|
Thursday, 12-Feb-2004 10:57 AM
GMI
Tuntut KDN Bebaskan 13 Tahanan ISA
13 Tahanan
ISA tamat tempoh tahanan bulan Februari
Syed Ibrahim
Alhabshi
Rombongan Gerakan
Mansuhkan ISA (GMI) bersama keluarga tahanan ISA hari ini menyerahkan
memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menuntut pembebasan
tanpa syarat 13 orang tahanan ISA yang akan tamat tempoh tahanan
2-tahun mereka dalam bulan Februari 2004 ini.
GMI telah menyerahkan
memorandum 12 perkara kepada wakil KDN iaitu Penolong Pengarah,
Bahagian Keselamatan, Encik Mahadzir pada jam 11.30 pagi di Putrajaya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja GMI yang baru, Syed Ibrahim
Syed Noh, enam tahanan ISA akan tamat tempoh tahanan mereka pada
21 Februari dan tujuh orang lagi pada 27 Februari ini. Enam tahanan
berkenaan ialah Abdul Razak Baharuddin, Abdul Samad Shukri Mohd,
Ahmad Sajuli Abd Rahman, Ahmad Yani Ismail, Mohd Sha Sarijan dan
Suhaimi Mokhtar. Dua daripada mereka iaitu Abdul Samad dan Ahmad
Yani telah menfailkan permohonan habeas corpus tahun lalu dan sedang
menanti keputusan kes mereka.
Sementara itu,
tujuh tahanan ISA yang akan tamat tempoh tahanan mereka pada 27
Februari pula ialah Abdullah Daud, Mohammed Kadar, Muhamad Faiq
Hafidh, Muhamad Ismail Anuwarul, Shahrial Sirin, Sharil Hat dan
Shukry Omar Talib. Kesemua 13 tahanan berkenaan dituduh terlibat
dengan KMM/Jemaah Islamiah (JI) walaupun sehingga kini tiada sebarang
bukti dikemukakan mahupun dakwaan dibuat setelah lebih 2 tahun ditahan
di bawah ISA. Pada masa yang sama, kesemua mereka telah menafikan
tuduhan terhadap mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui
Tetuan Chooi & Co pada 23 September 2003 yang lalu. Lebih daripada
separuh pula telah memfailkan permohonan habeas corpus yang menandakan
mereka melaksanakan tindakan pembelaan diri terhadap tuduhan yang
dilemparkan.
Dalam memorandumnya,
GMI turut melahirkan rasa kehampaan di atas penerusan kegunaan ISA
walaupun Perdana Menteri yang baru telah mengambil alih teraju negara
selama hampir 100 hari. "Masih ramai ahli keluarga yang menjadi
mangsa ISA dan menanggung akibat daripada kekejaman ISA ke atas
suami, ahli keluarga atau anak masing-masing", jelas Syed Ibrahim.
"Apakah maksudnya ISA sebagai kononnya undang-undang pencegahan
jika menzalimi isteri dan anak-anak tahanan?", tegasnya lagi.
Dalam pada
itu GMI memaklumkan bahawa sudah ada anak tahanan yang hilang akal
akibat trauma kehilangan bapa kepada ISA. Ini berlaku kepada Muaz
Abdul Samad (18 tahun) iaitu anak kepada tahanan ISA, Abd Samad
Shukri Mohd. Muaz dimasukkan ke Wad Psikiatri HUKM minggu lalu kerana
sakit mental akibat daripada tekanan jiwa ketiadaan bapanya dan
ibunya pula mengalami sakit tulang belakang. Walaupun Abd Samad
dibenarkan melawat anaknya itu selama dua hari, namun ketidaktentuan
kedudukan pembebasan beliau masih boleh menjejaskan kestabilan mental
anaknya. Menurut GMI, ini jelas mencabuli hak asasi manusia dan
menganiaya keluarga tahanan.
Di samping
itu, GMI turut memaklumkan bahawa sudah ada isteri tahanan yang
menerima gangguan seksual daripada kakitangan Cawangan Khas dan
sudah ada anak-anak yang tidak mendapat pendidikan di sekolah kerana
menanti kepulangan bapa mereka. Kes gangguan seksual didakwa berlaku
ke atas Noraini Ismail, isteri kepada Othman Ali, salah seorang
tahanan ISA yang berada di Kem Tahanan Kamunting (KEMTA). e-Berita
GMI-JIM difahamkan laporan polis telah dibuat ke atas seorang kakitangan
Cawangan Khas Polis, Aziz Meon.
Menurut Syed
Ibrahim, walaupun sebuah Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan
dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia telah ditubuhkan baru-baru
ini namun GMI menyeru supaya tindakan tidak berperikemanusiaan pihak
polis dihentikan sekarang tanpa menunggu keputusan Suruhanjaya tersebut
dalam masa 12 bulan. Ini kerana menurut beliau, dibimbangi keadaan
akan bertambah buruk sementara Suruhanjaya mengeluarkan laporan
siasatan mereka.
"Sebagai
Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Dalam Negeri, YAB Dato' Seri
memiliki kuasa yang diamanahkan oleh rakyat untuk mengambil tindakan
sewajarnya melindungi keseluruhan rakyat dengan cara yang adil dan
bijaksana tanpa menzalimi mana-mana pihak", tegas beliau lagi.
Pada akhir
penyerahan memorandum berkenaan, GMI menggesa Menteri Dalam Negeri
dan kerajaan untuk mengambil tindakan paling wajar dan bertanggungjawab
iaitu membebaskan tahanan ISA tanpa syarat dan mengembalikan mereka
ke pangkuan keluarga dan masyarakat. Menurut pegawai KDN, memorandum
tersebut akan diteliti dan diajukan kepada Menteri Dalam Negeri.
Rombongan GMI
telah diketuai oleh Yap Swee Seng, Setiausaha Jawatankuasa Kerja
GMI dan turut disertai oleh Pasukan Sokongan Keluarga serta keluarga
tahanan ISA.
|