TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, YB Haji Abdul Halim bin Abdul Rahman berkata dalam keadaan manusia menghadapi cabaran, godaan, tipu muslihat yang membawa mereka menjauhkan diri daripada Allah, bukan mudah untuk lahirkan kerajaan yang mendapat keredhaan Allah berdasarkan kepada perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya.
Oleh itu Kerajaan PAS Kelantan sekarang perlu dipertahankan dan dipelihara oleh para pengundi dalam pilihan raya tetapi juga oleh para profesional melalui sumbangan kepakaran dan kemampuan masing-masing, tambah beliau.
Bercakap kepada Majlis Pertemuan Anak Kelantandi Perantauan dengan pimpinan Kerajaan Kelantan sempena Hari Raya Idilfitri di Kota Darulnaim, Kota Bharu, baru-baru ini, YB Haji Abdul Halim mengharapkan para profesional anak Kelantan termasuk yang di perantauan agar mengambil insiatif positif membantu menjayakan pentadbiran berdasarkan seratus peratus Islam yang telah dan sedang diusahakan oleh Kerajaan PAS di Kelantan.
“Apa yang kami buat, apa yang YAB Tuan Guru Menteri Besar buat dan kepimpinan kerajaan ini rancang dan laksanakan perlu disambung dan diteruskan kerana setelah sekian lama baru sekarang kita dapat kerajaan berketuakan seorang ulama,” katanya.
Beliau menjelaskan lagi, kerajaan pimpinan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, sentiasa mengalu-alukan sumbangan buah fikiran, pandangan, saranan dan teguran secara profesional daripada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi daripada anak Kelantan di mana sahaja mereka berada, termasuk penglibatan para profesional secara langsung dalam pentadbiran kerajaan Kelantan menerusi saluran yang sepatutnya.