TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU MENTERI BESAR KELANTAN
DI MAJLIS UPACARA ANGKAT SUMPAH
AHLI MAJLIS PERBANDARAN KOTA BHARU
PADA: 07/01/98

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Yang  bermaksud:  Wahai Nabi Daud sesungguhnya Aku  jadikan  kamu sebagai  pemerintah  di  bumi ini maka  berikanlah  keputusan  di kalangan  manusia dengan benar dan adil. Dan janganlah kamu  mengikuti  nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari  jalan  Allah. Sesungguhnya orang yang di sesatkan dari jalan Allah akan di beri balasan azab yang pedih. (Surah Sad ayat : 26)

YB. YDP. Majlis Perbandaran Kota Bharu

YB. Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen

YBhg. Ahli-ahli Majlis

YBhg. Ketua-ketua Jabatan dan Para kakitangan MPKB

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian
 

Alhamdulillah,  kita bersyukur kepada Allah kerana masih  memberi rahmat  dan  pertolongan kepada kita semua  sehingga  membolehkan kita  menyambut bulan ramadhan al-mubarak tahun  ini.  Bersempena dengan  majlis angkat sumpah ahli-ahli majlis sebentar lagi  suka saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada saudara  saudari  yang telah di pilih oleh parti  dan  kerajaan  untuk memikul  amanah sebagai ahli majlis bagi tempoh satu  tahun  yang akan datang ini. Semuga tuan-tuan dapat memikul amanah ini dengan baik dan berhemah.

Para hadirin sekelian,

Bagi  seseorang  manusia atau haiwan, organ yang  paling  penting sekali  dan  amat berguna kepada kehidupan mereka  ialah  jantung mereka. Kerana jantung adalah punca dan sumber bagi segala kekuatan fizikal, jantung juga adalah minda, terhadap hidup atau mati. Kalau  jantung  berdenyut dengan baik, bukan sahaja  seorang  itu dapat  bernafas, tetapi juga pengaliran darah keseluruhan  organ-organ lain di dalam badan akan berfungsi dengan baik. Yang menyebabkan  kesemua  organ-organ lain di dalam badan  akan  berfungsi dengan  baik.  Yang  menyebabkan kesemua  organ-organ  tadi  akan menjadi kuat dan lebih berkesan dalam menjalankan  tugas-tugasnya masing-masing.  Begitulah  sebaliknya kalau jantung  tidak  mampu mengepam  darah  dan pernafasan dengan baik. Maka  seluruh  organ lain  akan mengalami kelemahan dan tidak berfungsi  dengan  baik.

Apabila  ini berlaku maka akan kelihatan tanda-tanda dan  suasana yang tidak ceria pada wajah seseorang itu. Samada bentuk badannya yang kurus, mukanya yang pucat, ataupun kecacatan yang nyata pada mana-mana anggota fizikalnya.

Kalau  jantung  merupakan organ yang terpenting dan  utama  dalam sesebuah  Negeri  atau kerajaan. Ia merupakan organ  yang  paling penting  dan utama bagi Negeri tersebut. Kalau ia sihat dan  berfungsi maka Negeri ini akan menjadi kuat, masyhur dan berkembang maju.  Sebaliknya  kalau ia lemah. Maka Negeri ini  akan  menjadi negatif  dan tidak bermaya. Olehitu jantung bagi Negeri  Kelantan ialah  Kota Bharu. Ia adalah ibu Negeri dan bandar yang  terbesar di  Negeri  ini, ia banyak memberi sumbangan  kepada  Negeri  ini samada  secara  langsung ataupun tidak langsung.

Oleh  hal  yang demikian,  bandar Kota Bharu mesti di pastikan berada dalam  keadaan sihat walafiat dalam semua hal dari semua segi samada kewangan, kebersihan, kedamaian keharmonian dan perjalanannya.  Bandar adalah  sebuah kawasan yang statik sifatnya yang menjadi  jantung kepada  bandar  yang statik untuk bergerak  dan  kelihatan  segar bugar  ialah manusia yang berada di dalamnya, yang  terdiri  dari ahli-ahli majlis, para pentadbir, kakitangan dari yang  setinggi-tinggi  hinggalah  kepada yang serendahnya pangkat  dan  jawatan. Mereka ini adalah organ yang penting dalam menentukan hidup  atau matinya  sebuah  bandar yang bernama Kota Bharu itu.  Dan  Negeri Kelantan  juga  turut masyhur dengan kebaikan itu,  tetapi  kalau mereka  lemah.  Maka seluruh Negeri dan rakyat Kelantan  akan  di lihat sebagai lemah belaka. Kerana di sinilah tempat-tempat  yang mula-mula  di  jadikan tumpuan orang lain apabila  mereka  datang ke Negeri  Serambi  Mekah  ini.

Apabila mereka  sampai  di  Negeri Kelantan,  di Kota Bharulah tempat mereka menginap, makan  minum, mebeli  belah  dan  berurusan dengan  pelbagai agensi  kerajaan. Sekiranya  kita  mampu  menunjukan kehebatan  bandar  Kota  Bharu kepada  mereka.  Maka mereka akan pulang ketempat  mereka  dengan rasa  seronok  dan  memuji-muji keindahan  dan  kehebatan  Negeri Kelantan.  Tetapi sekiranya perkara buruk yang mereka  dapati  di bandar ini, maka keburukan itulah mereka sebarkan mengenai Negeri Kelantan.

