Sebab umat Islam mundurMENGIKUT al-Quran, Islam ialah agama yang Tuhan redai. Islam juga disifatkan sebagai agama kebenaran dan agama Allah dalam al-Quran, dan Dia akan memenangkan agama ini mengatasi agama lain akhirnya. Yang patut direnungkan oleh umat Islam ialah mengapakah umat Islam hari ini miskin, mundur dan lemah, dibandingkan dengan masyarakat agama lain? Apakah sebab kemunduran dan kelemahan ini? Bolehkah kita menghapuskan kelemahan ini pada masa yang singkat, dan bagaimana? mari kita kupas persoalan ini. SOALAN ini bukan baru. Cerdik pandai dan pemimpin Islam selama lebih seabad, termasuk cerdik pandai dan pemimpin kita daripada Syed Sheikh al-Hadi hingga ke Zaaba dan Dr Burhanuddin hinggalah ke pemimpin hari ini. Daripada perbahasan dan perbincangan ini, kita boleh merumuskan beberapa kesimpulan, iaitu umat Islam mundur dan lemah kerana: Pertama mereka sudah melepaskan fahaman tauhid yang diajar oleh Islam kepada mereka serta mengikut fahaman lain, kedua mereka berpecah-belah mengikut puak dan suku kerana taklid dan taksub kepada pemimpin, ketiga mereka memecahkan ilmu kepada 'ilmu agama' dan 'ilmu dunia' dengan kebanyakan mereka mengabaikan 'ilmu dunia' dan mengutamakan 'ilmu agama', dan keempat mereka menganggap kehidupan dunia tidak penting serta menumpukan kehidupan mereka kepada melakukan ibadah agama yang tertentu saja dan tidak berusaha dengan gigih untuk membaiki kehidupan mereka di dunia. Empat sebab yang saya simpulkan di atas boleh dipecahkan menjadi enam, lapan atau 12, tetapi keempat-empat itu merangkumi semua perkara yang sudah dibahaskan selama lebih 100 tahun ini. Kita tidak memasukkan penjajahan Eropah dan pimpinan yang menyeleweng dalam senarai ini kerana kejatuhan umat Islam sebenarnya berlaku sebelum kedatangan penjajah ke Asia Barat. Pimpinan yang oportunis memang suatu penyebab yang penting, tetapi dalam sesebuah masyarakat yang tahu akan tanggungjawab mereka, seorang pemimpin oportunis tidak akan berjaya menguasai masyarakat itu. Jadi, pegangan masyarakat itu penting sekali. Ambil perkara fahaman. Umat Islam berpecah kepada kaum Ahli Sunnah wal-Jamaah dan kaum Syiah, dan kaum ini pula masing-masing berpecah kepada banyak puak dan pecahan lagi. Mereka juga berpecah mengikut pelbagai aliran fahaman sufi. Mereka juga berpecah kepada kaum liberal, mengikut fahaman materialis penjajah Eropah, dan kepada fahaman materialis kaum Marxis, mengikut ajaran Marx, Lenin dan Mao. Puak ini pula taklid dan taksub kepada puak masing-masing sehingga tidak sanggup bersatu dan bekerjasama dengan puak lain. Oleh kerana kebanyakan umat Islam duduk di bawah pengaruh 'ulama' yang mengangkat diri mereka sebagai penguasa dalam agama dan 'ulama' ini membuat tafsiran yang sempit kepada ilmu dan kehidupan, maka umat Islam mengabaikan 'ilmu dunia', seperti falsafah, sains, teknologi, sejarah, matematik, kejuruteraan dan perubatan. Kerana ini, mereka juga mengabaikan kehidupan di dunia dengan mengatakan kehidupan di dunia tidak penting. Kita boleh melihat dari sini bahawa penyelewengan dari segi fahaman tauhidlah yang menjadi punca kepada perpecahan kepada puak dan taklid kepada sesuatu pemimpin. Apabila penjajah Eropah datang, masyarakat Islam sudahpun jatuh dan lemah (yang menyebabkan umat Islam boleh dijajah oleh mereka pada mulanya), dan kaum penjajah terus menggalak dan mengekalkan perpecahan di kalangan umat Islam. Malah, penjajah membuat kajian yang mendalam mengenai psikologi umat Islam dan agama mereka supaya mereka boleh mempengaruhi umat Islam menyeleweng daripada ajaran tauhid agama mereka. Dalam usaha kita untuk mencari jalan keluar daripada kegelapan kita sekarang, kita mesti ingat suatu perkara yang penting. Islam itu sebuah agama universal yang dihantar oleh Tuhan kepada seluruh manusia. Ia tidak bermula dengan Nabi Muhammad. Semua nabi dan rasul Allah dari awal hingga akhir mengajar agama Islam, tetapi nabi dan rasul sebelum Muhammad mengajar agama itu (yakni fahaman tauhid) kepada kaum mereka saja dengan membawa undang-undang yang sesuai dengan keadaan masyarakat itu. Dengan Nabi Muhammad, masyarakat manusia memasuki zaman baru, iaitu zaman manusia sedar akan kesatuan kemanusiaan. Melalui Nabi Muhammad, Tuhan mengirim kitab-Nya yang terakhir, al-Quran, yang lengkap dan sempurna, kepada seluruh manusia. Saya menyebut perkara ini kerana kebanyakan umat Islam sangka Nabi Muhammad saja yang membawa Islam, bahawa ajaran yang dibawa oleh nabi dan rasul lain (yang tentunya sudah bercampur-aduk dengan ajaran yang salah) tidak boleh dipakai dan ajaran yang baik hanya terdapat dalam tamadun dan masyarakat Islam. Sangkaan yang salah ini bertanggungjawab menimbulkan sikap