BISMILLAHIRAHMANIRAHIM
Wahai orang-orang yang beriman
janganlah sampai hartabenda dan anakpinak kamu membinasakan kamu dari mengingati
Allah, barangsiapa berbuat demikian, nescaya termasuk dalam golongan orang-orang
yang rugi.
(SURAH AL-MUNAFIQUN
AYAT: 9)
Yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita mengatur kesyukuran kehadrat Allah saw yang telah menganugerahkan kepada kita sekelian nikmat yang tidak terhingga. Sehingga dapat sama-sama kita menyempurnkan majlis ini.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak persatuan ini, diatas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua ucapan dan seterusnya merasmikan mesyuarat pada hari ini.
Para hadirin sekelian,
Suatu tabi’i yang sengaja ditentukan oleh Allah kepada manusia ialah mengatur kehidupan yang selesa diatas muka bumi ini. Islam tidak pernah menghadkan bidang-bidang tertentu terhadap manusia didalam mencari habuan dunia. Mereka boleh bergerak kesana kemari, menggunakan tenaga dan usaha yang di anugerah oleh Allah, mengunakan ikhtiar dan fikiran yang dilahirkan oleh kekuatan akal. Tetapi disana satu perinsip yang mesti dipatuhi ketika menjalankan ikhtiar tersebut, iaitu batasan hukum yang dikenali sebagai syariat Islam. Carilah kekayaan sebanyak mana yang mampu buatlah apa pekerjaan yang difikirkan boleh mendapat hasil, asalkan ia tidak terkeluar dari syariat Islam. Inilah perinsip yang membezakan antara orang Islam dengan bukan Islam, diantara orang yang beriman dengan orang yang engkar, dunia sama dicari kekayaan sama dikehendaki. tetapi orang Islam yang sejati akan mencari harta dalam batasan syarak, sementara orang-orang bukan Islam atau orang Islam yang lalai tidak akan mengira batasan syarak, asalkan kekayaan dicapai, hasil daripada itulah Allah saw telah memberi ingatan kepada kita agar janganlah kerana hartabenda, kerana anakpinak, kita lalai dari mengingati Allah, sepertimana ayat yang di bacakan tadi.
Walaupun khzanah dunia ini
memang disediakan untuk manusia tetapi ia bukanlah matlamat. Harta benda
dan seluruh yang ada dimuka bumi adalah untuk digunakan sebagai alat yang
memudahkan kita mengabdikan diri kepada Allah, sebagai kebun untuk dituai
diakhirat dan sebagai jambatan menuju ke syurga. Apa yang menjadi masalah,
bila dunia dibentangkan kepada manusia, mereka akan leka dan lalai dari
tanggungjawab sebenar sebagai hamba Allah, jadilah mereka tidak bersyukur
dengan nikmat pemberian Tuhan. Dimana firman Allah yang bermaksud; kami
telah menjadikan bagimu semua dibumi ini untuk kehidupan tetapi sedikit
sahaja yang bersyukur.
Menyedari hakikat ini, kerajaan
negeri merasa bertanggungjawab untuk menyemaikan satu pegangan hidup yang
lebih bermakna kepadarakyat. Mereka hendaklah digerakan untuk melipat gandakan
ketekunan dalam bekerja. Melipat gandakan ikhtiar, serta memilih kaedah
dan peralatan yang canggih dan terkini dalam apa jua lapangan. Semata-mata
untuk mencapai kesenangan dunia, tetapi gerakan tersebut hendaklah sentiasa
berada diatas landasan hukum syarak, mematuhi batasan hukum halal dan haram
serta tidak lalaikan dari tanggungjawab ibadat dan matlamat pengabdian
mutlak terhadap Allah. Dihadapan tuan-tuan sekelian ialah sebuah pasar
yang telah bertukar nama kepada pasar besar Siti Khadijah, walaupun sesetengah
pihak yang setiasa melihat dari arah negatif, memerli langkah penukaran
nama pasar ini, dengan mengatakan sebagai perkara remeh temeh, ia mempunyai
satu pengajaran simbolik yang sungguh bermakna kepada para peniaga.
Sengaja ditonjolkan dengan
nama Siti Khadijah, agar terbuka satu pemikiran minda kepada golongan
pedagang atau koporat, bahawa
inilah model saudagar Islam
yang mesti dicontohi, perniagaanya yang berjaya tanpa mengorbankan kerja-kerja
ibadat dan pengabdian terhadap Allah, perniagaanya boleh membantu kelancaran
menuju syurga Allah, bukannya mengheret ke neraka. Inilah wawasan kerajaan
yang ingin melihat para peniaga sekelian agar dapat menjadikan Siti Khadijah
sebagai model mereka.
