahnya hidup dengan harmoni dan saling bersatu padu.

Meskipun sejak akhir-akhir ini kita ditimpa pelbagai dugaan, seperti kegawatan ekonomi dan masalah air, keadaan itu tidak merubah perpaduan hidup masyarakat negara kita.

Bagi diri Siti, kedatangan Maal Hijrah kali ini pastinya disertai azam atau tekad untuk berjaya dalam hidup. Siti juga yakin bahawa anda semua turut menanam azam yang sama.

Insya-Allah, jika sesuatu yang kita usaha itu disertai dengan kesungguhan, kesabaran dan keimanan, ia akan membuahkan kejayaan.

Selain menyambut Maal Hijrah, Siti juga dapat rasakan masa berlalu begitu pantas. Sekarang ini kita sudah berada dalam bulan Mei.

Sebut pasal bulan Mei, rasanya banyak tarikh dalam bulan ini yang harus kita ingat.

Tarikh 1 Mei adalah bersempena sambutan Hari Pekerja dan mungkin membawa makna yang tersendiri kepada pekerja kita yang gigih bersama membantu ekonomi negara.

Siti juga tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Ibu buat semua kaum ibu sempena sambutan tanggal 11 Mei. Mungkin ada sesuatu yang istimewa ingin diberikan oleh anak bagi meraikan ibu mereka.

Menjelang 15 Mei pula, Siti ingin mengucapkan selamat mengambut Hari Belia buat semua warga belia. Seperti kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Semoga muda-mudi negara akan dapat menyahut saranan kerajaan untuk menjadi pemimpin generasi akan datang.

Tidak lupa juga buat guru yang akan meraikan sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini. Bagi Siti, guru ibarat lilin yang membakar diri bagi menerangi hidup anak didik mereka.

Di sini, Siti ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua bekas guru Siti sejak di sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah di Kuala Lipis, Pahang.

Sebenarnya, banyak lagi perayaan yang disambut pada bulan ini, seperti Hari Hol (Pahang), Hari Wesak (10 Mei) dan Hari Keamataan - Pesta Menuai (30 dan 31 Mei).

Begitu pun, Siti pasti selain perayaan seumpamanya, ada juga di kalangan pembaca Metro Ahad yang menyambut hari ulang tahun kelahiran mereka, bulan ini.

Dengan itu, Siti mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Ulang Tahun kelahiran buat semua yang menyambutnya bulan ini. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki...Insya-Allah.

Baiklah, cukup sekadar ini dahulu catatan Siti pada minggu ini. Selamat bertemu kembali pada minggu depan.

Salam paling manis daripada Siti.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|