trademark articles: page 1


Ziana Beri Dorongan: Siti Nurhaliza


SITI Nurhaliza mendedahkan kejayaannya meraih Persembahan Terbaik dan seterusnya membawakan lagu Jerat Percintaan sebagai Juara Lagu 96 adalah hasil dorongan yang diberikan oleh Ziana Zain.

Menurutnya, Ziana memberikan kata-kata semangat ketika dia memijak tangga untuk ke pentas Juara Lagu 96.

"Sebaik saja dia (Ziana) turun pentas selepas menyampaikan lagu Kemelut Di Muara Kasih, saya berselisih dengannya. Ketika itu, dia sempat memberi sedikit kata-kata semangat," katanya kepada wartawan dalam sidang media selepas acara Juara Lagu 96 diadakan.

Kemenangan Siti Nurhaliza seolah sudah dijangka walaupun penyanyi muda ini menghadapi saingan hebat termasuk dari artis yang lebih senior iaitu Ziana Zain. Malah Ziana juga diletakkan sebagai calon pilihan untuk memenangi acara ini sekurang-kurangnya untuk kategori persembahan terbaik.

"Saya tidak menduga meraih kemenangan sebesar ini. Sebagai orang baru, saya banyak bergantung dengan tunjuk ajar Adnan Abu Hassan," jelasnya sambil mengucap syukur di atas kemenangannya itu.

Siti Nurhaliza menerusi lagu Jerat Percintaan menggondol hadiah wang tunai RM43,000 apabila meraih tiga kemenangan dalam Juara Lagu 96 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Lagu ciptaan Adnan Abu Hassan, lirik Hani MJ dan Othman Zainuddin itu dipilih meraih hadiah utama Juara Lagu 96 iaitu wang tunai RM25,000, juara bagi kategori Balada dengan wang tunai RM12,000, manakala Siti Nurhaliza membolot RM6,000 menerusi Persembahan Terbaik.

Sementara itu, Adnan menyifatkan kejayaan lagu itu kerana cara Siti Nurhaliza menyanyikannya yang dilihat berupaya mengatasi tekanan suasana pertandingan.

"Saya rasa dia berada dalam keadaan tertekan memandangkan tidak membuat persiapan secukupnya. Tapi saya bersyukur kerana dia dapat mengatasi tekanan ini," katanya sambil menjelaskan susunan lagu Jerat Percintaan diubah sikit.

Source: Berita Harian


[prologue] [profile] [albums] [awards & achievements]
[photo gallery] [articles] [guestbook]


Hakcipta Terpelihara (c) Kal_El 1997
E-mail: kal_el7@rocketmail.com