Para hadirin sekelian,
Beberapa pendekatan harus diketengahkan bagi membuka jalan kepada para peniaga agar menjadi seorang peniaga muslim, tidak lalai dari mengerjakan tanggungjawab ibadat, serta dapat mewujudkan keseimbangan dunia dan akhirat oleh itu masjid al-Baraah yang berada berhampiran dengan pasar ini memberi kemudahan kepada para peniaga untuk bersolat dan seumpamanya, masjid ini hendaklah di menafaatkan sepenuhnya oleh para peniaga sekelian, yang menampakkan satu pertalian yang erat diantara masjid dan pasar apabila dilihat berduyun-duyun para penghuni pasar menuju ke masjid, bilamana panggilan azan berkumandang.
Selain dari pada itu, pihak MPKB juga telah memainkan peranan yang aktif dalam usaha mewujudkan keseimbangan ini, apabila pasar malam yang berada disebelah sana dihentikan untuk beberapa ketika bila tiba waktu maghrib. Ini bukan sahaja menunjukan satu syiar, malah penghayatan bermakna, menjadikan para peniaga tidak leka dengan tuntutan solat maghrib yang masanya begitu pendek.
Para hadirin sekelian,
Pengertian bahawa hartabenda yang melalaikan kita dari mengingati Allah perlu juga di lihat dari sudut ketulinan harta benda sendiri, tidak cukup dengan kita hanya menjaga sembahyang, tidak menipu, amanah dan sebagainya dalam urusan kerja atau perniagaan. Satu perkara yang mesti dipelihara ialah punca harta itu dan bagaimana ia diuruskan agar tidak melibatkan dengan riba. Kerajaan negeri amat memandang berat tentang penglibatan riba, dan cuba berikhtiar sedaya upaya agar seluruh rakyat negeri ini terselamat darinya. Untuk itu selain dari akaun kerajaan sendiri dipindahkan ke kaunter Islam, satu skim pinjaman kakitangan kerajaan tanpa riba juga di perkenalkan, setakat ini para peminjam telah mendapat menafaat ini. Untuk para peniaga, kerajaan juga telah memperkenalkan sistem gadaian al-Rahnu. Ini semua merupakan sebahagian dari usaha-usaha untuk menjamin seluruh rakyat memiliki harta yang halal. Sebuah kerajaan yang bertanggung jawab adalah kerajaan yang mahu melihat rakyatnya mendapat kesenangan harta benda, tetapi harta itu adalah halal, didunia mereka maju dan diakhirat mereka bahagia. Kalau rakyat hanya disuruh mengejar dunia, tanpa mempedulikan nasib mereka sesudah mati, samada ke syurga atau ke neraka, itu adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, kerajaan yang tidak sayang kepada rakyatnya.
Tuan,tuan sekelian,
Dalam kesempatan ini saya ingin menyeru kepada persatuan, khususnya kepada ahli-ahli jawatankuasa agar dapat mengikuti hasrat kerajaan yang mahu melihat satu keseimbangan yang sebenar dalam hidup, dunia dan akhirat. Aturkanlah langkah-langkah yang sewajarnya melalui program-program yang selari dengan dasar kerajaan jika ini dapat dicapai, bukan sahaja ia memberi menafaat kepada rakyat dan kerajaan, malah kepada semua pihak, khususnya pada para peniaga dan ahli-ahli persatuan. Harus diyakini bahawa dasar kerajaan yang memilih keseimbangan dunia dan akhirat adalah satu pendekatan yang terbaik, ia sekali-kali tidak menggugat kelancaran dagangan atau perniagaan, tetapi hanya satu pendekatan atau paradigma baru untuk menjamin kesenangan yang sebenar.
Memahami hasrat ini, tidak akan timbul dalam mana-mana persatuan, wujudnya suasana kecuh dan perebutan dalam memilih ahli jawatankuasa pemilihan hendaklah berjalan secara sihat dan bertanggungjawab, anggaplah ia sebagai perlumbaan untuk memberi khidmat, bukannya mencari kedudukan, insya’Allah setiap yang dirancang, diatur dan program akan mendapat keberkatan dari Allah jika ia bertunas dari benih yang ikhlas, serta mematuhi peraturan syarak.
sekian