a.r.t.i.c.l.e.s







Malam Penuh Ujian (5th October 1998)

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat semua pembaca Metro Ahad. Apa khabar hari ini? Harap-harap hari minggu yang berbahagia ini akan memberikan keceriaan dalam kehidupan anda sekeluarga.

Di samping berehat di rumah pada hari minggu, Siti juga ingin mempelawa anda semua, terutama yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur menyaksikan persembahan khas Siti dalam Konsert Hiburan Minggu Ini (HMI), malam ini.

Bagi yang tak berkesempatan datang ke Auditorium P Ramlee malam ini, anda juga akan berpeluang menonton program berkenaan yang disiarkan secara langsung di TV1, bermula jam 8.30 malam ini.

Selalunya Siti muncul dalam rancangan HMI bersama penyanyi lain tetapi kali ini RTM memberi Siti peluang menjayakan rancangan yang berlangsung selama sejam itu secara berseorangan.

Peluang ini tidak akan Siti lepaskan kerana Siti mendapat banyak permintaan daripada peminat yang mahu Siti mengadakan konsert khas.

Mengenai konsert solo Siti itu, insya-Allah memang ada perancangan dan Siti berharap agar peminat Siti sabar menantikan waktunya.

Sebagai permulaan, Siti menganggap konsert HMI malam ini adalah salah satu cabang untuk Siti mengadakan konsert yang lebih besar. Biar bermula dari bawah kerana ia akan dapat memberi lebih banyak pengalaman.

Malam ini, Siti akan menyanyi secara ‘live’ dengan diiringi Kombo RTM. Malam penuh ujian ini Siti harap akan dapat menghiburkan penonton yang hadir di auditorium dan di rumah.

Terlalu banyak faktor yang perlu diambil kira oleh seseorang artis itu untuk menyanyi dengan baik, terutama apabila menyanyi secara ‘live’. Pertama, soal kesihatan. Siti akui, jika kesihatan tidak memuaskan, pasti agak sukar mengawal suara, terutama apabila batuk atau selesema.

Masalah sistem bunyi juga penting kerana ia membantu seseorang penyanyi itu. Jika sistem bunyi tidak memuaskan, pasti tumpuan penyanyi itu akan terjejas.

Sistem bunyi yang tidak baik boleh menyebabkan penyanyi tidak dapat mendengar suaranya dengan jelas dan kerana itulah, dia tidak dapat mengukur sejauh mana kelantangan suaranya didengari penonton.

Banyak lagi perkara yang harus diambil kira. Namun, sebagai penyanyi, Siti tidak menolak bahawa menyanyi secara ‘live’ itu lebih puas.

Kerana itulah, untuk malam ini, Siti akan berusaha memberikan persembahan terbaik walaupun keadaan kesihatan Siti agak terganggu disebabkan cuaca yang panas-sejuk di Kuala Lumpur ini.

Siti juga diberitahu penerbit rancangan itu (Alex Reza) bahawa RTM juga akan mengimbas kembali detik kejayaan Siti menerusi rancangan Bintang HMI ’95. Rakaman rancangan berkenaan akan disiarkan pada awal rancangan HMI, malam ini.

Mungkin ada peminat yang tidak berkesempatan menonton Bintang HMI ’95 itu dan malam ini, RTM akan menyiarkan sebahagian daripadanya.

Jika ada yang masih ingat, pada peringkat awal pertandingan, Siti menyanyikan lagu Kemelut Di Muara Kasih dan pada peringkat akhir menerusi lagu nyanyian Aishah, Camar Yang Pulang.

Okeylah, jangan lupa menontonnya kerana Siti ingin berkongsi banyak perkara bersama peminat semua. Anda adalah semangat dan sumber inspirasi Siti.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|