Oleh OTHMAN PUTEH
DALAM artikel yang berjudul "Menelusuri Jagat Kritikan Sastera Melayu:
Bahagian Pertama" (Dewan Sastera, Ogos 1998: 87-89) telah disenaraikan
lapan fungsi kritikan sastera. Kesemua fungsi itu, sesungguhnya ada
kaitannya dengan proses penciptaan sesebuah karya sastera dan apresiasi
atau penghayatan terhadap karya sastera itu sendiri.
Apabila menyebut tentang proses berkarya bermakna kita merujuk
kepada insan atau individu yang menghasilkan karya sastera dalam apa genre
pun, yang dikenali sebagai pengarang atau penyair atau dramatis.
Insan pengarang itu menghasilkan karya sastera dengan motif tertentu, umpamanya
untuk menghantar mesej atau kritikannya terhadap masyarakat dengan memanipulasikan
bahasa secara kreatif, tentunya dengan ketrampilan yang menyerlahkan jatidirinya
dan membina komposisi ceritanya, dengan teknik penceritaan yang dikuasainya
atau disenanginya.
Sementara penghayatan karya pula, cenderung merujuk kepada khalayak
pembaca yang membaca dan menikmati sesebuah cipta sastera. Apakala
berhadapan dengan karya sastera yang multi-genre, yang ditulis oleh pelbagai
pengarang, tentu sahaja pembaca akan berhadapan dengan multi-masalah kerana
wujudnya perbezaan atau jurang dalam kehidupan dari berbagai-bagai aspek
seperti usia, pengalaman, pendidikan, kecerdasan, latar tempat dan seumpamanya.
Perbezaan atau jurang ini menyebabkan wujudnya kesan positif-negatif, menimbulkan
sikap menolak-menerima sesuatu karya dengan amat mudah, tanpa sebarang
hujah yang rasional dan jelas dikuasai oleh emosi.
Atau, mungkin pembaca itu dapat atau berupaya mengemukakan sikapnya
terhadap karya yang dibaca dengan memberikan petikan contoh. Akan tetapi
itu bukanlah kaedah yang jitu dan tepat untuk menyatakan mengapa seseorang
pembaca itu pro dan kon; menerima atau menolak sesuatu karya. Ia seharusnya
lebih daripada itu. Bukan itu cuma, sebenarnya. Pada tahap
inilah perlunya kehadiran pengkritik sebagai penghubung antara teks atau
karya pada suatu pihak; dan pembaca pada suatu pihak yang lain.
Sebagai pengkritik, seseorang itu mempunyai tanggungjawab yang
besar, berat dan ditangannya terletak status karya sastera itu, terutama
tentang buruk baik atau bermutu tidaknya karya itu. Menurut Andre
Hardjana, (1981: 25) pengkritik harus memiliki sikap terbuka dan tepu kewajaran;
harus berupaya secara rasional memberikan akibat-akibat yang dialami sesudah
menghayati karya sastera itu. Justeru, dia perlu berfikir secara kritis,
merenung dengan tajam, menimbang dengan adil dan bijaksana terhadap karya
dan terhadap diri peribadinya juga. Dengan cara itu, barulah dia
benar-benar telah menghayati dan memahami karya sastera secara adil, saksama
dan matang.
Dari huraian ini, dapat ditelusuri tugas setiap individu pengarang,
pembaca dan pengkritik. Bagaimanapun, tugas pengkritik yang
paling afdal ialah mentafsir, menilai di samping membaca karya secara kritis.
Jadi, pengkritik harus mempunyai persiapan diri yang relatif banyak dan
besar saiznya berbanding pembaca biasa.
Dibandingkan dengan pengarang pula, maka pengkritik sewajarnya
mengetahui berbagai-bagai teknik penulisan yang berhubungan dengan aspek-aspek
penciptaan, di samping memahami konsep, definisi, dan aliran dalam jagat
kesusasteraan itu sendiri. Lebih daripada itu, pengkritik seharusnya
tidak menafikan hubungan pengarang dengan karyanya dan wajar mengetahui
proses penciptaan itu terlaksana.
Segalanya ini merupakan wahana yang amat berguna bagi pengkritik
itu memahami segala sesuatu yang berkaitan dengan karya. Dengan kata-kata
lain, pengkritik seharusnya tekun, serius dan komited dengan lapangannya.
