Tafsir Surah Hud ayat 15

"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya." (Hud, 11:15)

[...dibaca pangkal ayat 15 Surah Hud]

"Mana-mana manusia yang berkehendakkan kehidupan setakat dunia sahaja, dan berkehendakkan keindahan dunia sahaja",

[...dibaca kalimah seterusnya]

Tuhan kata "Aku akan beri sepenuh, sebanyak mana yang dia hendak." Tuhan kata apa kerja yang dia buat untuk dunia, yang dia memikir untuk dunia, yang dia berkempen (Kel:berdakwah) untuk dunia, Aku berikan kepada dia sepenuhnya.

[...dibaca hujung ayat 15 surah Hud]

"dan sebanyak mana yang dia hendak, Aku beri belaka (Kel:kesemuanya), sedikit pun tidak dikurangkan."

Dia nak apa? Dia hendak menang? Aku beri kemenangan.

Ini kaedah Tuhan. Ini sifir Dia sebagaimana sifir ilmu hisab lima campur lima mesti sepuluh. Marilah (Kel:Bawalah, datanglah) cikgu mana pun kaedah hisab begitulah. Sebagaimana ilmu hisab mempunyai kaedah tetap, ini juga kaedah tetap yang Allah Taala berikan kepada manusia, cumanya yang ini tidak diajar di sekolah-sekolah sebagai satu sifir -sebagaimana diajar sifir hisab (Kel:Matematik)-walaupun kedua-duanya merupakan kaedah Allah Taala belaka(Kel:juga).

Sifirnya ialah mana-mana orang yang hidup di atas muka dunia dan berkeinginan, berkemahuan, bermatlamat hanya setakat dunia serta perhiasannya-hendak seronok di muka dunia, hendak makan kenyang di muka dunia, hendak jadi orang besar di muka dunia, hendak jadi orang berkuasa di muka dunia, di akhirat hendak jadi lagu mana tidak ada dalam kepala dia - Tuhan kata orang lagu ni Aku gerenti beri kepadanya. Kamu hendak apa? Kamu mahu jadi orang besar? Kamu buat kerja betul-betul, Aku(yakni Allah) beri sokongan, nanti kamu akan jadi orang besar. Kamu nak jadi orang kaya? Tidak apa. kamu buat kerja, Aku akan sokong, nanti kamu akan kaya. Kamu hendak apa lagi? Kamu hendak jadi samseng? Tidak apa, buat kerja, Aku sokong, kamu akan jadi samseng sungguh.

Kamu hendak jadi serupa Firaun? Tidak apa, Firaun sendiri pun Aku sokong. Hendak jadi serupa Qarun? Tidak apa, Aku pun sokong Qarun. Hendak jadi seperti Hamman? Tidak apa, Aku sokong.

Ini tiga nama manusia yang menjadi simbolik di dalam Quran bagi tiga jenis tokoh; tokoh politik seperti Firaun(Lihat Al-Araaf 7:127), tokoh kewangan seperti Qarun (Lihat Al-Qasas, 28:79), tokoh sains seperti Hamman (Lihat Al-Mukmin, 40:36-37).

Tuhan jadikan dia serupa dengan apa yang dia hendak, kamu hendak jadi apa pun Aku sokong belaka tetapi akhirat kelak tidak ada apa-apa bahagian kamu. Bila matlamat hidup kamu setakat dunia sahaja maka macammana Aku nak berikan sampai akhirat, sebab kamu tidak mahu akhirat. Aku akan bawa kamu selamat sampai ke akhirat sekiranya kamu hendak dunia dan akhirat.

Oleh yang demikian tidak peliklah kalau ada manusia yang hidup di atas dunia ini, yang tidak beriman kepada Allah Taala, banyak dosa banyak maksiat tetapi hidup mereka kelihatan senang, makan dia sedap, rumah dia besar. Sedangkan aku tok lebai (Kel:orang alim) siang malam bersembahyang hingga lekuk-lekuk dahi tidak jadi serupa dia. Macammana Tuhan? Masalahnya yang kaya itu kerana dia hendak jadi kaya. Yang boleh rumah besar itu sebab dia hendak rumah besar. Boleh belaka. Jenis tok lebai, tok guru(kel:Guru Agama) walaupun kamu kamu hendak kaya tetapi kamu tidak buat kerja, kamu duduk dirumah saja-saja. Kalau tanam pisang sepohon dua, itupun kerana dari duduk saja-saja (Kel:Menanam pokok pisang hanya sebagai menghilangkan kebosanan duduk tidak berbuat apa-apa) Orang boleh sukat(Kel:menilai) bila dia buat sesuatu kerja kes dari duduk saja-saja (Kel: Kerana bosan tanpa kerja apa-apa). Tuhan mana, malaikat mana hendak sokong(Kel:tolong), kalau menanam pisang sepohon dua pun dari duduk saja-saja(Kel:lihat di atas). Cuba kamu tanam pisang satu estet seribu ekar, dua ribu ekar, tiga ribu ekar, tentulah Tuhan akan sokong untuk menjadi kaya. Yang pentingnya kita orang islam diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. supaya kita rangkum kedua(Kel:kedua-duanya yakni dunia dan akhirat), kita rangkai kedua, kita jinjing kedua, kita pikul kedua, kita bimbit kedua, kita kaut kedua.

