Sekarang Mereka Tiru Kita - Tuan guru MB

YAB Menteri Besar , Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, menganggap Kelantan tidak menghadapi kejutan daripada kemelesetan ekonomi negara sekarang kerana Kerajaan PAS telah mengekalkan dasar pertanian dan pengeluaran makanan sebagai asas utama  pembangunannya.

“Kita telah tetapkan dasarnya bahawa Kelantan ialah negeri pengeluar makanan,” tegas beliau ketika berucap di majlis perjumpaan  sempena perlantikan penghulu-penghulu seluruh Kelantan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di Kota Bharu pada 31 Disember lalu.

Katanya lagi, Kelantan tidak berkuat sangat dengan industri atau perkilangan, tidak seperti yang berlaku di negeri pantai barat.

Menyentuh tentang kempen oleh kerajaan pusat ke seluruh negara untuk kembali kepada pertanian  dan rakyat diminta supaya menanam untuk mendapatkan bahan makanan dan cadangan memulihkan  rancangan Buku Hijau bagi membangunkan pertanian, beliau berkata bahawa jelas sekali
dasar kerajaan Kelantan selama ini adalah betul.

“Sekarang mereka tiru kita.  Kerajaan PAS Kelantan telah tekankan keutamaan pertanian ini lama dulu.  Ini semua berkat daripada kita turut ajaran Nabi s.a.w.”

Menurut YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar beliau tidak begitu sukar dalam menentukan dasar-dasar ketika memimpin pentadbiran negeri ini kerana dasar-dasar itu telah sedia diajar oleh Nabi s.a.w.

“Pelan telah sedia ada.  Tetapi mereka meraba-raba dan jatuh kepada kehendak kapitalis.”

Katanya lagi, Kerajaan PAS amat yakin dengan pentingnya pertanian sehingga sanggup mengeluarkan subsidi baja berjumlah RM3.5 juta setahun setelah tanggungjawab pusat memberikan subsidi baja ini tidak terlaksana dengan betul.

Hasil daripada keyakinan kerajaan negeri kepada usaha pertanian itu, Kelantan berjaya meningkatkan pengeluaran beras dan sekarang dapat pula mengekspot beras ke negeri lain.

Beliau mahukan penghulu-penghulu memainkan peranan menyedarkan rakyat negeri ini agar usaha menanam dan berternak  diteruskan dan ditingkatkan dengan cara apa sekalipun. Ini kerana memandangkan banyak bahan makanan negara ini masih lagi diimpot.

Sehubungan itu beliau menggesa supaya tanah terbiar dipulihkan dengan menanam jenis-jenis tanaman yang boleh menggantikan bahan-bahan makanan yang diimpot.

“Buatlah seminar dan persidangan bagaimana tanah terbiar dapat digunakan,” gesa beliau.

YAB Tuan Guru Menteri Besar mencadangkan supaya usaha menanam juga melibatkan tanaman secara besar-besaran seperti jagung dan kacang hijau bagi dijadikan bahan makanan haiwan dalam bidang penternakan. Katanya, pembangunan pusat pendaratan ikan sedang masuk ke fasa kedua
di Tok Bali, Semerak. Di situ nanti akan ada perusahaan membuat bahan makanan haiwan.

“Makanan haiwan yang dikeluarkan daripada ikan dan tanaman-tanaman itu bukan sahaja bagi menampung penternakan di dalam negeri, malahan boleh diekspot,” kata beliau.

Mengulas tentang kesan kemelesetan ekonomi yang dihadapi negara sekarang, beliau membawa kisah tentang aduan yang diterimanya bahawa sebuah kilang di luar Kelantan terpaksa meminta semua 1600 orang pekerjanya membuat surat berhenti dan selepas itu pihak kilang akan
memilih semula hanya 500 pekerja untuk meneruskan kerja di situ.

Keadaan sedemikian akan mengakibatkan pengangguran berleluasa. Usaha untuk menarik rakyat Kelantan yang terlibat dengan pemberhentian kerja bagi diserapkan ke bidang pertanian hendaklah
dijalankan dan para penghulu patut sekali mengambil peranan ini, katanya.