Jadi, membaca haruslah menjadi kewajipan baginya, terutama yang berkaitan
dengan teori sastera, teori praktis dan teori teknikal tentang penulisan.
Hal ini ditekankan bagi memungkinkan lahirnya pengkritik yang
adil, saksama dan dihormati. Sekaligus cuba menghindarkan dirinya
daripada dipengaruhi emosi, tidak subjektif, prejudis, dan berprasangka.
Apatah lagi, sekarang ini banyak transformasi yang terlaksana dalam jagat
kesusasteraan bangsa kita. Umpamanya, dengan pengarang-pengarangnya
yang semakin terdidik, banyak kemajuan yang berlaku dalam bidang politik,
ekonomi, multimedia dan teknologi; di samping bentuk dan aliran karya,
yang konvensional dan baru -- eksperimental sifatnya. Kesemuanya
menuntut ketajaman mata fikir pengkritik, kepekaan dan kesaksamaan juga.
Berikut ini dibincangkan tentang fungsi kritikan sastera itu.
Pertama dan utama kritikan sastera ialah menentukan teks sastera
yang baik bermutu dengan teks sastera yang tidak baik dan tidak bermutu.
Untuk berlaku adil, saksama terhadap karya dan pengarangnya, pengkritik
harus bersikap kritis bagi membuktikan dia telah membaca teks sastera itu
berulang kali, memahami makna tersirat dan tersurat yang terkandung dalam
teks dan berupaya menikmatinya.
Justeru itu, pengkritik harus berupaya memberikan hujah-hujahnya
dengan contoh-contoh konkrit bagi membuktikan sesebuah teks karya sastera
berjaya mencapai mutu tinggi dari multi aspek atau unsur atau aliran. Sekiranya
keterbalikan yang berlaku, maka wajar pula ditunjukkan kelemahan, kekurangan,
kerendahan pencapaian mutu seninya lalu dikelompokkan sebagai karya sastera
yang gagal.
Pada tahap inilah pengkritik itu dituntut kepakaran dan ketrampilan
serta melaksanakan penghayatan, memahami, menilai dan akhirnya menentukan
baik buruk atau bermutu tidaknya sesebuah hasil karya itu. Di sinilah
relevannya hujah Andre. Hadrjana (1981: 24) menegaskan betapa kritikan
sastera itu berfungsi memelihara dan menyelamatkan pengalaman manusiawi
serta menjalinkan menjadi hubungan suatu proses perkembangan susunan atau
struktur yang signifikan.
Kedua, kritikan sastera sesungguhnya menghulur bantuan besar
dan menyediakan prasarana atau jambatan kepada pembaca menikmati karya
sastera dengan menerangkan tentang teks sastera dan pengarangnya dengan
jelas. Dalam berkarya, lazimnya pengarang mempunyai motif tertentu
mengapa sesebuah karya itu diciptanya. Tidak mustahil ada sesuatu
yang ingin dihantarnya atau dikritik atau dikongsi bersama.
Semasa perlaksanaan menghantar itu, mungkin pengarang memiliki
kaedahnya yang tersendiri atau jati dirinya. Di sinilah pengarang
akan memilih diksi yang tertentu, simbol tertentu yang harus diasosiasikan
atau ditafsirkan sesuai dengan isu yang ditampilkan dalam karya.
Terkadang-kadang, atas sebab-sebab tertentu, pengarang mengjungkirbalikkan
sesuatu isu bagi melontarkan kritikannya. Malah, tidak mustahil pula pengarang
menghasilkan karya dalam bentuk satira, dan parodi bagi mencapai sesuatu
matlamat.
Pengkritik yang sensitif dan tajam mata fikirnya tentu sahaja
berupaya menyuluh atau memberi sinar kepada karya-karya yang sedemikian
untuk memungkinkan pembacanya masuk menikmati atau melihat sesuatu, yang
kelihatan kelam suram. Pengkritik juga sewajarnya membantu pembaca
menghuraikan segala makna atau citra yang tersembunyi dalam simbol-simbol
dan mengasosiasikan kemungkinan-kemungkinan antara teks dan konteks.
Keupayaan dan kekritisan pengkritik dalam melaksanakan tugas
dan tanggungjawabnya ini, bermakna dia telah memberikan sumbangan dan mengembangkan
pengetahuan baru kepada khalayak pembacanya. Maka secara tidak langsung
dia telah melakukan fungsi yang ketiga.
