RM30.4 juta hasil balak dipungut

SEBANYAK RM30.4 juta hasil pembalakan berjaya dipungut oleh kerajaan negeri tahun ini sehingga Mei lalu iaitu selaras dengan anggaran pendapat kerajaan negeri tahun ini.

Timbalan Menteri Besar, YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman berkata, jumlah kutipan hasil hutan itu iaitu sebanyak 39.5 peratus daripada belanjawan tahun 1997 yang diumumkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri akhir tahun lalu.

Beliau memberitahu tahu demikian di sidang Dewan Undangan Negeri 17 Jun lalu.
Menurutnya, kejayaan itu dicapai hasil ketegasan dan kecekapan pihak Jabatan Perhutanan Negeri yang menjalankan tugas dengan baik.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Datuk Mohd Rozali Isohak (BN - Dabong) pada persidangan itu beliau berkata, tender pembalakan bagi tahun ini diadakan sebanyak empat kali.
“Tender itu dibuka setiap tiga bulan sekali dan sehingga sekarang sudah dua tender dibuka kepada orang ramai. Jumlah blok dan keluasan kawasan pembalakan yang diluluskan tahun ini ialah 120 blok meliputi 20,000 hektar,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut 77 blok yang meliputi keluasan 10,000 hektar telah ditawarkan sehingga pertengahan tahun ini.


HOME