Berhati-hati dengan taun

RAKYAT negeri ini diingatkan supaya mengambil langkah perlu untuk mengelak daripada kemungkinan merebaknya penyakit taun.

Mengambil langkah-langkah pencegahan dan berikhtiar mengubati penyakit adalah antara yang dituntut oleh agama, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Kemudahan Awam, Alam Sekitar dan Kesihatan Haji Hassan Abdullah.

Diminta mengulas mengenai Jabatan Perubatan Dan Kesihatan mengesan empat kes taun di negeri ini, beliau berkata walaupun penyakit adalah suatu ketentuan dari Allah tetapi manusia dituntut berikhtiar mengubati dan mencegah penyakit. Jika suruhan agama dilakukan tentulah akan mendapat ganjaran pahala.

Dalam satu kenyataannya, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Yao Sik Chi berkata setakat ini sebanyak empat kes taun dikesan di negeri ini menyebabkan kematian seorang wanita.

Wanita itu dimasukkan ke Hospital Kota Bharu (HKB) pada akhir bulan Februari dan meninggal dunia pada 2 Mac lepas. Katanya, wanita yang mati itu 71 tahun, berasal dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu,  dimasukan ke hospital selepas mengalami cirit birit dan muntah.
Tiga lagi, iaitu dua wanita yang berusia 31 dan 79 tahun dari Kampung Guar Salor dikenalpasti sebagai pembawa kuman, masing-masing dimasukkan ke HKB pada 2 dan 5 Mac lepas manakala seorang lagi kanak-kanak enam tahun dari Kampung Kelong, Tumpat  dimasukkan ke hospital daerah Tumpat pada 6 Mac.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan dan penghindaran.


HOME