toMy Place...Kelantan Darul Naim

Sejarahlstana Kelantan PentadbiranPolitikPendidikanSosio-Budaya
Pusat PeranginanHomepage Anak-anak KelantanHome

Kelantan Darul Naim merupakan  negeri yang unik terutama dari aspek politik dan sosio-budaya masyarakatnya.  Dilihat dari perspektif sejarah pemerintahan,  Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang diperintah oleh raja perempuan iaitu Tuan Puteri Cik Siti Wan Kembang.  Oleh sebab itulah sehingga kini Kelantan masih digelar dengan nama Negeri Cik Siti Wan Kembang.

        Kerajaan Kelantan berpayung di bawah naungan ke Bawah DYMM Tuanku lsmail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Ke Bawah DYMM Tengku Anis Binti Tengku Abdul Hamid , Raja Perempuan Kelantan.  Baginda berdua dianugerahi empat orang cahaya mata iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra lbni Sultan lsmail Petra , Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra lbni Sultan Ismail Petra , Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra lbni Sultan lsmail Petra dan Yang Amat Mulia Tengku Amalin A'ishah Putri lbni Sultan lsmail Petra .

   Kelantan ditadbir oleh kerajaan PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat selaku Ketua Menteri Besar Kelantan pada ketika ini.  Tuan Guru Nik Aziz,  merupakan pemimpin yang amat menitikberatkan ciri-ciri keislaman dalam pentadbirannya selaras dengan prinsip perjuang "Membangun Bersama Islam".  Kesederhanaan sikap beliau bukan sahaja menjadikan beliau disanjungi oleh rakyat Kelantan, malah turut dikagumi oleh rakyat di negeri lain.  Di bawah pimpinan beliau, Kelantan mengalami banyak perubahan dan kemajuan dalam pembangunan setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

        Pentadbiran di Kelantan terbahagi kepada 10 unit pentadbiran.  Unit-unit pentadbiran ini dikenali dengan nama "Tanah Jajahan", berbeza dengan unit pentadbiran di negeri-negeri  lain di Semenanjung yang dikenali dengan nama "Daerah".  Jajahan tersebut ialah Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Pasir Putih, Machang, Bachok, Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli.

  Kota Bharu merupakan ibu negeri Kelantan. Di bandar inilah saya dilahirkan dan dibesarkan . Semasa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang bandar ini dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga.  Kini Kota Bharu diberi nama jolokan "Kota Bharu Kota Budaya", sinonim dengan peranannya yang menjadi pusat kegiatan budaya bagi rakyat seluruh negeri Kelantan.

        Jika anda berkunjung ke Kota Bharu tidak sah jika anda tidak singgah ke pasar utama di Kota Bharu seperti Pasar Besar Siti Khadijah , Pasar Besar MPKB dan Bazar Buluh Kubu untuk membeli pelbagai barangan dan cenderamata sebagai kenangan.  Ketiga-tiga pasar utama tersebut terletak di tengah-tengah pusat bandar Kota Bharu. Selain menjual pakaian, makanan dan barangan dapur, beranika barang perhiasan seperti perak dan tembaga juga boleh didapati di sini.

        Jika anda bermalam di Kota Bharu pula jangan lupa untuk menikmati pelbagai juadah istimewa di Medan Selera Kota Bharu. Kedudukannya yang strategik    iaitu berhampiran dengan pusat perhentian bas utama dan di kelilingi oleh pusat beli-belah utama menjadikan tempat ini "hidup" sehingga ke pagi. Beranika kuih dan lauk tradisional dan moden  boleh dibeli sini dengan harga yang cukup istimewa.   Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling "tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan.  Manakala bagi anda yang meminati kuih tradisional Kelantan jangan lupa untuk merasa kuih "tahi itik'', akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang dijual di sini.  Kemanisannya pasti akan menjadi kenangan yang paling manis kepada anda ketika  berkunjung ke Kelantan.  Hehehe...

        Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga .  Selain terkenal dengan batik , Kelantan juga terkenal dengan tenunan Songket.  Bidang ini juga dimonopoli oleh kaum wanita.

