BISMILLAHIRAHMANIRAHIM:
Sekiranya Allah menghendaki,
nescaya kamu jadikannya satu umat (sahaja) tetapi Allah hendak menguji
kamu terhadap pemberiannya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan,
hanya kepada Allah lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan nya kepadamu
apa yang telah kamu perselisehkan itu.
(SURAH AL-MAIDAH: 5.48)
- YBhg. Timbalan Pengerusi
Persatuan
- YBhg. Para Dhif-dhif jemputan
- Para penderma
- Ahli-ahli Jawatankuasa
Persatuan
- Hadirin, hadirat sekelian
Alhamdulillah saya syukur kehadrat Allah swt kerana dapat bersama hadir dan memberi sepatah dua kata dalam majlis pada petang ini, juga saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih saya kepada ahli-ahli jawatankuasa persatuan ini kerana telah berjaya memimpin persatuan ini dengan baik dan membolehkan mesyuarat pada petang ini diadakan dengan baik dan lancar.
Para hadirin sekelian,
Memang Allah berkuasa untuk menjadikan seluruh alam ini satu bentuk, satu rupa, satu sifat dan satu segala-galanya, kerana sifat Allah yang Maha Berkuasa, tetapi kenapa Allah tidak menciptakan makhluk-makhluk sedemikian rupa, itulah perkara yang memerlukan pemerhatian, pemikiran dan keimanan kepada Allah yang mendalam dikalangan kita. Sebaliknya telah menjadi sunnah Allah, bahawa makhluk yang ada dimuka bumi ada berbagai-bagi dan bermacam-macam yang pasti ada perbezaan walaupun sedikit, seperti yang diciptakan oleh Allah kepada manusia, manusia dalam dunia ini walaupun ramai tetapi antara satu orang dengan orang yang lain ini pasti ada perbezaannya. Kalaupun rupanya sama seperti berlaku kepada sebahagian anak-anak dilahirkan kembar rupa antara keduanya sama sehingga ibu bapa mereka pun sukar untuk membezakan antara keduanya, namun masih ada satu perbezaan yang memang Allah ciptakan khususnya perbezaan urat-urat diibu jari. Walau seramai manapun manusia diatas muka bumi ini cop jarinya tidak sama antara satu sama lain, mahkamah dari perbezaan itu ialah untuk memberi kemudahan kepada manusia untuk mengurus manusia dialam ini. Jari-jari berbeza itu dijadikan alat untuk membezakan antara satu orang dengan orang lain.
Begitulah juga dalam hal kehidupan yang lain kita dapati dalam masyarakat dan dunia pada bila-bila masa pun terdapat kepelbagaian golongan dan keadaan hidup manusia sepanjang masa dan zaman golongan-golongan tersebut ada yang dikategorikan sebagai golongan yang bernasib baik, kaya raya, senang lenang, sihat walafiat dan segar bugar,dan adanya yang disebut sebagai tidak bernasib baik iaitu golongan yang miskin, fakir, cacat fizikal dan mental serta diserang pelbagai penyakit dan wabak, kesemuanya ini ada tujuan dan mahkamah tertentu kenapa Allah jadikan seperti ini, kalau tidak ada tujuan sudah tentu Allah jadikan satu jenis dan bentuk sahaja, persoalannya sekarang ini ialah kebanyakan manusia tidak dapat memahami dan mengahayati hikmah dan tujuan Allah menjadikan kepelbagaian makhluk dan bentuk-bentuk didunia ini, kebanyakan kita menganggap kepelbagaian tersebut sebagai satu urusan tersendiri yang tidak memberi apa-apa makna dan sumbangan kepada orang lain malah golongan yang kaya menganggap golongan miskin sebagai beban dan masalah yang menyusahkan mereka,dan golongan miskin menganggap golongan yang kaya sebagai saingan dan perampas peluang mereka.
Para hadirin sekelian,
Pandangan dan pendapat seperti itu sangat tidak sesuai dengan Islam, kerana Islam sebagai al-Din mengajar kita bahawa setiap apa yang berlaku pada diri kita dan orang lain adalah peluang kepada kita menunjukan kesyukuran kepada Allah swt, Islam telah mengisytiharkan kepelbagaian yang berlaku dalam struktur masyarakat sebagai satu ujian kepada seluruh anggota masyarakat tersebut, orang kaya menjadi ujian kepada orang miskin, iaitu apabila Allah memberi nikmat yang banyak kepada orang lain bermakna Allah ingin menguji perasan kita samada kita dengki, khianat dan berniat baik terhadap orang lain atau adakah kita meronta-ronta memarahi Allah kerana tidak memberi rezki dan nikmat seperti yang diberi kepada orang lain.
Begitu juga orang miskin dan orang susah diwujudkan dalam setiap masyarakat pada setiap zaman adalah bertujuan untuk menguji golongan kaya adakah mereka sedar dan bersyukur bahawa apa yang mereka miliki itu diberikan oleh Allah kepada mereka yang sepatutnya mereka mensyukuri dan dengan rezki dan nikmat yang melimpah ruah adakah ia telah mempergunakan untuk sesuatu yang terbaik. Persoalan bagaimana dunia ini boleh menjadi ladang kepada hari akhirat sekiranya persoalan ibadat dan pengertian Islam dipersempitkan kepada beberapa bidang tertentu sahaja yang tidak termasuk didalamnya persoalan sosial dan kebajikan serta pertolongan terhadap yang tidak bernasib baik dalam sesebuah masyarakat.
Kita sepatutnya merasa malu terhadap beberapa pertubuhan yang didokong oleh mereka yang bukan dari kalangan Islam yang telah begitu berjaya dan menonjol dalam usaha dan aktiviti-aktiviti kebajikan dan sosial seperti Kelab Lion Rotary Club dan sebagainya sedangkan kita umat Islam walaupun sudah diajar oleh ajaran Islam supaya wajib mengeluarkan zakat dan galakan bersedekah masih teragak-agak untuk tampil kehadapan membantu golongan yang tidak bernasib baik, oleh itu kewujudan persatuan membantu pesakit-pesakit kusta yang ditubuh dan didokong oleh tuan pada hari ini adalah satu aktiviti yang sangat dikehendaki dan selari dengan tuntutan Islam. Saya berharap semuga tuan-tuan dapat terus memperjuang dan memperkembang budaya menubuh dan memimpin persatuan-persatuan yang bertujuan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik ini, supaya terus berkembang merebak kedalam masyarakat kita sehingga menjadi sebahagian dari budaya dan nilai yang penting dalam masyarakat kita terutama bagi masyarakat bandar yang sudah ternyata terhakis dari nilai dan budaya seperti ini, sedangkan dari segi keupayaan akliah dan kebendaan mereka lebih mampu dari masyarakat desa atau luar bandar. Dengan berbekal nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada tuan-tuan gunakanlah sebahagian daripada nikmat tersebut untuk membantu orang lain yang tidak bernasib baik supaya nikmat yang Allah berikan kepada kita didunia itu akan berkekalan dan berterusan hingga keakhirat, kerana akhiratlah tempat yang lebih seronok dan berkekalan untuk selama-lamanya.
sekian.