Oleh OTHMAN PUTEH
DI MALAYSIA, kritikan sastera sudah diterima sebagai satu sains atau
disiplin ilmu. Kritikan sastera yang dihantar dalam bentuk tulisan merupakan
usaha mencari dan menentukan nilai karya sastera secara jujur. Tugasan
ini dilaksanakan dengan kaedah yang bersistematik, sama ada secara selejang
terbang mahupun secara serius.
Lazimnya tulisan kritikan selejang terbang ini disebut kritikan impresionistik.
Kritikan ini sering pula mendapat wadah di akhbar, lalu dikenali sebagai
kritikan jurnalistik. Sementara itu tulisan kritikan yang serius,
dilaksanakan dengan penelitian bersandarkan pelbagai disiplin ilmu, dikenali
sebagai kritikan ilmiah. Kritikan ilmiah banyak dilaksanakan pada peringkat
pengajian tinggi dan diterbitkan dalam jurnal atau buku.
Dalam usaha menentukan nilai sesebuah karya sastera, pengkritik
harus memanfaatkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan pendekatan yang dipilihnya.
Lebih daripada itu, pengkritik harus menurunkan hujahnya yang relevan dan
munasabah bagi memperkukuhkan apa yang dikritiknya.
Di akhbar dan majalah, sering ditentukan ruangan ulasan buku
atau resensi. Kedua-dua bentuk tulisan itu dikenali juga sebagai
kritikan impresionistik atau kritikan jurnalistik. Terkadang-kadang ditemukan
esei sastera yang membicarakan gagasan atau teori. Tulisan sedemikian dapat
dikategorikan sebagai kritikan teoritis.
Hashim Awang (1984: 81) mengklasifikasikan kritikan sastera kepada
dua kategori yang penting, iaitu kritikan amali @ terapan dan kritikan
teori. Berikut ini dihuraikan kedua-dua kategori kritikan itu dengan pecahannya
sekali:
? Kritikan Amali @ terapan, merupakan usaha melaksanakan pertimbangan
dan perbincangan terhadap sesuatu teks genre sastera. Perbincangan yang
dilakukan secara kritis dan jujur terhadap karya sastera ciptaan pengarang
dan bukannya terhadap peribadi pengarang. Bagaimanapun, apakala pengkritik
menerapkan prinsip dan pendekatan tertentu dalam tulisan kritikannya, maka
pengarang akan ikut diperkatakan terutamanya yang punya kaitan dengan proses
penciptaan karya sastera itu. Hal ini dapat ditelusuri melalui pendekatan
psikologi atau kemanusiaan kerana pendekatan ini ikut menyelami gejolak
jiwa dan pemikiran pengarangnya.
Kritikan amali @ terapan ini mempunyai dua pecahan pula:
i. Kritikan impresionistik yang cenderung mempersoalkan kesan emosi
yang mungkin dicetuskan oleh sesebuah karya sastera. Di samping itu, pengamal
kritikan ini mungkin menyatakan sikap dan emosinya sendiri terhadap karya
yang dinilai.
ii. Kritikan penghakiman yang cenderung menghuraikan dan menganalisis
nilai isi, teknik, dan organisasi yang menunjang sesebuah karya.
? Kritikan teori merupakan esei sastera yang secara langsung tidak
mengkritik karya sastera. Ia menampilkan teori yang ada kaitannya dengan
masalah kritikan, justeru lebih membincangkan prinsip dan istilah yang
ada perkaitan dengan kerja pentafsiran sesebuah karya. Ketika melaksanakan
tugasnya pengkritik menetapkan kriteria yang diaplikasikan bagi menilai
karya dan pencapaian pengarangnya.
Dalam konteks sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu, genre kritikan
ini dianggap sebagai yang bongsu kelahirannya berbanding dengan genre lain.