menolak tamadun lain dan sikap mengasingkan diri daripada tamadun dunia di kalangan umat Islam. Tuhan mengajar kita bahawa Dia sudah mengirim rasul kepada semua kelompok manusia, sesetengah rasul itu namanya tidak disebut dalam al-Quran. Ini bermakna dalam tiap-tiap masyarakat sekarang, terdapat ajaran yang berasal daripada Tuhan. Umat Islam bernasib baik kerana ajaran Tuhan yang lengkap dan sempurna kepada manusia iaitu al-Quran, ada di tangan mereka, walaupun mereka gagal mengambil faedah daripada ajaran al-Quran. Sebaliknya, umat lain sudah membaca, malah mengkaji al-Quran ini untuk mengambil faedah daripada ajarannya. Umpamanya, perintah membaca sebagai kaedah mencari ilmu datang buat kali pertama dalam al-Quran, tetapi umat Islamlah yang paling kurang membaca hari ini. Kaedah saintifik yang diajar oleh al-Quran mendengar semua pendapat dan mengikut yang paling baik, mengesahkan segala laporan yang kita terima dan mengkaji fenomena alam untuk mengetahui undang-undang alam diamalkan oleh masyarakat bukan Islam. Tiga fakta ini, bahawa ajaran Tuhan wujud dalam semua masyarakat, bahawa umat Islam sendiri mengabaikan al-Quran dan bahawa al-Quran sudah dikaji oleh umat Yahudi dan Kristian - menerangkan kemajuan umat Yahudi dan Kristian, berbanding umat Islam. Kita tidak perlu membuang masa lagi untuk membincangkan sebab kejatuhan kita. Kita sudah tahu sebab itu. Kita juga tahu bahawa kita boleh membuat perubahan paradigma dalam masa satu generasi atau 30 tahun. Contoh Nabi Muhammad yang melengkapkan misinya dalam masa 23 tahun mengesahkan kesimpulan ini. Kita sudah merdeka selama 40 tahun, tetapi kita masih jauh daripada perubahan paradigma itu. Ini kerana selama ini pimpinan kita belum menampakkan jalan kembali kepada sistem hidup Islam yang sebenar. Pimpinan 'sekular' berkiblat ke Barat serta memimpin masyarakat kita mengikut falsafah liberal. Pimpinan 'agama' berkiblat kepada ulama; serta memimpin masyarakat mengikut fahaman puak sunnah atau syiah. Sudah sampai masanya kita kembali kepada ajaran tauhid Islam yang sebenar yang diajar dalam al-Quran. Kita memerlukan suatu kaedah yang praktikal untuk mencapai matlamat ini. Walaupun umat Islam di Malaysia sekarang berpecah kepada banyak puak, seperti yang saya sebut di atas, kita semua bersetuju supaya al-Quran menjadi kitab panduan hidup kita yang utama. Oleh kerana semua orang yang mengaku dirinya mukmin itu bersaudara, kita daripada pelbagai larian fikiran boleh duduk semeja untuk merundingkan masa depan bangsa kita, dengan meletakkan ajaran al-Quran itu di atas sekali sebagai panduan kita. Kita boleh merujuk kepada kitab lain, tetapi apabila rujukan ini bercanggah antara satu sama lain, kita mestilah mencari penyelesaian muktamad daripada al-Quran. Umpamanya, ambil soal sistem politik. Teori liberal Barat menyarankan banyak parti, pilihan raya untuk memilih kerajaan, dan dua puak dalam Parlimen, iatu kerajaan dan pembangkang, dan pengasingan kuasa pentadbir daripada kuasa perundangan. Apakah ajaran Islam membenarkan ini semua? Atau sebahagian saja dibenarkan dan sebahagian tidak? Nyatalah umat Islam belum mencapai muafakat mengenai hal ini. Ada negara Islam yang mengamalkan sistem feudal yang zalim. Ada yang mengamalkan sistem demokrasi beraja. Ada yang mengamalkan sistem republikan. Ada yang mengamalkan sistem lain lagi. Namun demikian, beberapa perkara amat jelas daripada al-Quran dan contoh pemerintahan Nabi Muhammad. Sesebuah pemerintah Islam mesti terdiri daripada orang yang layak memegang amanah, mesti memerintah dengan adil, mesti memerintah berdasarkan perundingan dengan masyarakat, mesti menegakkan kebaikan dan mencegah kejahatan serta memberi autonomi kepada kumpulan agama dan budaya untuk mentadbirkan urusan agama dan budaya masing-masing. Di samping itu, sebuah pemerintah Islam mesti memberi hak yang sama kepada semua warganegara, mesti menjamin kebebasan beragama, berfikir dan berpersatuan secara aman, dan mesti melindungi hak wanita sama seperti kaum lelaki. Demikian juga dalam bidang ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan pembangunan intelek, kesenian dan kebudayaan, kita boleh mendapat petunjuk daripada prinsip dalam al-Quran dan daripada contoh dalam pentadbiran Nabi Muhammad dan pentadbiran Islam yang lalu. Perlulah masyarakat kita membuat perubahan ini sekarang, kerana kita sedang melalui suatu krisis sistem liberal Barat yang akan membawa kepada keruntuhannya. Sistem ini perlu kita ganti segera dengan sebuah sistem berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Kebangkitan semula umat Islam di negara kita dan di seluruh dunia hanya akan berlaku jika kita mengambil langkah ini. | |||||||