Oleh HASAN BASERI BUDIMAN
AGAMA Islam yang tersebar di luar bumi Arab, bukan sahaja mencakupi
dasar-dasar umum tentang Islam yang meliputi konsep iman, rukun, dan pengajian
Islam semata-mata malah hasil penulisan karya Islam. Hasil karya Islam
yang berbentuk naratif ini bertujuan menembusi pemikiran masyarakat bukan
Islam yang kuat berpegang kepada kepercayaan nenek moyang di samping menyalurkan
pengetahuan dan pemahaman Islam.
Kebanyakannya karya yang bercorak naratif ini mengisahkan tokoh Islam
yang penting dalam sejarah pengembangan Islam. Perwatakan mereka diadunkan
dengan pelbagai unsur fiksyen, sehingga mampu menjadi sebuah karya sastera
dan tidak dianggap sebagai sebuah karya sejarah.
Dalam Warna Sari Sastera Melayu Tradisional (WSSMT), naratif tentang tokoh Islam ini diletakkan dalam kategori Sastera Agama yang menampilkan cerita tentang Nabi Muhammad s.a.w. Sesuai dengan matlamatnya menonjolkan kelebihan dan keistimewaan nabi, Hikayat Bulan Berbelah dipilih untuk mewakili sekalian banyak cerita tentang nabi bagi tatapan dan kajian calon Sijil Tinggi Persekolahan yang mengambil kertas Kesusasteraan Melayu ini.
Cerita tentang nabi yang tersebar ke dalam sanubari masyarakat Islam menjadi pedoman hidup. Kata-kata dan perbuatan Nabi menjadi contoh dan teladan, sesuai dengan sifat Baginda sebagai khatam al-anbiya dan nabi pilihan yang berbudi pekerti mulia dan manusia yang terbilang.
Cerita-cerita tentang Nabi Muhammad s.a.w. dibahagikan kepada dua jenis:
Cerita yang mengisahkan riwayat Nabi Muhammad s.a.w., dari kelahiran sehingga baginda wafat. Cerita seperti ini dipercayai berasal daripada sastera Sirah (riwayat hidup Rasulullah) yang disusun selepas baginda wafat. Dalam bahasa Melayu, hanya terdapat dua hikayat yang menceritakan seluruh riwayat hidup nabi iaitu bahagian pertama Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Nabi. Hikayat lain hanya mengisahkan satu fasal kehidupan nabi sahaja, misalnya Hikayat Nur Muhammad yang menceritakan kejadian Nabi Muhammad s.a.w. dan Hikayat Nabi Wafat yang menceritakan peristiwa kewafatan nabi (Liaw Yock Fang, 1988).
Cerita-cerita yang mengisahkan tentang mukjizat Nabi Muhammad s.a.w.
Cerita ini dipercayai berasal dari Sirah dan kumpulan hadis yang terkenal.
Matlamat utama cerita ini adalah mengagung-agungkan kemuliaan Nabi Muhammad
s.a.w. Antara hikayat jenis ini termasuklah Hikayat Mikraj dan Hikayat
Nabi Bercukur. Hikayat Bulan Berbelah yang menjadi kajian dalam WSSMT juga
termasuk dalam kategori cerita jenis ini.
Menurut Liaw Yock Fang, Hikayat Bulan Berbelah yang dikenali juga sebagai
Hikayat Mukjizat, selain ditulis dalam bahasa Melayu, ditulis dalam bahasa
Bugis dan Makasar yang kini ada tersimpan di London, Leiden, dan Muzium
Jakarta. Walaupun ditulis dalam pelbagai versi, pada keseluruhannya isi
cerita dalam hikayat ini tetap sama biarpun sebahagian kecil naskhah tersebut
terdapat sedikit tambahan, tetapi isi utama cerita tetap sama, iaitu tentang
mukjizat yang diperolehi nabi. Naskhah cerita yang dimuatkan dalam WSSMT
yang akan merupakan naskhah yang ditemui di Bombay yang dicap dengan batu
(Liaw Yock Fang, 1988).
Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu perhimpunan keluarga dan sahabatnya
mengajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Nabi juga menyebut kepada
mereka bahawa baginda nabi akhir zaman, mahkota, penghulu, dan makhdum
segala nabi. Perkara ini didengari oleh Abu Jahal yang segera menyampaikannya
kepada Raja Habib serta memujuknya supaya memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.
menzahirkan tanda kenabiannya sebagaimana yang diceritakannya.
Raja Habib yang terpengaruh dengan kata-kata Abu Jahal terus menghimpunkan segala bala tentera dan rakyatnya di Padang Abtah sambil menanti kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. yang dijemput oleh seorang hulubalang Raja Habib. Sebelum hulubalang itu tiba ke rumah Rasulullah, baginda dikunjungi oleh Jibrail yang ditemani oleh tujuh ribu malaikat yang akan mengiringi Rasulullah ke Padang Abtah.
