BISMILLAHIRAHMANIRAHIM
jika sekiranya penduduk-penduduk
negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka
berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami)
itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.
(SURAH AL-A’ARAF AYAT: 96)
- YB. Tim. Menteri Besar
Kelantan, Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan 1998
Peringkat Negeri Kelantan.
- YB. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri
- YB. Ahli-ahli Dewan Undangan
Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
- Yang Amat di Hormati Ketua
Polis Negeri Kelantan
- Yang Amat Setia Panglia
8 Briged
- YAbrs. Ketua-ketua Jabatan
Negeri dan Persekutuan
- Yang Mulia Dato’-dato’
dan Datin-datin
- Ahli Jawatankuasa Sambutan,
Para Peserta Perbarisan
- Tuan-tuan dan Puan-puan
sekelian
Alhamdulillah sama-sama kita panjatkan rasa kesyukuran kepada Allah swt, kerana pada pagi ini sekali lagi kita diberi peluang berhimpun dan menyambut Hari Kebangsaan Negara Malaysia bagi peringkat negeri Kelantan untuk kali ke.41, setiap tahun tarikh 31 Ogos adalah tarikh penting yang sentiasa dira’i dan disambut bagi memperingati Hari Kemerdekaan Negara ini dari penjajahan kuasa barat.
Para Hadirin Hadirat sekelian,
Sebagai seorang rakyat yang
berjiwa merdeka, sambutan terhadap hari kemerdekaan semestinya menyeronok
dan mengembirakan hati dan perasaan kita semua. Lebih-lebih lagi sekiranya
kemerdekaan ini dapat dihayati dan diisi dengan maknanya yang hakiki dan
sebenar, sebagai rakyat yang berjiwa merdeka kita sangat sayangkan negara
kita yang telah merdeka, kita akan lakukan apa sahaja bagi mempertahankan
kemerdekaan yang telah kita capai. Dalam suasana kegawatan ekonomi
yang sedang melanda kita sekarang, pelbagai cadangan telah dibuat untuk
membolehkan kita tidak lagi dijajah oleh mana-mana pihak didunia ini. Diatas
nama dan semangat inginkan kemerdekaan, kita telah menolak dari menerima
bantuan kewangan dari Tabung Matawang Antara Bangsa atau (IMF) kerana kita
telah mendapat faham, bahawa sekiranya kita mengambil bantuan dari tabung
tersebut maka kita akan dijajah sekali lagi terutama dalam aspek ekonomi
yang mungkin akan membawa kepada penjajahan politik. Tetapi persoalannya
adakah kita merasakan cukup dan berpuashati dengan cara kita menjaga dan
melindungi kemerdekaan kita dengan hanya memberi tumpuan kepada aspek-aspek
fizikal dan meterial semata-mata. Sedangkan dalam aspek ruhani atau spiritcual
kita biar dan abai sehingga menjadikan kita sebagai seorang yang tidak
merdeka.
Pemerintahan negara adalah pemerintahan yang kolektif sifatnya. Ia melibatkan persempadanan dan isi kandungan, pembangunan dan peraturan, sifat kolektif ini tidak akan berlaku sekiranya ada pemisahan antara agama dan politik, fizikal dan spiritcual, oleh hal yang demikian, kemerdekaan tidak akan bermakna apa-apa sekiranya tidak digabungkan antara fizikal dan spiritcual atau antara jasmani dan ruhani. Aspek ruhani yang sempurna yang disebut oleh Allah sebagai taqwa. Allah telah beri jaminan kepada manusia bahawa sesiapa yang bertaqwa kepada Allah akan diberi limpahan rezki dan keberkatan yang datang dari setiap pelusuk dan penjuru bumi dan juga langit. Taqwa kepada Allah melibatkan banyak perkara termasuk aspek pemerintahan negara, untuk mempastikan kita terus merdeka dan bebas dari segala bentuk penjajahan, kita bukan sahaja perlu bijak dalam merancang dan melaksanakan pembangunan ekonomi dan perindustrian negara semata-mata, tetapi aspek lain seperti pembaziran, penyalahgunaan kuasa, riba, amalan rasuah perlu dijauhi dan ditinggalkan sama sekali.
