Beliau mengucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Jeli itu ekoran hasrat yang disuarakan oleh Ketua Jajahannya, YABrs. Haji Wan Yahya bin Wan Salleh, di Majlis Perlantikan dan Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis Daerah Jeli (MDJ) pada 21 Januari 1995 lalu.
Kata Haji Hassan Abdullah dalam ucapannya di majlis tersebut, Jeli mempunyai potensi besar untuk membangun sebagai sebuah destinasi pelancongan. Ini kerana Jeli kaya dengan keindahan alam semulajadi di samping mempunyai beberapa tempat rekreasi seperti air terjun.
Jeli juga boleh maju dan berkembang menjadi sebuah bandar yang pesat membangun kerana Jeli adalah kawasan yang strategik dan mempunyai kawasan yang luas bagi menampung pelbagai projek pembangunan.
Menurut Haji Wan Yahya tasik buatan manusia iaitu Tasik Pergau akan menjadi tarikan utama pelancong selain tempat peranginan yang sedia ada seperti Gunung Reng dan Lata Renyok.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa Ahli-Ahli Majlis Daerah yang baru dilantik agar memberikan perhatian yang lebih terhadap penjagaan keindahan alam sekitar di Jeli.
Selain itu, mulai tahun 1995 juga, MDJ akan melaksanakan undang-undang kecil, khususnya bagi mengawal binatang atau ternakan orang ramai yang berkeliaran di kawasan jalan raya dan taman peranginan.
Dalam majlis tersebut Haji Hassan Abdullah menyampaikan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM 150,000 dan Geran Keseimbangan Tahunan berjumlah RM 273,000.