Langkah Kita, Langkah Pejuang...

Saudara dan saudari, umat Islam yang dikasihi... khususnya di Malaysia...bumi bertuah. Kebelakangan ini kita telah dihadapkan dengan persoalan krisis keyakinan yang cukup menekan. Lantaran daripada semaraknya budaya menjatuhkan insan yang disifatkan tidak 'sebulu' dengan seseorang atau kelompoknya telah begitu sebati dengan kehidupan masyarakat Malaysia dewasa ini, terutamanya di kalangan para pemimpin negara. Sopan-santun dan adab ketimuran telah lenyap dimamah nafsu serakah insan-insan zalim yang bermaharajalela.

Di manakah perginya pegangan agama yang cukup sinonim dengan keperibadian masyarakat timur amnya dan Malaysia khususnya? Insaflah, bahawa kita tidak diwariskan oleh generasi terdahulu dengan sifat mazmumah ini. Kita diajar untuk beradab walaupun untuk menegur kesilapan yang dilakukan. Begitulah indahnya ketertiban yang diajar oleh agama tercinta... Islam ini yang kita warisi dengan pengorbanan para anbiya', titisan darah serta nyawa para syuhada', linangan air mata para isteri yang mengiringi perginya suami serta anak-anak mereka ke medan jihad dalam getiran menegakkan ad-Deen al-Islam yang tercinta. Keadilan adalah natijah yang terhasil daripada keelokkan budi serta adab insan dalam menguruskan kehidupan mereka. Namun, kini kita telah dicabar semahu-mahunya dengan usaha yang cukup jelas tanpa berselindung lagi dalam rangka menegakkan kebatilan dan menjatuhkan kebenaran. Ya Allah! Ampunilah umat ini.. sesungguhnya janganlah Engkau turunkan bala-Mu justeru kelancangan beberapa pimpinan di kalangan umat-Mu ini yang mencabar kebenaran risalah-Mu, yang menginjak-injak prinsip keadilan. Budaya fitnah yang telah Engkau firmankan sebagai dosa yang melebihi kekejaman pembunuhan...telah begitu dipuja serta didokongi oleh ramai golongan aristokrat jijik ini. Mereka lebih rela bersekongkol dengan kebatilan demi menjaga kepentingan 'periuk nasi'. Ya Allah! Sesungguhnya umat ini telah jauh dipesongkan oleh pimpinan mereka ke lembah kehancuran. Insan yang membela kebenaran risalah-Mu difitnah semahu-mahunya demi menyelamatkan serta melindungi rahsia kesalahan dan pengkhianatan mereka sewaktu memikul taklif dari umat ini.

Sedarlah wahai umat kebenaran! Kita tidak boleh lagi merelakan prinsip agama yang kita dokongi dipermain-mainkan oleh sekelompok pemerintah. ''Pemerintah adil...pemerintah ditaati, pemerintah zalim...disanggah hingga mati!'' Demi kedaulatan Islam yamg tercinta dan keadilan untuk rakyat Malaysia khususnya...ayuhlah kita laungkan obor REFORMASI demi kelansungan generasi yang berakhlak tinggi. Kita tidak rela kuburan kita nanti diinjak-injak oleh anak-cucu kita sebagai kuburan insan insan kerdil yang bacul untuk berjuang demi menegakkan kebenaran. Kita juga tidak mahu dipersalahkan kerana meninggalkan zuriat keturunan yang lemah - hilang kekuatan jihadnya (zurriyyatan dhi'afa). Membujur lalu... melintang patah, sekali Islam dijulang sehingga mati tetap dipegang! Seruan keramat para panglima silam ini kita laungkan buat jiwa yang lemah untuk menegakkan kebenaran serta kepada mereka yang menjadi penjulang kezaliman. InsyaAllah, perjuangan ini bakal menempatkan kita didalam barisan para mujahid agama-Nya. Sekali melangkah pantang undur. Majulah! Hayya bil jihad!!! Selagi kebenaran tidak tertegak, keadilan tidak dipertahankan, kita tidak akan mundur walau setapak.

Persiapan kita ini adalah untuk jaminan masa depan. Kita perkukuhkan saf perjuangan bagi menegakkan dan mempertahankan keadilan dan kebenaran yang menjadi tujuan utama Syariat Islamiyyah. Manusia masih boleh hidup tanpa makanan atau minuman. Namun, jika keadilan tidak tertegak tiada insan yang mampu bertahan untuk meneruskan kehidupan di muka bumi. Lantaran itulah Syariat Islamiyyah menjadikan ianya sebagai matlamat kepada kesempurnaan tugas kekhalifahan insan di muka bumi. Reformasi secara menyeluruh khususnya, dalam konteks negara Malaysia tercinta ini, wajib dilakukan. Demi kemakmuran rakyat serta yang lebih utama untuk menegakkan kalimah Allah dipersada Melayu ini. Kita kuburkanlah budaya feudalisme yang mencengkam keadilan buat rakyat terbanyak, kita serukan keadilan Islam kepada mereka. Sesungguhnya perjuangan ini tidak mudah, buat yang cepat mengalah tentunya tidak punya tempat dalam saf mujahidin ini. Tegasnya..... perjuangan kita bukan setakat ianya belum lagi selesai malah hakikatnya ianya baru sahaja bermula kembali dengan dokongan para 'ulama, para cendekiawan, para mahasiswa, golongan pekerja, para petani dan sebenarnya.....perjuangan ini dari seluruh rakyat Malaysia yang merindui serta mencintai tertegaknya keadilan dan kebenaran. Gelombang kebangkitan semula rakyat ini baru sahaja memperlihatkan momentumnya .....suara rakyat adalah suara keramat apatah lagi bila ianya didokongi oleh para 'ulama- warasatul anbiya' (pewaris para nabi).

- pejuang keadilan-