YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, berkata sejak Kerajaan Negeri melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam banyak amalan budaya masyarakat yang tidak betul telah dapat diubah dan diperbe-tulkan, termasuk, misalnya, hubungan antara kaum khususnya antara masyarakat Melayu Islam dengan yang lain-lain.
Berucap pada majlis sambutan Idilfitri Wanita Hubungan Antara Kaum bersama Menteri Besar, di Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu pada 28 Januari lalu, beliau berkata sikap dan salah anggap orang bukan Melayu memeluk agama Islam banyak sekali perlu diperbetulkan.
Beliau menegaskan mereka yang baru masuk Islam janganlah ikut tabiat orang Melayu yang tidak beriman dan jangan anggap masuk Islam sebagai ‘masuk Melayu’.
“Masuk Islam jangan jiwa Melayu. Saya sendiri pernah menasihatkan seorang Cina dari Perak yang memeluk Islam di hadapan saya supaya tidak mengikuti budaya Melayu yang bercanggah dengan Islam, tetapi hendaklah pula menegur orang Melayu yang Islamnya kerana keturunan sedangkan dia tidak pula bersembahyang,” katanya.
Tuan Guru juga mengulangi teguran yang pernah dibuatnya dua tahun lalu di majlis anjuran Perkim yang diadakan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, Kota Bharu agar dihapuskan sikap menukarkan nama orang bukan Melayu yang masuk Islam di negara ini kepada ‘bin Abdullah’.
“Menukarkan nama kepada ‘bin Abdullah’ ini bukannya anjuran Islam kerana tidak ada para sahabat pada zaman Nabi yang menukarkan nama mereka kepada ‘bin Abdullah’.”
Katanya lagi, sikap menukar-kan nama sebegini memberi ke-san buruk kepada ramai yang ba-ru memeluk Islam kerana seolah-olah putuslah hubungan antara seseorang yang baru memeluk Islam dengan keluarganya yang belum Islam sedangkan Islam melarang sama sekali tali keke-luargaan diputuskan walaupun berlainan agama.
“Mengekalkan hubungan kekeluargaan antara yang Islam dengan bukan Islam merupakan cara dakwah senyap-senyap, iaitu satu cara utama berdakwah yang dianjurkan Islam.
Di majlis itu juga Tuan Guru menegur sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu memanjakan anak sehingga sanggup membela anak mereka yang salah laku dan rosak akhlak.
Beliau berkata ada yang datang menemui beliau untuk membuat pembelaan terhadap anak mereka yang bermasalah dengan pihak berkuasa sedangkan anak mereka telah melakukan kesalahan.