PENGHAYATAN SASTERA STPM KERTAS 3
(Teks Warna sari sastera Moden)
“Dalam Kabus” Mencerminkan Kegelisahan Jiwa

Oleh DR. RAMLI  ISIN


 CERPEN  “Dalam Kabus” karya Anwar Ridhwan memancarkan kegelisahan jiwa bekas pekerja lombong besi kepunyaan sebuah syarikat perlombongan dari Amerika Syarikat bernama Mazlan yang kerap disebut papa. Kegelisahan jiwa yang menghantui fikiran Mazlan dan pekerja-pekerja yang lainnya itu adalah disebabkan tindakan majikan menutup lombong tersebut. Ini jelas digambarkan oleh pengarang dalam dialog antara Mazlan (papa) dengan Munah (mummy).
“Sudah sepuluh tahun kita di sini, dan selama itu pula abang bekerja sebagai buruh. Kemudian sampailah saat lombong ini harus ditutup kerana tidak ada besi lagi yang layak diambilnya. Masa depan kita dan sahabat-sahabat kita tertutup. Entah bila pintu rezeki kita akan terbuka lagi.”
(WSSMM, hlm. 163).
 

Kegelisahan jiwa Mazlan dan pekerja-pekerja lain berakhir di penghujung plot cerpen ini (WSSMM, hlm. 172), apabila Mazlan menjumpai sejenis batu (permata) yang bernama serpentin yang cukup bernilai di puncak sebuah bukit yang terletak tidak jauh daripada penempat pekerja-pekerja lombong itu, seperti yang dilaungkan oleh mandur Hassan:

“Tidakkah kau tahu, Mazlan sudah jumpa batu serpentin!  Batu itu boleh dibuat perhiasan jed!  Kita akan hidup lagi!”
 

Terbukanya ruang rezeki yang baru itu disambut dengan gembira terutama oleh isteri Mazlan yang sebelum ini menasihatkan suaminya supaya jangan terlalu gelisah dengan fenomena yang berlaku. Baginya Munah rezeki diberi Allah S.W.T. asalkan manusia berusaha:

“Jed?” Pekik perempuan itu hampir tidak percaya. Kemudian dengan agak bangga dia berkata, “bukankah saya sudah kata, pintu rezeki kita akan terbuka juga akhirnya. Lombong besi ini akan bertukar jadi lombong jed!”
(WSSMM, hlm. 173)

Persoalan kelembapan ekonomi muncul dari awal hingga akhir cerpen ini terutama setelah lombong besi itu ditutup. Mazlan gelisah  menghadapi kemerosotan ekonomi itu apabila mengenang tentang masa depan anak lelakinya yang sedang menuntut di North Carolina State University, di Raleigh, Amerika (WSSMM, hlm. 161). Di samping persoalan kesulitan ekonomi,  pengarang menggambarkan juga persoalan yang dihadapi oleh nelayan laut di Pantai Timur. Justeru Mazlan meninggalkan kerjayanya sebagai nelayan itu lantas bekerja sebagai buruh di lombong besi. Bagaimanapun Mazlan untuk mengecap keselesaan hidup sewajarnya tidak berpanjangan sebagaimana yang telah ditegaskan.

Persoalan seterusnya diutarakan oleh Anuar Ridhwan adalah tentang pengaruh kebudayaan terutama kebudayaan Barat. Pengaruh ini bukan saja  jelas digambarkan dalam hal yang berhubungan dengan perhiasan rumah, makanan sehari-hari, dan permainan malah dalam hubungan kekeluargaan. Sejak Mazlan, Minah dan anaknya Salmah tinggal di penempatan itu mereka mengikut rentak menyediakan makanan cara Amerika. Mereka mula mengenali sirloin steak dan mula mengenakan apron sewaktu menyediakan makanan. Dalam konteks pakaian pula mereka mula mengamalkan wangi-wangian yang berjenama atau brand dan mahal seperti Brut, Madams Rochas, Christion Dior dan Eu da Cologna. Semuanya ini tidak akan menjadi amalan keluarga Mazlan, sekiranya Mazlan kekal seorang nelayan. Dalam lingkungan keluarga pula mereka tidak lagi mengamalkan panggilan ayah, ibu, sayang tetapi bertukar kepada papa, mummy, dan darling.

