13 April 2001
WANITA keADILan TUNTUT TUJUH DIBEBASKAN DAN SANGSI KEWIBAWAAN MENTERI DALAM NEGERI
Wanita keADILan mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai agar menjelaskan serta lebih bertanggungjawab atas kenyataan beliau pada 11 April 2001 yang mengatakan, beliau telah ada maklumat mengenai penglibatan tujuh (7) yang ditahan,
2.1 Telah melaksanakan langkah-langkah tertentu untuk mendapatkan bahan letupan, termasuk bom dan grenade launcher (pelancar bom);
2.2 Menggunakan molotov cocktail (bom petrol), ball bearing (bebola penggalas) serta berbagai-bagai senjata berbahaya untuk menyerang pihak keselamatan bagi menimbulkan keadaan huru-hara semasa demonstrasi jalanan di sekitar Kuala Lumpur pada Oktober 1998; "
Sehingga kini pihak polis belum kemukakan apa-apa bukti terhadap tujuh yang ditahan yang dikatakan merancang menggulingkan kerajaan. Sebaliknya, pihak polis telah menahan tujuh ahli parti alternatif di bawah akta ISA.
Adalah dibimbangi penahanan mereka bertujuan untuk mengenakan tekanan agar mengaku sesuatu yang mereka tidak lakukan.
Dalam kenyataan medianya, Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, sejurus selepas merasmikan "Seminar Business Oppurtunities Within MRCB Group", memberi jaminan keselamatan terhadap mereka yang ditahan.
Wanita keADILan beserta Rakyat mencabar jaminan ini, memandangkan Polis telah menahan tiga (3) orang aktivis reformasi, tanpa pengetahuan dan pengesahan Menteri Dalam Negeri.
Persoalannya, jika polis boleh bertindak tanpa pengetahuan dan pengesahan beliau, bagaimana polis akan menurut arahan Menteri Dalam Negeri untuk tidak mengapa-apakan yang ditahan.
Wanita keADILan juga mengecam pihak Polis, atas cara penangkapan yang dilakukan, polis tidak memberitahu ahli keluarga sebaik sahaja penahanan dibuat.
Pn.Bahirah Tajul Aris,isteri Ezam hanya mengagak Ezam telah ditahan setelah didapati Ezam tidak tiba di Pulau Pinang dan daripada berita penangkapan beberapa ahli parti pada masa itu.
Cara penangkapan ala-gangster juga amat tidak bertepatan dengan profesionalisme Badan Keselamatan.
Raja Petra Raja Kamaruddin pula dikepong keretanya dengan tiba-tiba oleh pegawai-pegawai polis berpakaian biasa. Mereka tidak menunjukkan apa-apa identiti dan terus mendesak pintu kereta dibuka dan menumbuk-numbuk atas kereta supaya segera ikut arahan.
Penahanan secara ISA ini mesti dihentikan segera dan Rakyat mendesak agar kesemua yang ditahan dibebaskan tanpa syarat.
Sementara itu, Wanita keADILan serta Rakyat menuntut, ahli-ahli keluarga dan peguam mereka dibenarkan berjumpa dengan yang ditahan untuk memastikan semua yang ditahan berada dalam keadaan selamat.
Sehingga ahli keluarga serta peguam-peguam dibenarkan untuk berjumpa dengan yang ditahan, maka selagi itu mereka dikira disiksa dalam tahanan polis.
KETUA WANITA keADILan
PN. HJH. FUZIAH SALLEH
13 APRIL 2001