Friday, 19-Dec-2003 8:23 PM

5 PELAJAR ISA DITAHAN 2 TAHUN, TETAPI TIADA DI KAMUNTING!

Pada 8 Disember 2003, Kementerian Dalam Negeri telah melanjutkan tahanan 5 orang pelajar bawah ISA kepada dua tahun. Lima orang pelajar tersebut ialah Muhammad Radzi bin Abdul Razak, Mohd Akil bin Abdul Raof, Eddy Erman bin Shahime, Abi Dzar bin Jaafar and Mohd IkhwanAbdullah. Dari awal penahanan pelajar-pelajar tersebut, telah timbul banyak persoalan dan diselubungi ketidakpastian. Keadaan ini, seterusnya memberi tekanan kepada ahli-ahli keluarga akan keadaan anak-anak mereka.

Ibubapa Mohd Akil dan Mohd Ikhwan dibenarkan melawat anak mereka pada 12 Disember 2003 dan 14 Disember, di Ibu Pejabat Bukit Aman. Ibu kepada Muhammad Radzi telah pergi ke Kamunting untuk ziarah anaknya tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana anaknya tidak berada di Kem Tahanan Kamunting. Begitu juga keluarga Abi Dzar yang dibenarkan melawat anak mereka di Ibu Pejabat Bukit Aman pada 17 Disember 2003. Semua ini menunjukkan pelajar-pelajar tersebut tidak berada di Kamunting.

Kementerian Dalam Negeri dan polis bertanggungjawab memberi penjelasan, mengapa pelajar-pelajar tersebut tidak dihantar ke Kamunting. Adakah mereka masih disoal siasat oleh polis?  Jika mereka masih disoal siasat, atas alasan apa, dan apakah sebab tahanan mereka telah dilanjutkan kepada dua tahunan jika siasatan masih berjalan.

Keluarga Eddy Erman dan Muhammad Radzi tidak dibenarkan berjumpa anak mereka, sedangkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, tahanan, bawah seksyen 8, berhak mendapat lawatan sekali seminggu oleh keluarga dan peguam-peguam. Semenjak 8 Disember 2003, setelah penahanan mereka dilanjutkan kepada dua tahun, keluarga kedua pelajar tersebut, belum dapat berjumpa.

Kementerian Dalam Negeri gagal mengemukakan perintah tahanan dua tahun dan dokumen yang menetapkan penahanan tersebut ke atas lima pelajar, seperti yang dikehendaki bawah seksyen 11 Akta ISA.

Aishah Kamari, ibu kepada Abi Dzar, telah berjumpa anaknya, dan kata-kata yang keluar dari mulut anaknya, "jangan ambil peguam, saya tak mau tanda tangan". Terdapat 9 pegawai cawangan khas (SB) yang berada bersama semasa perjumpaan tersebut, Abi Dzar kelihatan pucat dan tidak seperti biasa dan bercakap seolah mengulangi skrip yang telah diajar. Apabila ahli keluarga meminta dokumen tahanan dua tahanan daripada Bukit Aman, mereka memberitahu, mereka perlu rujuk perkara tersebut kepada pegawai atasan.

Kegagalan KDN membuat pengumuman rasmi tentang lanjutan tahanan dua tahun dan alasan tahanan, menimbulkan persoalan tentang ketelusan yang diamalkan oleh polis dan KDN. Tindakan yang tidak telus membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran hak asasi manusia.

Menteri Dalam Negeri dan juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu tunaikan janjinya untuk lebih telus dalam tindakan dan keputusannya. Mengekalkan ISA hanya akan membuatkan KDN tidak telus kerana berselindung di belakang alasanmengancam keselamatan negaradan tidak mengemukakan bukti untuk mendakwa mereka yang dituduh bersalah di mahkamah terbuka.