|
Wednesday, 07-Jan-2004 10:54 AM
KENYATAAN
MEDIA WANITA KEADILAN MALAYSIA
PERTUBUHAN PERUBATAN MALAYSIA,
AMBIL TINDAKAN ATAS DR JEYAINDRAN SINNADURAI
Wanita Keadilan merasa lega,
apabila akhirnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa ke Hospital Kuala
Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan yang perlu kerana keadaan kesihatannya
yang bertambah serius. Permintaan Datuk Seri Anwar untuk dimasukkan
ke hospital, dua minggu lalu, kerana mengalami kesakitan yang luar
biasa, telah dinafikan oleh Dr Jeyaindran. Ubat yang ditambah hanya
memburukkan keadaan, di mana kaki dan lengannya bengkak.
Dr Jeyaindran, telah membuat
laporan palsu kepada Perdana Menteri, bahawa, Datuk Seri Anwar sebenarnya
sihat dan tidak mengalami sakit yang serius. Namun, tindakan bebas
oleh pihak penjara untuk memasukkan Datuk Seri Anwar ke hospital,
membuktikan keadaan tulang belakangnya sudah bertambah parah.
Sebagai seorang doktor, Jeyaindran
bertanggungjawab terhadap pesakitnya. Jeyaindran telah gagal melaksanakan
tugasnya. Dengan itu, Wanita Keadilan mendesak agar Pertubuhan Perubatan
Malaysia (Malaysian Medical Association) untuk segera mengambil
tindakan terhadap Dr Jeyaindran. Tindakan disiplin wajar dikenakan
dan MMA wajar mengadakan penyiasatan dan melihat mengapa Jeya patut
terus menjadi doktor. Tiada tolak ansur patut diberi kepada individu-individu
terutama para doktor, seperti Dr Jeyaindran, yang dengan sengaja
membahayakan pesakitnya. Dr Jeyaindran patut segera ditamatkan perkhidmatannya,
iaitu sebagai doktor yang dilantik untuk merawat Datuk Seri Anwar.
Datuk Seri Anwar patut dibenarkan
mendapat rawatan lanjut mengikut pilihannya, hatta, jika beliau
perlu ke luar negara untuk mendapatkannya. Insiden ini menunjukkan,
mengapa Datuk Seri Anwar sebelum ini, tidak yakin untuk menjalani
pembedahan yang dilakukan di Malaysia. Oleh itu, Perdana Menteri
yang baru, wajar membenarkan Datuk Seri Anwar mendapatkan rawatan
yang sesuai dengan keadaan kecederaan yang di hadapi.
Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi, mesti mengarahkan Menteri Kesihatan untuk
mengadakan penyiasatan ke atas rawatan dan layanan yang diberikan
kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika seorang bekas timbalan perdana
menteri boleh dilayan seperti itu, tidak dapat dibayangkan, masalah
yang di hadapi oleh banduan dan tahanan untuk mendapatkan rawatan
kesihatan.
Wanita Keadilan menyeru Perdana Menteri Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan Pertubuhan Perubatan Malaysia untuk
mewujudkan badan bebas bagi menyemak semula perkhidmatan kesihatan
dan rawatan yang disediakan bagi banduan dan semua tahanan di pusat-pusat
tahanan. Terdapat banyak aduan daripada banduan bahawa mereka tidak
mendapat layanan dan rawatan yang diperlukan.
Dr Irene Fernandez
Timbalan Ketua Wanita
Wanita Keadilan Malaysia
|