WAJAH BARU TOK BALI

PEMBANGUNAN Tok Bali, Semerak yang dirancangkan oleh Kerajaan Kelantan melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan diperingkat dan dilaksanakan secara beransur-ansur untuk membolehkan Tok Bali menjadi sebuah bandar baru berasaskan perikanan yang dilengkapkan juga dengan kilang-kilang perusahaan kecil dan sederhana.

Menurut jurucakap PKINK, projek penting ini yang faedahnya diutamakan kepada penduduk sekitar Semerak serta  Pasir Puteh khasnya dan seluruh Kelantan amnya akan mengubah corak kehidupan penduduk supaya tidak bergantung hanya sebagai nelayan sahaja tetapi akan turut serta di dalam pelbagai perusahaan dan perniagaan melalui kemudahan serba-serbi yang disediakan.
Sebagai nelayan sekalipun, mutu kehidupan mereka dirancangkan supaya  meningkat apabila kemudahan-kemudahan moden bagi nelayan disediakan di Tok Bali.

Penyediaan pelbagai pusat bekalan keperluan dan perkhidmatan bagi nelayan akan disertakan juga dengan industri hiliran seperti pemprosesan makanan berasaskan ikan dan lain-lain hasil laut dan juga dedak bagi ternakan ayam dan haiwan.

Bersama-sama kegiatan pendaratan ikan dan industri berasaskan perikanan ini, peringkat demi peringkat Tok Bali akan dibangunkan menjadi bandar penting yang mempelbagaikan kegiatan ekonomi penduduk sekitar Semerak.  Dengan ini Tok Bali akan menjadi sebuah bandar perikanan, perushaaan dan pelancongan istimewanya sebagai pusat perusahaan kecil dan sederhana.

Diharapkan juga Tok Bali akan memberi khidmat sokongan kepada perusahaan petrokimia di Pantai Senok, Bachok yang sedang dibangunkan dan terletak berhampiran dengannya.

Ketika ini Tok Bali memang menjadi pusat pendaratan ikan yang penting walaupun belum ada kelengkapan pendaratan ikan yang sempurna.  Perkembangan ini disebabkan oleh nelayan-nelayan di Besut tidak dapat mendarat di Kuala Besut akibat air cetek dan adanya beting pasir di sana.
Bagaimanapun, oleh sebab kelengkapan dan perkhidmatan bagi nelayan tidak didapati di Tok Bali, masih banyak bot nelayan terpaksa mendaratkan ikan di negara jiran.

Kebanyakan nelayan tempatan yang mendaratkan ikan di negara jiran terasa akan bebanan kos yang dikenakan terhadap mereka oleh pihak berkuasa di sana.  Oleh itu mereka amat mengalu-alukan rancangan Kerajaan Kelantan membangunkan Tok Bali sebagai pusat pendaratan ikan yang lengkap dan sempurna.

Antara prasarana yang dibina kelak ialah tembok pemecah ombak di hadapan muara Tok Bali yang akan menjadi pelindung kepada kapal-kapal nelayan yang keluar masuk atau berlabuh di jeti-jeti yang disediakan kelak.


HOME