Keperluan meninggalkan amalan yang buruk yang telah dilarang oleh Islam ini mesti dianggap sama keperluannya dengan pelbagai sistem dan rancangan pembangunan negara. Begitu juga persoalan halal haram didalam pelbagai aspek yang lain mesti dianggap penting dan menjadi sebahagian daripada dasar perundangan negara. Kalau aspek-aspek seperti ini tidak dipeduli dan tidak langsung diberi keutamaan, bermakna tidak wujudlah unsur-unsur taqwa kepada Allah dalam sistem pemerintahan negara. Apabila ini berlaku maka akan muncullah pelbagai gejala dan penyakit yang akan mengancam kemerdekaan yang telah dan sedang kita nikmati sekarang. Allah sendiri melalui kitab al-quran telah memperingatkan manusia tentang peri pentingnya taqwa kepada Allah sebagai syarat untuk mencapai kemakmuran dan kemerdekaan yang sebenar. Dimana maksud firman Allah swt iaitu; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya akan diberikan jalan keluar yang mudah apabila bertemu dengan masalah, dan ia juga akan memberikan rezki yang banyak sehingga tidak dihitung lagi.
Sebaliknya dengan sikap tidak mempedulikan halal haram, suka membazir, suka melakukan amalan rasuah, maka lambat laung kita akan terjebak dengan gejala yang akan menggugat kemerdekaan kita seperti kegawatan ekonomi dan politik, dimana maksud firman Allah iaitu; dan apabila kami mahu menghancurkan sebuah negara, kami akan suruh pemimpinnya melakukan pembaziran dan bermewah-mewahan, tetapi mereka fasik terhadap Allah, maka Allah akan membenarkan janjinya dengan menghancurkan negeri tersebut sehancur-hancurnya. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat yang sentiasa sayangkan negara dan kemerdekaan yang telah kita nikmati kita tidak mahu penjajahan baru datang menimpa kita dalam apa jua bidang samada ekonomi, lebih-lebih lagi politik. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kepada kita semua agar terus berjuang untuk mewujudkan suasana ketaqwaan kepada Allah dalam semua bidang kehidupan dan pemerintahan dinegara ini. Usaha-usaha pembersihan terhadap sifat-sifat yang dimurkai Allah seperti yang disebutkan tadi mestilah dilakukan oleh kita semua, mulai dari peringkat diri kita, keluarga dan orang-orang dibawah jagaan kita sehinggalah kepada peringkat kepimpinan yang lebih tinggi daripada kita. Sekiranya suasana ketaqwaan ini tidak kita wujud dan tegakkan didalam kehidupan kita, lambat laung ia akan menjadi penyebab kepada kemusnahan dan kehancuran negara kita. Sebaliknya melalui gabungan perancangan pembangunan yang baik dan sifat ketaqwaan yang sempurna terhadap Allah akan menjadikan negara kita bertambah makmur dan berkat dengan nikmat yang berlimpah ruah dan kemerdekaan yang sebenarnya akan dapat dirasai oleh seluruh rakyat. Kerana jaminan yang diberikan oleh Allah kepada manusia untuk mendapat nikmat dan keberkatan adalah bagi mereka yang tinggi sifat ketaqwaannya kepadanya.
Oleh itu marilah kita pertahankan kemerdekaan negara kita ini melalui cara yang telah ditunjukan oleh Allah kepada kita semua dan sama-samalah kita berdoa kepadaNya semuga negara kita dihindari dari segala bala dan bahaya. Sebaliknya kita memohon kepadanya semuga memperbanyakkan lagi nikmat dan keberkatannya kepada kita semua. Akhir kata saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dengan upacara sambutan ini terutama pasukan keselamatan, peserta perbarisan dan semua ahli jawatankuasa sambutan hari kemerdekaan yang ke.41 tahun 1998.
sekian.