Pengarang juga menggambarkan betapa bekas pekerja lombong besi yang pernah menikmati hidup mewah kira-kira sepuluh tahun itu juga,  melupakan permainan tradisional, sebaliknya bertukar kepada permainan badminton, tenis dan karom.

Persoalan seterusnya yang menjadi pemikiran Anwar Ridhwan dalam cerpen ini ialah tentang pendidikan dan pelajaran yang digambarkan melalui keluarga Mazlan. Dalam konteks ini ternyata Mazlan mengambil berat terhadap aspek tersebut. Anaknya yang tua digambarkan sedang menuntut di North Carolina State University, Raleigh, Amerika. Sedangkan anak perempuannya Salmah (Sally) menuntut di sebuah sekolah menengah yang berhampiran dengan lombong besi itu.

Selain persoalan yang diungkapkan di atas, beberapa persoalan lain yang turut menyambungkan pemikiran pengarang berhubungan dengan kegelisahan jiwa Mazlan dan sahabat-sahabatnya itu juga dimunculkan. Umpamanya persoalan boros atau tiada berhemat dalam perbelanjaan pada masa mewah, persoalan tidak ada kesedaran untuk menabung atau menyimpan sewaktu kesusahan.

Sebagaimana perbincangan cerpen “Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan” sebelum ini iaitu pengungkapan aspek dalaman dengan menerapkan pelbagai teknik penceritaan itu cukup penting, begitu juga dengan cerpen “Dalam Kabus” ini. Pada dasarnya pengarang ini sekurang-kurangnya menerapkan dua cara teknik penceritaan atau pengolahan dalam usahanya mengembangkan pemikirannya sepanjang plot, iaitu teknik pemerian langsung dan tidak langsung sama ada sewaktu mencitrakan alam persekitaran yang berfungsi sebagai latar cerita mahupun sewaktu mencitrakan watak dan perwatakan serta dialog yang berperanan mengembangkan pemikiran pengarang dan plot cerita.

Sebagai contoh teknik permainan langsung tentang alam sekitar dapat dilihat pada petikan ini:

Hujan sudah hampir satu bulan tidak turun di kawasan tersebut, namun penduduk di situ mempunyai bekalan air paip yang cukup. Mereka berasa kasihan pada alam keliling, pada pohon yang mulai layu serta kuning, yang tambah menghodohkan pemandangan tanah-tanah gondol lombong besi.
(WSSMM, hlm. 158)

Sedangkan teknik pemerian yang berhubungan dengan watak atau watak-watak dan perwatakan diterapkan oleh Anwar Ridhwan seperti petikan:

Papa Sally datang. Umurnya sudah empat puluh lima tahun, tetapi nampak lebih muda daripada itu. Badannya tegap dan mukanya bulat berisi. Rambutnya masih hitam. Kulitnya agak kehitaman, tetapi .....
(WSSMM, hlm. 160)

Sehubungan dengan penerapan teknik pemerian secara tidak langsung, pada keseluruhannya, Anwar Ridhwan menggunakan watak-watak utama dan watak-watak pentingnya, terutamanya watak Mazlan (papa). Dengan menggunakan teknik aliran kesedaran atau stream of consciousness yang diserapkan kepada watak Mazlan ini, Anwar Ridhwan mencitrakan berbagai-bagai isu dan persoalan yang berhubungan dengan lombong besi itu daripada mula dibuka hinggalah hingga ditutup dengan alasan bahan yang hendak dilombong itu sudah tiada lagi. Kebanyakan isu dan persoalan yang dimunculkan itu dalam bentuk khayalan dan kenangan masa lampau watak tersebut yang sedang menghadapi kegelisahan jiwa lantaran dia dan kawan-kawan terpaksa menganggur.

