- YBhg. En Shaharudin
Ismail- Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia
- YBhg. En. Siba Subramaniam-
Setiausaha Agong CUEPAC
- YABrs. Pengarah Hutan
Negeri-negeri Semenanjung Malaysia
- YBhg. Ibrahim Hj. Yunus-
YDP Kesatuan Pegawai-pegawai Hutan Semenanjung Malaysia
- Ahli-ahli Jawatankuasa
Kesatuan
- Para perwakilan dan para
pemerhati sekelian
Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah swt kerana pagi ini kita dapat bersama-sama tuan-tuan sekelian dalam majlis ini. Terima kasih saya rakamkan kepada seluruh barisan kepimpinan kesatuan kerana telah sudi memilih negeri Kelantan sebagai tempat untuk diadakan mesyuarat agung ini dan sudi pula menjemput dan memberi peluang kepada saya untuk memberi sepatah dua kata dalam majlis yang meriah ini, kepada perwakilan saya ucapkan selamat datang dan selamat bersidang.
Para hadirin sekelian,
Kesatuan tuan ialah kesatuan para pegawai hutan yang berbangsa melayu dan berugama Islam di Semenanjung Malaysia. Ini bermakna tuan-tuan sekelian adalah penjaga satu khazanah negara dan khazanah rakyat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada rakyat dan negara kita iaitu hutan. Malaysia terkenal sebagai salah sebuah negara yang banyak mengeluarkan hasil-hasil hutan seperti kayu balak dan rotan dan terkenal diseluruh dunia. Dalam dunia yang buminya semakin terhakis dan hilang sumber perhutanan telah menjadikan nilai hutan dan segala isi didalamnya semakin hari semakin tinggi nilainya. Sebagai contoh lihat saja harga kayu gergaji atau kayu balak. Kalau dua puluh tahun yang lalu harganya sekitar dua hingga tiga ratus bagi satu tan, sekarang telah bertukar menjadi satu ribu ringgit satu tan, kalau dulu orang-orang kampong yang miskin mendirikan rumah menggunakan kayu, tetapi sekarang menjadi sebaliknya. Begitulah tinggi dan bernilainya hutan dalam pasaran dunia hari ini.
Hutan yang amat bernilai dan tinggi nilainya telah diserahkan oleh pihak-pihak berkaitan kepada kita para pegawai hutan. Kalau kita semua menjaganya dengan baik bermakna selamat khazanah negara dan khazanah rakyat. Sebaliknya kalau kita tidak menjaganya maka akan rugilah negara dan rakyat. Ini bermakna bahawa amanat yang dipikul oleh tuan-tuan sekelian adalah satu amanah yang besar dan berat. Lebih-lebih lagi tanggungjawab menjaga harta yang bernilai ini adalah satu tanggungjawab yang sangat mencabar. Ia bukan sahaja mencabar kesungguhan dan ketekunan kita tetapi juga mencabar keinginan dan nafsu yang ada didalam diri kita. Harta bagi nafsu manusia adalah sesuatu yang sangat disukainya. Allah sendiri didalam al-Quran ada menyebut antara perkara yang sangat disukai oleh nafsu ialah hartabenda yang bernilai. Firman Allah; yang bermaksud: dijadikan indah pada pandangan manusia pada kecintaan kepada apa-apa yang dingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan binatang-binatang ternak dan sawah ladang.
Oleh kerana harta ini adalah buah hati dan idaman kepada nafsu. Sedangkan nafsu itu pula adalah sesuatu yang mesti wujud didalam diri manusia. Maka Allah jadikan pula malaikat yang mengajak kearah kebaikan dan menjadikan syaitan untuk mengajak kepada keburukan. Bagi membolehkan manusia mempertimbangkan mana yang baik dan mana yang buruk ajakan malaikat maupun iblis, Allah telah memberikan akal fikiran kepada manusia supaya berfikir betul dan dibekali al-Quran sebagai asas dan panduan kepada akal. Oleh kerana harta itu sebagai satu alat ujian yang besar dan mencabar kepada nafsu manusia, maka akal dan garis panduan al-Quran perlu dijadikan pegangan didalam setiap tindakan dan keputusan yang hendak dibuat.