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepda kami kebaikan didunia dan kebaikan di akhirat. (Al Baqarah, 2:201)

Hei Tuhan! berilah kepada kami di dunia in hasanah, diakhirat juga hasanah. Digunakan perkataan hasanah untuk kedua-dua, didunia dan di akhirat. Hasanahnya maknanya molek(Kel:cantik), bahagia, berjaya. Denga doa macam ni, orang Islam boleh faham bahawa taraf dunia dengan taraf akhirat serupa, sama-sama penting, sama-sama perlu. Kalu silap juga, bukan silap islam, bukan silap Nabi Muhammad saw, tetapi silap kita. Seterusnya sebanyak mana kerja yang kamu buat-kamu bersembahyang, kamu berpuasa, kamu pergi ke Makkah- semuanya ini berkisar di atas niat,

Maksudnya : Semua kerja buat manusia ini terletak dan berkisar di atas niat. (Dari Umar Al-Khatab, HR Bukhari dan Muslim, Riadhus Salihin, PT Al-Ma'arif, Indonesia, 1977)

Niat ini walaupun di dalam hati tetapi dia tidak berada di situ sepanjang masa, dia tidak hanya bergulung di dalam perut tetapi keluar melalui kaki, tangan, mulut dan hidung kita. Bila mulut kita bercakap, dia menggambarkan isi hati. Tangan kita bergerak menggambarkan isi hati. Kalau niat kita sungguh hendak selamat dunia akhirat, maka mulut kita pun bercakap perkara yang selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Oleh yang demikian di bidang apa sekalipun-khususnya bagi kita yang mengaji di atas pejabat PAS ini, pejabat parti politik-bila kita hendak berpolitik kita mestilah memilih politik yang boleh menyelamatkan aku dunia dan akhirat. Seperti juga aku beristeri. Hendak mencari isteri yang boleh menolong aku di dunia dan boleh menolong aku di akhirat. Serupa kita buka kedai perniagaan-yang boleh menyelamatkan aku dunia dan akhirat. Mengaji(Kel:belajar) apa sekalipun, ilmu yang boleh menyelamatkan aku dunia dan akhirat. Begitu juga bila kita berkerajaan, bukan sekadar hendakkan kuasa setakat dunia tetapi kita hendak berkerajaan supaya kita sendiri dan rakyat kita-boleh kita bawa dari dunia sampai akhirat dengan selamat belaka. Tidak ada cara yang boleh membawa kita ke akhirat baik dalam jurusan perniagaan dan politik selain daripada cara islam kerana hanya islam sahaja yang datang dari langit dan islam sahaja yang mengajar kita persoalan di dalam kubur dan kebangkitan di akhirat. Sebanyak mana professor, sebanyak mana doktor, sebanyak mana ahli fikir, sebanyak mana ahli falsafah di muka dunia ini-walau tinggi mana PhDnya-tidak pernah seorang pun yang sudah sampai ke akhirat. Dengan sebab dia tidak tahu akhirat itu apa dia, dia tidak tahu apa yang berlaku dalam kubur, dia tidak boleh bercakap perkara-perkara tersebut.

Sebab itulah kita berpolitik cara islam dan menubuh kerajaan dengan cara islam. Bolehkah islam ini dilaksanakan? Jawabnya boleh!

Islam boleh!

Dengan sebab islam ini datang dari langit, maka mustahil dalam kepala kita bahawa Allah Taala menyuruh kita buat benda yang manusia tidak boleh buat. Tiap-tiap benda yang Dia suruh buat, tentu boleh, cumanya ada halangan-halangan, ada tentangan-tentangan. Dengan sebab ada halangan ada tentangan itulah maka islam mengajar supaya kita berjihad. Buat apa islam berjihad kalau benda itu boleh dibuat dengan mudah, serupa kereta Jepun, pulas-pulas(Kel:pusing) stereng boleh bergerak selalu(Kel:terus).

Kalau islam semudah itu apa tujuan Allah Taala mengajar kita berjihad? Apa tujuan Allah Taala mengajar kita bersabar? Apa tujuan Allah Taala mengajar kita melawan nafsu? Melalui ajaran-ajaran begini kita fahami bahawa islam ini barang payah. Dalam keadaan payah itulah-kena berhempas pulas, mati berdiri, habis pitis emas (Kel:wang ringgit) sekalipun-kita kena sabarlah kerana ini kerja Tuhan. Kalau zaman orang-orang Melayu hari tu(Kel:zaman dahulu) bila sebut kerja raja, habislah.(Kel:keluhan sahaja...membawa makna tentulah cerita yang timbul seperti yang dikatakan selepas ini-Hang Tuah dan Jebat) Timbullah cerita Hang Tuah taat kepada raja, Hang Jebat derhaka kepada raja. Kita hendak alih pemikiran daripada Hang Jebat dan Hang Tuah, kepada Hang Abu Bakar, Hang Umar, Hang Usman dan Hang Ali. Barulah kita muslim dan tidak setakat melayu sahaja.


SUMBER : Nik Abdul Aziz Nik Mat. 1996. Tafsir Surah Hud. Kelantan: Maahad Ad-Dakwah Wal-Imamah, Yayasan Islam Kelantan. ms 53-56
(Kel:....) - ini adalah tambahan saya bagi menjelaskan perkataan loghat Kelantan (italics).
Saya memohon ampun dari Allah jika ada yang dituliskan disini tidak mendapat redhaNya dan memohon maaf dari sahabat semua jika ada yang tersinggung kerananya. Sesunguhnya segala yang salah adalah dari kelemahan diri hamba sendiri dan yang benar itu datangnya dari ALLAH. Wassalamu'alaikum warahmatullah wabarakatuh.
13081417/24121996