Kerajaan kaji masalah penghijrahan belia
Kelantan
KERAJAAN Kelantan sedang berusaha mencari pendekatan bagi membendung penghijrahan belia dan beliawanis negeri ini yang gemar merantau ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia, YB Ustaz Ahmad Yakob berkata, kajian mengenai masalah itu akan dilakukan dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan ibu bapa. “Sebagai langkah awal untuk mengenal pasti masalah tersebut, siri lawatan ke beberapa negeri termasuk Johor, Lembah Kelang dan Pulau Pinang akan diadakan tahun ini.

“Kita akan berjumpa dengan Jabatan Tenaga Rakyat di negeri-negeri berkenaan dan juga belia-beliawanis Kelantan yang bekerja di negeri tersebut,” katanya.

Menurutnya, hasil tinjauan itu akan membolehkan pihak kerajaan merangka pelan cadangan yang dapat mengatasi pelbagai insentif menarik yang ditawarkan oleh majikan di luar Kelantan.

Beliau juga berkata, skim gaji yang sesuai akan dicadangkan kepada sektor perkilangan yang terdapat di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mendapatkan kerjasama Persatuan Pekilang-Pekilang Negeri Kelantan (Kelma) untuk meninjau keselesaan yang disediakan pihak luar terhadap pekerja-pekerja.

“Sekiranya banyak kemudahan yang diiklan oleh pihak di luar Kelantan terbukti tidak dilaksanakan apabila belia dan beliawanis di negeri ini bekerja di tempat mereka, tidak ada sebab penghijrahan masih berlaku,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa faktor sosial perlu diambil kira oleh belia dan beliawanis kita yang minta bekerja di luar Kelantan memandangkan suasana kehidupan di negeri lain lebih mencabar termasuk pelbagai kegiatan sosial tanpa kawalan daripada ibu bapa,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, suasana Serambi Mekah dan masyarakat yang masih kuat beribadat memberi kelebihan yang selesa kepada sektor perkilangan di Kelantan berbanding di tempat-tempat lain.