Al-Quran telah menceritakan banyak perkara kepada manusia, bermula dengan cerita mengenai kejadian diri manusia itu sendiri, peraturan dan undang-undang serta suasana dan keadaan yang menimpa manusia dihari akhirat. Dalam surah Yaasin yang selalu kita baca Allah menceritakan bagaimana manusia dihari akhirat. Menjaga amanat adalah salah satu daripada ajaran Islam yang wajib ditunaikan oleh mereka yang berkaitan. Saudara-saudara semua sebagai orang yang diberi amanat untuk menjaga harta negara dan rakyat lebih-lebih lagi mustahak untuk ditunaikan. Kalau negara dan rakyat akan mengalami kerugian yang amat besar. Sumber dan hasil-hasil hutan ini memang boleh dijaga dengan baik kalau kita semua mengamalkan ajaran Islam. Tetapi kadang-kadang berlaku amalan yang tidak baik dikalangan pemegang amanah seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah, menyebabkan hasil hutan yang bernilai berbilion-bilion ringgit telah hilang begitu sahaja.
Para hadirin sekelian,
Ada sebahagian orang merasa seronok dan gembira dengan amalan rasuah yang mereka amalkan, kerana mereka bukan sahaja menjadi kaya raya dan hidup mewah, tetapi mereka merasakan mereka adalah orang yang cerdik kerana terlepas daripada tangkapan pihak berkuasa. Sebagai orang Islam yang beriman kepada Allah, sepatutnya tidak boleh bersifat demikian, kerana walaupun kita berjaya melepaskan diri daripada undang-undang negara tetapi kita tidak akan terlepas daripada siksaan dan balasan azab daripada Allah dihari akhirat. Allah tidak boleh kita tipu dan sembunyikan, bila dan dimana dan apa jua yang kita lakukan pasti akan dilihat olehnya. Dimana firmannya; Ia akan sentiasa bersama dan melihat apa jua yang kita lakukan samada secara terang atau sembunyi. Kejayaan kita membebaskan diri dari tangkapan dan hukuman didunia bukanlah sesuatu yang bermakna kepada kita, kerana azab didunia ini tidaklah seberat mana berbanding dengan azab Allah dihari akhirat nanti. Azab diakhirat bukan sahaja pedih tetapi masa menerima siksaan jauh lebih lama daripada sekarang. Kalau sekarang sekadar masuk penjara 4 atau 5 tahun, tetapi diakhirat berada didalam Neraka untuk selama-lamanya. Kefahaman, kesedaran dan penghayatan kepada ajaran seperti ini sangat perlu kepada kita semua, kerana inilah sahaja ajaran yang boleh menyelamatkan diri kita daripada azab Neraka yang pedih. Ajaran seperti ini tidak ada didalam ajaran-ajaran yang lain daripada Islam, kerana ajaran-ajaran lain yang direka-reka oleh manusia tidak dapat menyelami perkara-perkara ghaib seperti hari kahirat ini.
Kita sebagai seorang pegawai kerajaan sepatutnya merasai bersyukur terhadap imbuhan yang telah diberi kepada kita oleh kerajaan melalui jawatan yang telah kita terima tidak perlu kita berlumba-lumba untuk mencari pendapatan yang lebih melalui sumber yang tidak halal dan ditegah oleh Allah. Kerana Allah pasti tidak memberi kekayaan yang hakiki kepada kita, kerana kekayaan yang hakiki bukanlah bererti banyaknya wang, sebaliknya kekayaan ini apabila kita merasa puas dan cukup dengan apa yang ada pada kita. Sebagaimana sabda Nabi yang bermaksdu: perasaan manusia tidak akan merasa puas walaupun sudah banyak harta kerana perasaan mereka tidak akan merasa aman dan selesa dengan apa yang ada, lebih-lebih lagi diwaktu umur yang semakin tua, nikmat semakin mudah semakin hilang seleranya, pada masa ini kita akan merasa lebih gelisah kerana teringat dosa-dosa yang lalu.
Dari satu sudut betullh kita boleh bertaubat kepada Allah, tetapi bagaimana pula dengan rumah tempat tinggal, pakaian yang kita pakai, darah daging yang tumbuh dari sumber yang haram? adakah kita sanggup buang semua daripadanya sedangkan usia kita sudah tua dan tidak mampu mencari yang lain. Inilah dilema perasaan yang akan kita hadapi apabila umur kita semakin lanjut dan kita semakin hampir dengan mati apabila kita terlibat dengan rasuah. Jadi sebelum kita menempuh keadaan yang sedemikian, lebih baik kita mengelakkan diri dari awal-awal lagi. Carilah rezki Tuhan sekadar yang diizin dan dihalalkan oleh Allah kepada kita, kerana ia lebih membahagiakan kita sepanjang masa.
Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan dan selamat bersidang, bagi mereka yang baru pertama kali datang ke Kelantan, silalah mengambil peluang untuk menziarah dan melawat tempat-tempat yang menarik yang ada di negeri ini. Sekian dengan lafaz Bismillahiramanirahim. Saya rasmikan Persidang Kesatuan Pegawai-pegawai bagi tahun 1998.
Sekian terima kasih.