Ketibaan Rasulullah di Padang Abtah berseorangan diri, tetapi rakyat Raja Habib yang hadir di situ merasakan baginda tidak berjalan seorang diri. Di hadapan Raja Habib, Rasulullah diberitahu tentang tujuan baginda dipanggil. Baginda diminta membuktikan mukjizat yang dimilikinya dengan memanggil bulan datang kepadanya, kemudian bulan itu diminta mengelilingi Kaabah serta mengucapkan dua kalimah syahadat dengan suara nyaring supaya setiap yang hadir mendengarnya. Setelah itu bulan itu hendaklah disuruh masuk ke dalam lengan baju kanan Rasulullah dan keluar melalui lengan baju kiri baginda dan kemudian hendaklah ia membelah dua, sebelah bergerak ke Maghrib dan sebelah lagi ke Masyrik sebelum naik ke langit dan bercantum semula.
Rasulullah tanpa banyak bicara, terus naik ke puncak Bukit Kulis dengan diiringi oleh sanak saudara, sahabat handai dan Raja Habib, dan kemudian baginda bersembahyang sunat dua rakaat di sana. Setelah selesai bersembahyang, baginda berdoa ke hadrat Allah S.W.T. memohon petunjuk dan hidayah agar maruah Islam tidak tercemar. Selesai berdoa, nabi segera berseru kepada bulan agar melakukan segala kehendak Raja Habib. Dengan kehendak Allah, bulan pun turun menyempurnakan permintaan Rasulullah itu.
Akhirnya raja Habib dan seluruh rakyatnya yang kehairanan dengan mukjizat nabi itu terus memeluk Islam. Manakala Abu Jahal dan pengikutnya tetap berdegil dan tidak mahu tunduk kepada nabi.
Keyakinan Raja Habib terhadap mukjizat Rasulullah, menyebabkan beliau membawa anak perempuannya yang tidak berkaki dan bertangan kepada Rasulullah, untuk dipulihkannya seperti sediakala. Rasulullah yang menerimanya dan kemudiannya menyelimut budak itu dan bersembahyang dua rakaat. Selepas itu Rasulullah berdoa memohon pertolongan Allah S.W.T. Akhirnya, anak perempuan Raja Habib itu memperolehi tangan dan kaki yang sempurna.
Sesuai dengan sifatnya yang disandarkan kepada ciri-ciri keislaman, Hikayat Bulan Berbelah merupakan wahana awal pendakwah dan penyebaran agama Islam. Walaupun tanpa pernyataan yang terus terang tentang isi pengajaran Islam, beberapa penerapan unsur Islam yang dinyatakan dalam cerita ini sedikit-sebanyak mampu membantu pembaca atau pendengar cerita ini memahami Islam. Antara unsur penerapan Islam yang dapat dikutip daripada cerita ini termasuklah:
Memulakan segala pekerjaan itu dengan Bismillah il Rahman il Rahim.
Wabihi nasta’inu billahi Ta’ala. (hlm. 90).
Setiap orang Islam wajib mengucap dua kalimah syahadat. Diajarkan dua
kalimah syahadat, demikian bunyinya: Asyhadu al laila ha illallah wa asyhadu
anna Muhammada rasulullah. (hlm. 90).
Nabi-nabi yang menjadi pesuruh Allah semuanya dikurniakan mukjizat
oleh Allah S.W.T. "Ya, Tuanku Syah Alam, adapun nabi Nuh itu tandanya bahteranya
naik ke udara dan Nabi Ibrahim itu dibakar oleh Namrud ke dalam api tidak
hangus, itulah tandanya. Dan Nabi Allah Musa tongkatnya menjadi ular naga
dan cerpunya menjadi kala itu tandanya. Dan nabi Allah Sulaiman cincinnya
dan mahkotanya itu akan tandanya. Dan Nabi Allah Daud sembahyang, segala
kayu-kayu turut sujud sembahyang, itulah tandanya. Dan tanda Nabi Allah
Isa, mayat orang mati dihidupkan dan tengkoraknya dilawan berkata-kata
..." (hlm. 91).
Malaikat Jibrail adalah penghubung antara Allah dengan Nabi Muhammad
s.a.w. Setelah itu Jibrail pun datanglah kepada Rasulullah. Kata Jibrail,
"Kekasihku Muhammad Aminullah, Tuhan semesta seru sekalian alam berkirim
salam kepada tuan hamba. Bahasa Allah S.W.T. memberi rahmat kepada tuan
hamba." (hlm. 95)
Mengucap dan menyambut salam adalah wajip dalam Islam. Jibrail dan
MIkail pun datang ke hadapan Rasulullah serta dia memberi salam kepada
Rasulullah demikian bunyinya,"Assalamualaikum hai kasihku." Maka Amirullah
pun menjawab, "waalaikum sallam hai saudaraku Jibrail." (hlm. 95)
Islam mengajar umatnya supaya memohon apa-apa sahaja pertolongan daripada
Allah. Maka Rasulullah pun mengambil air sembahyang lalu Rasulu
RUJUKAN: DEWAN SASTERA EDISI INTERNET