Keempat, tulisan-tulisan kritikan sastera bukan sahaja berfungsi
kepada pengarang dan pembaca seperti yang dibicarakan di atas, malah; ikut
berfungsi kepada individu pengkritik. Kritikan sastera sedemikian,
titik tolak atau premisnya terlaksana apabila seseorang pengkritik mengkritik
sesebuah karya, kemudiannya; tampil seorang pengkritik lain membalas atau
menilai kritikan yang pernah dilaksanakannya. Dari hasil tulisan
itu maka wujudlah istilah kritikan atas kritikan. Ini dilakukan bagi
mencari dan menemukan sesuatu yang lebih adil dan saksama, diharapkan tidak
mencetuskan prasangka, berfungsi memperbaiki salah faham dan menyelesaikan
masalah dengan lebih bijaksana serta meyakinkan.
Mengapakah isu kritikan atas kritikan ini timbul? Kita
seharusnya melihat dari jurus positif demi kebaikan dan kehidupan kesusasteraan
itu sendiri. Wujud dua faktor utama maka terjadinya kritikan sedemikian.
Pertama, dapat ditelusuri pada diri peribadi pengkritik itu sendiri, dan
ini bermakna pengkritik itu melakukan kesilapan, ketidakupayaan memahami
atau menguasai teori dan atau gagal mentafsiri karya itu dengan wajar dan
saksama. Kedua, pengarang beranggapan pengkritik tidak berlaku adil
atau gagal menghayati muatan tersirat dalam karya lalu menghuraikan hujah-hujahnya.
Dari aspek ini, pengkritik yang bersikap terbuka, tidak egoistik akan memperoleh
sesuatu yang baik dan ini pasti sahaja merupakan aset yang amat berharga
dalam kehidupan kritikan praktikal yang membantu pengarang dan pengkritik
juga.,
Kelima, kritikan sastera merupakan suatu aktiviti yang mendorong
ke arah terbinanya teori kritikan dan teori sastera baru. Dalam kelangsungan
hayat kesusasteraan, teori sastera dan teori kritikan itu amat penting
dimiliki atau wujud dalam sesuatu tamaddun bangsa. Apatah lagi mengingatkan
bangsa kita mempunyai nilai-nilai yang tersendiri sesuai dengan budaya
setempat dan saling bertentangan pula dengan norma-norma atau nilai kehidupan
Barat, termasuk kepercayaan beragama.
Dari perbincangan tentang pengkritik dan fungsi kritikan ini,
dapat dirumuskan dua landasan yang penting yang berhubungan dengan jagat
kritikan sastera. Pertama, kritikan sastera yang baik, bertanggungjawab,
adil saksama dan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis dan rasional, ternyata
banyak membantu pengarang dalam proses penciptaan pada masa hadapan.
Pengarang bukan sahaja mengetahui kelemahan dan kekuatannya dalam berkarya,
malah membantu mengkaji semula kerelevanan karyanya dalam usaha memakmur
dan membahagiakan minat atau citarasa pembacanya.
Kedua, kritikan sastera yang baik dan bermutu sewajarnya membantu
memberikan sinar kefahaman, kenikmatan kepada pembacanya. Pembaca
harus memperoleh sesuatu yang bermanfaat hasil daripada pembacaannya.
Justeru itu, kritikan sastera wajar dan berupaya mendekatkan pembaca kepada
karya, menimbulkan rasa hormat dan sanjungan terhadap teks dan sekaligus
idea bernas daripada pengarangnya. Hanya dengan cara ini, akan mengangkat
atau meletakkan insan ke suatu tahap yang dihormati.
Rujukan
Andre Hardjana. 1981. Kritikan Sastera: Sebuah Pengantar. Jakarta:
Gramedia.
A. Teeuw. 1984. Sastera dan Ilmu Sastera: Penghantar Teori Sastera.
Jakarta: Pustaka Jaya.
Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang. 1998. Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel.
Shah Alam: Fajar Bakti.
Mana Sikana. 1998. Kritikan Sastera Moden: Teori dan Pendekatan. Shah
Alam: Fajar Bakti.
Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari. 1998. Kesusasteraan dalam Pendidikan Sastera.
Shah Alam: Fajar Bakti.
RUJUKAN : DEWAN SASTERA EDISI INTERNET