     Dalam mengejar erti pembangunan kerajaan Kelantan juga tidak pernah mengabaikan seni warisan budaya rakyat negeri ini.  Sehubungan dengan itulah, Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Sultan Mahmud iaitu kira-kira 2 Km dari pusat bandar Kota Bharu diwujudkan.  Pusat ini sentiasa menjadi daya tarikan kepada para pelancong dan wahana kepada anak-anak Kelantan yang cintakan seni warisan bangsa untuk berkampung dan mempersembahkan persembahan masing-masing.  Antara persembahan yang masih digemari dan kerap diadakan ialah  Dikir Barat, Wayang Kulit, Mak Yong, Rebana Ubi , Permainan gasing   dan Wau Bulan.   Persembahan ini diadakan pada hari Rabu setiap minggu secara bergilir-gilir.

       Dari sudut pendidikan, Kelantan amat menitikberatkan pendidikan agama.    Suatu ketika dulu Kelantan pernah menjadi pusat tumpuan ulama dari serata tempat dan sehingga kini masih terkenal dengan  nama jolokan negeri Serambi Mekah.  Banyak rakyat dari luar Kelantan datang ke sini semata-mata untuk mendalami ilmu agama.  Oleh sebab itu tidak hairanlah jika sekolah-sekolah agama atau lebih dikenali sebagai sekolah pondok muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.  Sekolah Pondok Terusan yang terletak di Pasir Tumboh Kota Bharu, merupakan antara sekolah pondok yang terkenal di Kelantan dan Tok Guru Kenali pula merupakan tokoh guru agama yang sudah tidak asing di Kelantan suatu ketika dulu.

        Di samping pendidikan agama,  kerajaan Kelantan juga menitikberatkan pendidikan akademik. Di samping sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan, sekolah swasta juga banyak didirikan di Kelntan untuk memberi peluang kepada pelajar yang tercicir menyambung pelajaran mereka.   lnstitut Padang Merdeka [IPM], Sekolah Kadir Adabi, Institut Za'ba, dan Kolej Budaya merupakan antara sekolah swasta yang sudah terkenal di Kelantan. Sekolah-sekolah ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar di luar Kelantan. Sebagai sekolah yang mengutamakan kualiti sekolah-sekolah swasta ini juga mampu melahirkan pelajar yang cemerlang setanding dengan sekolah-sekolah  bantuan penuh kerajaan.

        Majoriti daripada peduduk Kelantan terdiri daripada orang Melayu yang beragama lslam.  Ciri-ciri kemelayuan amat dominan di Kelantan sehinggakan rakyat Kelantan berketurunan Cina dan Siam telah diasimilasikan dengan kebudayaan Melayu-Kelantan.  Bukanlah satu kejanggalan jika anda mendapati kebanyakan rakyat Kelantan khususnya yang berketurunan Cina dan Siam berpakaian seperti orang Melayu, masak masakan cara Melayu dan  amat fasih bertutur dalam loghat Melayu Kelantan.

        Kalau di kampung-kampung mereka juga turut dipanggil dengan nama timangan Melayu oleh jiran-jiran mereka yang rata-ratanya berbangsa Melayu.  Semua itu telah serasi dengan kehidupan mereka seharian.  Sesungguhnya perbezaan agama tidak pernah menjadi penghalang bagi seluruh rakyat Kelantan untuk hidup di bawah satu rumpun budaya yang sama.  lkatan ini itulah yang menjadikan hubungan mereka amat erat walaupun berlainan agama.

              Seperti negeri-negeri lain di Malaysia, Kelantan juga tidak kalah dengan pusat-pusat pelancongan yang mampu menggamit dan memukau pelancong berkunjung ke sini.   Hutan Lipur Jeram Pasu,Hutan Lipur Jerang Linang, Lata Rek, Lata Bakah, Tasik Pergau,Jeli, Pantai Cinta Berahi atau kini dikenali dengan nama Pantai Cahaya Bulan, Pantai Bisikan Bayu, Pantai Irama,Pantai Sri Tujuh, Pantai Sabak dan banyak lagi amat kaya dengan keindahan alam semulajadi yang masih kekal.

POLITIK KELANTAN



 

View My Guestbook
OneNita1@usa.net
Sign My Guestbook


Back to Nita's Homepage

Anda Pelawat ke-

Dikemaskinikan pada 09 Disember 2000

Laman Pendidikan Laman Agama Malaysia lnfo Medan Selera Kad Ucapan
Special Gift Celik Komputer Lagu Popular Get Antivirus Download Site
Bina Homepage Free WallPaper Galeri  Puisi Sudut Peperiksaan WebMaster lnfo