Para  pegawai  dan pentadbir MPKB telah memiliki  kelayakan  yang sepatutnya mereka miliki, seperti sijil-sijil dan kemahiran serta kebolehan  tertentu,  dan mereka telahpun berfungsi  sebagaimana sepatutnya.  Ada yang berfungsi sebagai otak yang  merancang  dan menentukan  arah perjalanannya. Ada yang berfungsi  sebagai  muka yang menjadi penyeri dan penyeronok hati setiap orang yang memandang  mereka.  Ada yang berfungsi sebagai darah  yang  memberikan kekuatan  dan  tenaga. Ada yang berfungsi sebagai  buah  pinggang yang mamapu menyaring dan menapis segala zat yang telah di hadham oleh  perut  dari  sumber yang kasar. Dan  berbagai  lagi  fungsi mengikut  bidang  kemahiran dan kedudukan jawatan  seseorang  itu dalam  birograsi  MPKB itu sendiri.

Kesemuanya itu  sudah  berada dalam  MPKB  tinggal ialah adakah semua sumber tenaga  itu  sudah berfungsi  sebagaimana sepatutnya dan sewajarnya. Hal  bergantung kepada tahap keimanan dan qadar kefahaman terhadap ajaran  Islam.  Sekiranya  seorang  mempunyai kefahaman  yang  mendalam  terhadap ajaran  Islam, terutama dalam hal dosa dan pahala serta  terhadap kehidupan di hari akhirat, sudah tentu ia akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Para hadirin sekelian,

Untuk mempastikan Islam ini betul-betul maka kita telah  mengadakan pelbagai program termasuk program semasa bersembahyang  terawih  di bulan ramadhan ialah bulan orang Islam  bertadarus  atau membaca al-quran. Masa membacanya ada berbagai. Ada yang  membaca di rumah berseorangan dan ada yang membaca beramai-ramai termasuk membacanya imam semasa bersembahyang sunat terawih. Allah  mengajar kita apabila ada orang baca quran, maka kita hendaklah dengar dengan baik dan teliti serta diam.

Bagi orang-orang Arab atau orang-orang yang memahami bahasa Arab, apabila  mereka mendengar orang membaca al-quran,  mereka  sudah faham isi kandungan al-quran. Tetapi bagi kita orang-orang melayu yang  tidak memahami bahasa Arab. Apabila kita dengar orang  baca al-quran  kita tidak tahu apa makna dan pengertian. Ini  bermakna antara  dengar dengan tidak hampir sama sahaja  keadaannya.  Jadi dalam  keadaan  seperti  ini, macam manakah  caranya  untuk  kita memahami  al-quran  kalau tidak melalui tazkirah  dan  penjelasan daripada  orang yang tahu dan faham al-quran.

Di  atas  keyakinan dan hasrat supaya rakyat atau umat Islam memahami al-quran itulah walaupun ada pihak-pihak yang tidak suka dan tidak benar di  buat tazkirah  di  Negeri mereka tetapi kita tetap  teruskannya.  Kita minta setiap imam yang menjadi imam sembahyang terawih,  berhenti sekejap  dari  sembahyang supaya memberi tazkirah  iaitu  memberi erti dan sedikit tafsiran mengenai ayat yang telah di baca  sebelumnya. Supaya rakyat dapat faham kandungan al-quran dalam bahasa ibunda mereka.

Oleh  hal yang demikian, bagi melebar dan meluaskan  lagi  budaya membaca  dan memahami al-quran di kalangan rakyat terutama  warga Kota  Bharu yang terdiri dari golongan peniaga, kakitangan  kerajaan  dan  swasta dan orang awam, sangat baik  kalau dapat  MPKB mengambil  langkah-langkah  tertentu  untuk  mengadakan  tazkirah melalui  saluran  yang  sedia ada. Supaya  memberi  tazkirah  itu menjadi  sebahagian daripada budaya MPKB. Ayat-ayat yang di  baca oleh  imam  semasa terawih dan sebelumnya, kalau  dapat  di  buat intisari dan ringkasan untuk di jadikan bahan tazkirah pada  hari esoknya  dan di siarkan tazkirah tersebut melalui pembesar  suara supaya rakyat dan pengguna, serta pengunjung bandar akan mendapat ilmu sambil mereka berurusan di sini.

Kepada golongan yang  tidak berminat atau tidak suka kepada program tazkirah ini, kita  ingin bertanya  kepada  mereka, di mana ruginya kalau tazkirah  ini  di adakan?  dan  di mana untungnya kalau tazkirah itu  di  tiadakan? apakah  kita sanggup dan merasa seronok melihat rakyat atau  umat  Islam berada terus menerus dalam kejahilan terhadap isi kandungan kitab  yang menjadi asas pegangan mereka. Jawapannya sudah  tentu sekali tidak, oleh kerana itu program ini sangat besar  faedahnya kepada  kita dan seluruh umat Islam. Amat besarlah pahala  mereka yang  membudayakan program ini dan amat banyaklah faedah yang  di perolehi  oleh  orang  yang mahu  mengambil  kesempatan  daripada program  ini.  Kerana kita akan mendapat ilmu tanpa  perlu  pergi ke sekolah  atau Universiti malah sambil duduk berjual,  berurusan pun kita akan mendapat ilmu dari program seperti ini, di harapkan MPKB  dapat mempelopori budaya ilmu ini di bandar ini  supaya  ia selari  dengan imej yang sedia ada pada negeri Kelantan sebagai Negeri  yang menjadi gedung ilmu dan ulama' sejak zaman  berzaman sehingga mendapat jolokan serambi mekah.

Marilah sama-sama kita memainkan peranan ini,supaya seluruh  umat Islam  dapat membebaskan diri dari kejahilan  ataupun  al-quran. Hanya dengan keadaan sedemikian sahajalah kesejahteraan  masyarakat dapat diwujudkan.

Insya'Allah.