a.r.t.i.c.l.e.s







Tanggungjawab Bersama (6th September 1998)

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca. Semoga anda semua berada dalam keadaan yang memuaskan.

Pada kesempatan ini juga, Siti ingin mengucapkan selamat menjalani cuti persekolahan kepada adik-adik yang masih belajar. Namun, pada musim percutian begini, janganlah leka dan mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.

Masa terluang itu haruslah dipenuhi dengan sesuatu yang berfaedah dan mengulang kaji pelajaran serta menghabiskan kerja sekolah yang diberikan oleh guru.

Sempena cuti sekolah ini juga, adik-adik juga berpeluang menonton pertandingan atau acara sukan yang akan berlangsung di Sukan Komanwel (Sukom ’98) yang bermula 11 September ini.

Di samping dapat melihat atlit negara serta atlit luar bersaing, kita juga akan dapat memahatkan satu sejarah manis kerana Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara sukan kedua terbesar di dunia ini.

Sebagai warga Malaysia, Siti juga bangga kerana negara kita telah terpilih sebagai tuan rumah dan hanya beberapa hari lagi acara gemilang itu akan berlangsung.

Pada masa yang sama, Siti juga telah mencatatkan satu lagi kenangan paling manis dalam sejarah peribadi Siti sepanjang bergelar artis kerana diberi kepercayaan untuk membuat persembahan pada acara pembukaan utama serta penutup Sukom pada 11 dan 21 September nanti.

Bagi Siti, peluang dan penghargaan yang diberikan kepada Siti ini adalah sesuatu yang amat bermakna dalam karier Siti dan sememangnya ia tidak pernah termimpi dek Siti selama ini.

Jika para atlit negara yang menjadi tumpuan utama kita dalam Sukom nanti sedang memberi sepenuh tumpuan dan perhatian untuk mengharumkan nama negara, Siti juga turut bersiap sedia untuk acara persembahan itu.

Pada acara perasmian Sukom nanti, Siti bersama-sama penyanyi Noraniza Idris, Anuar Zain dan Roy akan muncul menyampaikan beberapa rangkaian lagu, khususnya lagu rakyat serta patriotik.

Begitu juga pada acara penutup kelak, Siti dan Noraniza Idris sekali lagi berganding dan kali ini, penyanyi Jamal Abdillah, Jay Jay, Winnie dan Shaila akan sama-sama muncul dalam persembahan yang turut disaksikan oleh Ratu Elizabeth itu.

Kita boleh berbangga dengan pencapaian negara kita dalam banyak bidang setakat ini dan sehubungan itu, kita hendaklah berusaha mengekalkan segala kejayaan berkenaan dan tidak mudah putus asa untuk berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.

Sebagai mewakili suara kerdil, Siti berharap agar negara kita akan terus aman dan dapat menganjurkan Sukom dengan jayanya. Slogan ‘Ayuh Gemilangkan’ haruslah dipahat dalam diri masing-masing kerana kita adalah tuan rumah dan setiap daripada kita ada tanggungjawab.

Sehubungan itu juga, marilah sama-sama kita berbuat sesuatu bagi menjayakannya dan jadikanlah sejarah sukan paling gemilang di negara kita ini sebagai satu tanggungjawab bersama.

Salam mesra selalu... dan selamat berjaya kepada seluruh atlit yang bertanding pada Sukom ’98 nanti.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|