Malah, kelahiran kritikan sastera itu merupakan reaksi terhadap karya daripada
genre sastera yang lain. Bagaimanapun, istilah kritikan sastera itu
yang kini amat popular, sebenarnya memiliki hayat sejarah yang relatif
panjang.
Kritikan sastera itu dikatakan buat pertama kalinya dilaksanakan oleh
bangsa Yunani, kira-kira 500 tahun Sebelum Masihi. Pengkritik itu
ialah Xenophanes dan Heraclitus yang bertindak mengecam hebat pengarang
Homerus yang begitu ghairah memaparkan kisah palsu dan tidak senonoh tentang
dewa-dewi seperti pencurian, penipuan, dan penzinaan. Jelas bahawa
Xenophanes amat mementingkan nilai moral.
Istilah kritikan yang sering kita pergunakan dalam bahasa Melayu berasal
dari bahasa orang-orang Yunani kuno, krites yang bermaksud "hakim", dan
istilah ini berasal daripada kata kerja krinein yang bererti "menghakimi"
yang merupakan pangkal daripada istilah kriterion yang bermaksud dasar
penghakiman. Hanya kemudian muncul kata atau istilah kritikos yang bererti
hakim karya sastera (Andre Hardjana 1981: 2).
Dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (1988: 163) terdapat penjelasan
yang menyatakan bahawa "kritik" merupakan esei atau artikel yang
menyorot secara kritis sesebuah hasil seni, biasanya sastera, dengan tujuan
menentukan sifat yang dimilikinya dan menuntut mutunya menurut suatu ukuran
tertentu yang telah ditetapkan atau sering digunakan. Kritik jauh lebih
serius, adil, dan bijaksana daripada ulasan. Sementara kritikan pula merupakan
cabang pengajian yang berhubungan dengan hal-hal mendefinisi, mengelaskan,
menghurai, dan menilai karya kesusasteraan (Ibid. 1988: 164).
Daripada pernyataan di atas, dengan mengangkat anologi itu dapatlah
dikatakan bahawa kritikan sastera adalah penelitian yang kritis, penilaian
yang jitu, dan pertimbangan yang adil tentang buruk baiknya nilai suatu
karya sastera, dengan memanfaatkan pendekatan tertentu ataupun tidak, dan
memberi manfaat kepada khalayak pembaca, peneliti lainnya, dan karyawan
itu sendiri.
Baik di Malaysia mahupun di Indonesia istilah dan definisi kritikan
sastera bukanlah merupakan tradisi tulen yang terdapat di kalangan masyarakat
Nusantara. Istilah dan definisi kritikan sastera itu baru wujud sesudah
pengarang kita memperoleh pendedahan daripada sistem pendidikan Barat pada
abad kedua puluh. Bagaimanapun, peryataan itu tidak pula menafikan tentang
wujudnya kata-kata "teguran keras", "kecaman", "bidasan", dan "celaan"
dalam masyarakat kita. Malah, dalam tradisi sastera klasik, pada zaman
Nuruddin ar-Raniri, syairnya dibakar kerana muatan mistiknya bertentangan
dengan ajaran penyair Hamzah Fansuri, dan dianggap amat berbahaya pada
ajaran agama secara keseluruhannya.
Tradisi kritikan sastera yang berasal daripada Barat itu dapat ditelusuri
berawal mula pada tahun 1935 apabila tersiarnya tulisan Keris Melayu (Muhammad
Yasin Maamor atau terkenal juga sebagai penyair dengan nama pena Pungguk)
bertajuk "Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi (Majalah Guru, 1 Julai
1935). Menurut Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II (1990: 399), wujud
tiga faktor utama maka tulisan itu dianggap sebagai kritikan sastera yang
pertama di tanah air kita.
? Keris Melayu menganalisis secara kritis, berdasarkan keupayaan ilmiah
dan zamannya, tentang isi dan gaya bahasa Sejarah Melayu.
? Keris Melayu berupaya menyelami dan mengupas hal yang tersirat dalam
dua buah karya Abdullah Munsyi yang terkenal iaitu Hikayat Abdullah dan
Kisah Pelayaran Abdullah.