Sewaktu mencitrakan berbagai-bagai peristiwa dan kejadian melalui teknik pemerian secara tidak langsung, Anwar memunculkan dan mencitrakan beberapa orang yang terlibat secara langsung dengan peristiwa dan kejadian itu sama ada watak hidup ataupun watak mitos, umpamanya watak sang pahlawan, watak pengawai dan pentadbir “R-Mining”, tuan puteri, ahli antropologi dan orang asli. Walaupun pencitraannya secara tidak langsung dan sedikit sekali, namun peranannya dalam pembinaan dan perkembangan plot cerpen “Dalam Kabus” cukup besar. Khususnya dalam usaha memunculkan dan menyelesaikan konflik jiwa dan perasaan yang dialami oleh Mazlan, tanpa memunculkan watak-watak tersebut dalam khayalan Mazlan tentulah konflik dan pergolakan perasaan tidak seteruk itu.

Teknik pembentukan kata bual sama ada dialog, monolog, mahupun monolog pada keseluruhannya pendek, sesuai, jelas, dan  padat di samping mampu menyampaikan sesuatu yang berhubungan nasihat, pertanyaan, suruhan atau arahan. Namun kata bual yang kerap dimunculkan oleh pengarang ialah bentuk dialog terutama antara Mazlan dengan isterinya Munah dan anaknya Salmah atau Sally (WSSMM, hlm. 158-160). Sedangkan contoh kata bual berbentuk monolog dapat dilihat pada petikan di bawah:

“Sewaktu puteri jelita dikebumikan,” kata lelaki itu bersendirian sambil merenung batu hijau, “sang pahlawan tidak pun menanggalkan gelang jed yang dipakainya. Barangkali gelang jed puteri itu telah menjadi ibu kepada batu-batu serpentin di kawasan ini, sebagaimana ramalan antropologis itu!”
(WSSMM, hlm. 171)

Di samping itu teknik suspens atau ketergantungan konsentrasi pembaca juga dibina dengan baik oleh Anwar Ridhwan dari awal hingga akhir. Dalam hal ini khalayak pembaca mula disentuh dengan unsur suspens sejak Mazlan dan rakan-rakannya diberhentikan kerja oleh syarikat “R Mining” itu. Dengan khabar itu khalayak pembaca sentiasa tertunggu-tunggu apakah yang akan terjadi kepada Mazlan dan rakan-rakannya dalam menghadapi masa hadapannya. Wang bonus yang mereka dapati setelah lombong besi itu ditutup semakin menyusut. Tambahan pula seorang daripada anak Mazlan pada waktu itu sedang belajar di sebuah universiti di Amerika. Sudah tentulah Mazlan memerlukan wang yang besar jumlahnya. Unsur suspens ini dileraikan oleh pengarang pada akhir perjalanan plot cerpen ini (WSSMM,  hlm. 171-173), dengan memunculkan teknik kejutan, apabila Anwar menggambarkan Mazlan menemui batu permata (jed) serpentin itu.

Dalam konteks ini, khalayak pembaca mungkin tidak menyangka Anwar akan mengakhiri keresahan jiwa atau perasaan Mazlan dan rakan-rakannya dengan menemukan batu serpentin yang bernilai itu, walaupun sebelum cerpen ini berakhir pengarang ada memberikan semacam gambaran awal, iaitu menggambarkan isteri sang pahlawan dikebumikan di atas bukit itu. Mungkin juga khalayak pembaca menyangka Mazlan dan bekas pekerja lain akan menjadi nelayan semula atau akan ditawarkan sebarang pekerjaan oleh kerajaan negeri (WSSMM, hlm. 163). Namun di sinilah kekuatan daya kreativiti pada Anwar Ridhwan iaitu  memberi surprise ending yang bersesuaian sekali dengan suasana yang melatari kehidupan masyarakat di bekas lombong besi tersebut.

Meneliti keseluruhan struktur penceritaan cerpen Dalam Kabus” ini, didapati pengarangnya cukup seimbang dalam mengungkapkan isu yang menjadi renungan dan pemikiran dengan teknik dan gaya penceritaannya. Dengan kata lain, Anwar tidak terlalu memberatkan pada satu aspek saja. Justeru itu keharmonian sangat terasa pada cerpen ini. Tambahan pula bahasa yang diterapkan bagi membentuk isu dan imej itu cukup bersahaja, namun mampu menimbulkan berbagai-bagai kesan dan perasaan kepada khalayak pembaca khususnya khalayak pembaca yang kritis.

RUJUKAN : DEWAN SASTERA

Bac to Nita's Homepage
Anda Pelawat ke-