Pusat Keluarga Tahanan ISA,

32, Jalan Enggang 6,

Taman Keramat,

54200 Kuala Lumpur.                                                                                 

30.01.2004.

___________________________________________________________________________

Kepada,,

 

Yang Berhormat,

Datuk Shahrizat Jalil,

Menteri Pembangunan Wanita,

Kementerian Pembangunan Wanita,

Aras 1-4, Blok E,

Kompleks Pejabat Kerajaan,

Bukit Perdana,

Jalan DatoOnn,

50515 Kuala Lumpur.

 

Assalamualaikum,

 

Per: Bebaskan Semua Tahanan ISA, terbelalah nasib 90 isteri dan 500 anak-anak.

 

Pusat Sokongan Keluarga(PSK) Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) , ingin menarik perhatian  YB Datuk, kepada isu penamatan tempoh penahanan tahanan ISA sepanjang tahun 2004 ini..

 

Pada tahun 2001 dan sepanjang 2002, kerajaan telah menangkap lebih 90 orang lelaki  Melayu yang berugama Islam dibawah akta ISA. Mereka dituduh  mengancam keselamatan negara , tetapi pihak kerajaan tidak pernah mendakwa mereka di Mahkamah terbuka.

 

Sebelum penahanan mereka dulu, isteri dan anak-anak mereka hidup dalam suasana selesa, aman dan penuh kasih sayang.Namun segala-galanya musnah  apabila isteri dan anak-anak ini bukan saja kehilangan orang yang mencari nafkah, malah  kehilangan juga kasih sayang dan perhatian dari orang yang  amat mereka sayangi.

 

Wanita-wanita dan anak-anak yang tidak berdosa ini  telah menjadi mangsa Akta zalim ISA, kerana, disebabkan penahanan  ini, wanita menjadi ibu tunggal dan anakanak tidak berayah. Isteri terpaksa memikul tugas sebagai seorang ibu dan ayah kepada anak-anak yang ditinggalkan.

 

90 peratus dari wanita-wanita ini suri rumah sepenuh masa. Sepanjang hampir 2 tahun penahanan suami mereka, mangsa akta zalim ISA ini menyambung kehidupan atas ihsan orang ramai. Sebagai contoh, Puan Masitah Baharom iaitu isteri kepada Abd.Samad Shukri yang  suaminya telah ditahan pada Disember 2001 yang lalu. Pada mulanya mereka tinggal disebuah rumah teres 2 tingkat 6 bilik, tetapi kemudian terpaksa berpindah kerumah flat 2 bilik kerana tidak mampu untuk membayar sewa yang tinggi.

 

Anak-anak mangsa ISA yang dianggarkan seramai 500 orang pula, 95peratus berumur dibawah 20 tahun. Mereka juga menghadapi trauma akibat penahanan bapa-bapa mereka. Sebagai contoh kes Abd Muaz bin Abdul Samad,  anak kepada tahanan ISA Abd.Samad Shukri, telah disahkan oleh seorang doktor pakar dari HUKM, Dr.Mohd Hatta Shahrom, sebagai  seorang yang mengalami penyakit mental yang serius yang dicetuskan oleh tekanan jiwa akibat penahanan ayahnya.Beliau masih menjalani rawatan di wad psikiatri HUKM.

 

Lebih malang lagi, wanitawanita ini juga terdedah kepada  ugutan-ugutan dari pihak polis (special branch) yang menangkap suami mereka dulu.Berbagai-bagai ugutan yang telah di terima  dari SB dengan tujuan menakut-nakutkan  wanita-wanita yang teraniaya ini. Sebagai  contoh, kes  Puan Maimun  Mohd Zahari, isteri kepada Tahanan ISA Idris bin Salim. Puan Maimun telah di panggil untuk disoal-siasat beberapa kali oleh beberapa orang SB, sedangkan pada masa itu beliau baru saja melahirkan anak ke 4. Soal siasat  SB itu telah menyebabkan beliau menghadapi Post Paturm Depression(PPD) iaitu meroyan. Beliau masih menjalani rawatan sebagai pesakit luar..

 

Sebagai menteri yang di lantik khusus bagi menjaga kemaslahatan dan kebajikan semua Wanita di Malaysia ini, PSK-GMI memohon agar YB Datuk , menggesa Menteri Dalam Negeri supaya membebaskan  semua tahanan tersebut, sebaik saja tempoh penahanan  2 tahun mereka tamat.Biarlah mereka kembali kepangkuan keluarga mereka.

 

Pembebasan tersebut dilihat sebagai satu-satunya jalan bagi menyelesaikan masalah wanita-wanita  dan anak-anak tersebut.

 

PSK-GMI juga menyarankan Kementerian Pembangunan Wanita, mengeluarkan satu kenyataan akhbar berkenaan isu ini.

 

Akhir sekali, PSK-GMI, berharap agar YB Datuk menyempurnakan permintaan  ini, sebagai tanda keperihatinan terhadap sekumpulan wanita yang sedang dianiaya dan di zalimi, di Malaysia, sekarang ini.

 

Bersama-sama ini di senaraikan nama wanita-wanita yang suami mereka masih di tahan di Kem Tahanan  Kemunting.

 

Wassalamualaikum.

Norlaila Othman.

Pusat Sokongan Keluarga,

Gerakan Mansuhkan ISA.