? Fokus tulisan Keris Melayu ialah teks Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah,
dan Kisah Pelayaran Abdullah serta amat sedikit memperkatakan aspek luaran
seperti biografi.
Kritikan sastera ternyata begitu mementingkan rasional dan menuntut
kehadiran ilmu pengetahuan. Dan hasil tulisan Keris Melayu itu, maka
muncul satu lagi bidang intelektual Melayu yang berkaitan dengan penulisan
genre kreatif.
Pada keseluruhannya, tulisan kritikan sastera Keris Melayu itu tidaklah
seobjektif dan tidak juga menepati tuntutan kritikan sastera kini. Hal
ini dapat dimengertikan apabila dihubungkan dengan faktor zaman yang melibatkan
keadaan politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan. Walaupun tulisannya itu
longgar dalam bentuk dan definisi, namun usahanya mengkategorikan perwatakan
berlandaskan susun lapis masyarakat pada zaman feudal itu -- golongan raja,
pembesar, hulubalang, dan rakyat -- jelas memperlihatkan ketelitian dan
keprihatinan penulisnya. Apatah lagi Keris Melayu turut menilai watak-watak
dalam Sejarah Melayu.
Dalam tulisan kritikannya itu, Keris Melayu memberi komentarnya terhadap
gaya bahasa pengarang Tun Seri Lanang. Menurut tinjauannya, didapati bahasa
Melayu Tun Seri Lanang jelas, sedap didengar dan asli, di samping berusaha
mentafsirkan makna tersirat yang terungkap pada beberapa rangkap pantun
Sejarah Melayu.
Kritikan sastera memang penting dalam usaha menentukan kelangsungan
hayat kesusasteraan, malah berupaya mengangkat tamadun bangsa kerana berteras
pada hujah pemikiran yang bernas. Tetapi sejak lahirnya tulisan sedemikian,
istilah kritikan sastera itu sering cuba dihindari kerana mempunyai makna
negatif, tajam, dan keras pada pendengaran, dan dianggap selalu merosakkan
atau mematikan.
Seperti yang wujud dalam bidang penulisan kreatif juga, masyarakat
pengarang Melayu -- tidak mudah menerima sesuatu deviasi apatah lagi inovasi
dalam penulisan. Justeru, kritikan Keris Melayu segera mendapat reaksi
pro dan kontra daripada kalangan teman pengarang sendiri. Yang ketara dua
reaksi yang wajar diperturunkan sebagai melihat senario bidang kritikan
pada tahap awal kelahirannya.
Pertama, reaksi kontra penulisan Anak Negeri (Mohd. Yusof Ahmad) terhadap
tulisan Keris Melayu. Anak Negeri, membantah keras melalui tulisannya "Kita
dengan Munsyi Abdullah" (Majlis, 22 Ogos 1935) kerana beliau berpendapat
Abdullah Munsyi pengampu orang asing, tidak wajar dipuji, dan memalukan.
Apatah lagi, melalui kedua-dua karya autobigrafinya, Abdullah mencerca
raja dan masyarakat Melayu.
Kedua, Kahbaa-Batu Pahat memberi reaksi pula terhadap tulisan Anak
Negeri melalui artikelnya yang berjudul "Anak Negeri dan Abdullah Musnyi"
(Majlis, 2 September, 1935). Dikatakan tulisan Kabhaa lebih rasional
dan intelektual. Dari situasi begini, dapat dirumuskan betapa masyarakat
pada ketika itu, terutama khalayak pembaca, mempunyai sikap kritis dan
semangat nasionalisme yang kental. Dan hal ini secara tidak langsung merupakan
ilustrasi betapa masyarakat mula menyedari hakikat teks sastera yang diwarisi
sejak berzaman itu bukannya kisah khayalan tanpa signifikannya. Malah,
khazanah pemikiran yang amat bernilai.
