Antara seni mentadbir politik dan mempolitikkan pentadabiran

Rakyat Kelantan semestinya gembira dan lega apabila  Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan (MMK) dapat dibentuk dengan keanggotaan penuh setelah empat ADUN dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menerajui kerajaan Kelantan mengangkat sumpah sebagai ahli MMK di istana pada 27 Mei lalu bagi menyertai ahli-ahli yang sedia ada.

Mereka ialah YB. Tuan Haji Ahmad bin Yakub (ADUN Pasir Pekan), YB. Tuan Haji Hassan bin Muhammad (ADUN Kemuning), YB. Tuan Haji Hassan bin Abdullah (ADUN Pengkalan Pasir) dan YB. Encik Abdullah bin Ya’kub (ADUN Air Lanas).  Berikutnya, pada 3 Jun, YAB Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, mengumumkan susunan baru portfolio MMK dan melantik pengerusi-pengerusinya untuk mentadbir kerajaan.

Keempat-empat mereka mengisi tempat yang  kosong di dalam MMK setelah anggota-anggotanya dari Parti Melayu Semangat 46 keluar dari kerajaan untuk menyertai Barisan Nasional kira-kira sebelas bulan lalu.

Kegembiraan dan kelegaan rakyat Kelantan ini tentulah bersebab.  Mereka telah dapat bersabar begitu lama di dalam suasana kemelut politik yang menggugat kerajaan pimpinan ulama.   Mereka bersabar kerana yakin dengan kepimpinan ulama yang menerajui negeri ini.

Kejayaan menyusun pentadbiran kerajaan negeri dengan perlantikan ahli-ahli MMK ini adalah hasil dari kecekapan pimpinan di dalam mengendalikan pentadbiran politik. Kemelut politik yang dihadapi bukan sembarangan.  Alhamdulillah, berkat kepimpinan ulama mengamalkan kesabaran dan kesederhanaan Islam di dalam berpolitik, kemelut itu tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Walaupun sepak terajang bagi melaksanakan demokrasi dan mentafsir perlembagaan di negeri dan negara ini kelihatan begitu kasar, Islam mempunyai cara-cara seni untuk menghadapinya.  Seni ini ialah seni mentadbir politik. Hasil daripada amalan seni ini, rakyat dapat ditenangkan.  Demikianlah kepimpinan ulama bertugas melaksana Islam.

Seni mentadbir politik yang ditunjukkan oleh kepimpinan ulama itu mungkin sesuatu yang baru pada zaman Islam dicabar dengan kuat sekali oleh puak sekular seperti sekarang.  Seni ini telah dapat mengekang kemelut.  Ia tidak datang dengan tiba-tiba.  Ia terbentuk melalui didikan yang mengambil masa panjang; diterapkan beransur-ansur di kalangan rakyat.  Jelas sekali sebahagian besar rakyat telah menerimanya, sebagaimana yang mereka tunjukkan bagi menyokong kerajaan negeri di dalam pilihan raya kecil Pulai Chondong pada Januari lalu.

Kecekapan mentadbir politik oleh kepimpinan ulama untuk meleraikan - atau sekurang-kurangnya menenangkan suasana - di dalam kemelut yang dihadapi itu kini terpaksa pula dihadapkan ke gelanggang yang berlainan bentuknya tetapi amat rapat dan amat berkaitan dengannya.  Gelanggang ini ialah gelanggang pentadbiran kerajaan.  Di gelanggang ini ada sepak terajang yang diketahui umum sebagai politik pentadbiran, yang berlaku kerana pentadbiran negeri dipolitikkan oleh kalangan bukan politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran, YB Haji Nordin Yaakub, misalnya, mendesak Pejabat Tanah dan Jajahan di negeri ini agar mematuhi sepenuhnya arahan kerajaan negeri supaya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Peringkat Jajahan setiap bulan sebagaimana kelazimannya.  Desakan Haji Nordin ini yang lebih berupa rungutan, sebagai contoh, membayangkan adanya amalan mempolitikkan pentadbiran.  Mempolitikkan pentadbiran adalah menyalahi perlembagaan, undang-undang dan peraturan pentadbiran.


HOME