Hampir setengah windu pula, tiada kritikan sastera ataupun polemik
yang muncul dalam majalah dan surat khabar. Yang dirintis oleh Keris Melayu
dan reaksi awal pro-kontra Anak Negeri dan Kabhaa-Batu Pahat tidak dilanjutkan
dan tradisi itu terputus. Pada tahun 1939, barulah tulisan bersifat kritikan
kembali muncul apabila tersiar karya Perawan Muar yang berjudul "Ikut Suka
Luka" (Warta Ahad, Ogos 1939) yang membicarakan kecenderungan pemilihan
tema cerpen yang stereotaip tentang cinta pandang pertama dan dihantar
melalui teknik surat. Beliau secara sedar menyarankan pengarang agar
mengangkat persoalan sosial, ekonomi, dan politik. Selang lima bulan, tampil
Marbi-Perak yang menyokong dan menyarankan agar penulis memanfaatkan isu
agama, pelajaran, perniagaan, kebangsaan, dan ketenteraan dalam karya mereka.
Hal ini dipaparkan dalam artikelnya "Cerita-cerita Rekaan Cermin Kehidupan"
(Utusan Zaman, 21 Januari 1940). Tulisan lain yang memberikan respon positif
ialah karya Ahmad Alkaf - Pontian dan Mahanum Haji Abdul Razaik.
Sementara itu, pada akhir era pra-Perang Dunia Kedua, tersiar sebuah
esei kritikan yang berbentuk sejarah dan perbandingan karya Abdul Kadir
Sheikh yang bertajuk "Cerita-cerita Melayu Hari Ini" (Warta Ahad, 3 Ogos
1941). Dalam tulisannya itu, Abdul Kadir Sheikh melaksanakan analisis perbandingan
dan senario cerpen sejak tahun 1930-an.
Ngumba @ Embong Yahya pula merintis bentuk kritikan terhadap sebuah
cerpen secara khususnya bertajuk "Shamsuddin Salleh dengan Kolej Tanjung
Malim" (Warta Ahad, 9 Jun 1940). Kritikan Ngumba bertolak daripada cerpen
Shamsuddin Salleh berjudul "Cermin Pergaulan Hidup di Dunia" (Enam siri
dalam Utusan Melayu, 27 April--1 Jun 1940) yang dianggap menjejaskan nama
baik maktab tersebut. Umang-umang Tangkak dan Lebai Ketayap, kemudiannya
ikut berpolemik mengecam Shamsuddin Salleh.
Daripada perbincangan ini, dapat ditelusuri betapa kritikan sastera
yang bermula sejak tahun 1935, dengan Keris Melayu sebagai perintisnya,
sehinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua terlaksana tanpa menerapkan
sebarang pendekatan secara khusus dan lebih merupakan kritikan umum. Penulisnya
pula terdiri daripada pengarang kreatif cerpen-puisi seperti Muhammad Yasin
Maamor, Mohd. Yusof Ahmad, dan Ngumba yang kebetulan pada lulusan Maktab
Perguruan Sultan Idris serta profesion mereka sebagai pendidik. Apabila
perang tercetus, maka tradisi penulisan kritikan sastera turut terencat
dan terhenti buat beberapa tahun pula.
Rujukan
Hashim Awang. 1994. Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah.
Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Hashim Awang. 1984. Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya:
Fajar Bakti
Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Henry Guntur Tarigan. 1984. Prinsip-prinsip Dasar Sastera. Bandung:
Angkasa.
Ahmad kamal Abdullah et. al. 1990. Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid
II. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Andre Hardjana, 1981. Kritik Sastera: Sebuah Pengantar. Jakar: Gramedia.
Othman Puteh. 1995. Pengisian Dunia Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Rahman Shaari. 1989. Berkenalan dengan Kritikan Sastera. Petaling
Jaya: Fajar Bakti.
Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Safian Hussain et. al. 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
RUJUKAN : DEWAN SASTERA EDISI INTERNET