KENYATAAN MEDIA
SRIKANDI & PEMUDA keADILan
28 MAC 2001
DESAK MENTERI DALAM NEGERI, BENARKAN DATO SERI ANWAR IBRAHIM MEMBUAT PEMBEDAHAN DI GERMANY
Pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden dan ahli UMNO pada September 1998 telah mencetuskan pelbagai tanda tanya terhadap kepimpinan negara. Memandangkan Dato Seri Anwar Ibrahim dikenali ramai sebagai seorang yang prihatin terhadap golongan yang tidak berada dan tambahan pula hubungan beliau dengan Perdana Menteri adalah baik. Yang menambahkan lagi gelombang ini, ialah apabila beliau dibelasah secara kejam oleh Ketua Polis Negara di Bukit Aman pada 20 September 1998. Kecederaan yang dialami tidak diberi rawatan segera dan setelah rawatan diberi, ianya tidak sempurna.
Pada Oktober 2000, Dato Seri Anwar Ibrahim mengadu sakit belakang yang amat sangat dan akhirnya beliau dimasukkan ke hospital pada November itu. Doktor-doktor pakar yang telah memeriksa beliau telah mengenalpasti antara punca keadaan Dato Seri Anwar Ibrahim sekarang ialah daripada kecederaan yang dialami pada malam beliau ditangkap oleh Bukit Aman.
Pihak berwajib adalah bertanggungjawab dari segi undang-undang dan kemanusiaan, memastikan Dato Seri Anwar Ibrahim mendapat rawatan yang terbaik agar beliau pulih daripada keadaan yang merbahaya ini.
Adalah tidak wajar, seorang bergelar menteri memberi alasan bahawa oleh kerana Dato Seri Anwar Ibrahim adalah seorang banduan, beliau tidak layak diberi layanan sebegini apatah lagi keluar negara untuk mendapat rawatan.
Jika sekiranya alasan banduan hendak digunakan, ini juga tidak bertepatan, adalah menjadi hak individu untuk menerima rawatan kesihatan walaupun statusnya seorang banduan.
Keluarga Dato Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan untuk membiaya seluruh kos rawatan Dato Seri Anwar Ibrahim dan ini sudah cukup untuk kerajaan menimbang semula agar Dato Seri Anwar Ibrahim dibenarkan mendapat rawatan di Germany.
Setelah merayu berkali-kali untuk mendapatkan pandangan pakar dari luar, akhirnya pada 10 Mac 2001, Dr. Thomas Hoogland seorang pakar bedah bahagian tulang belakang telah dibenarkan memeriksa Dato Seri Anwar Ibrahim. Pada masa yang sama, doktor pakar dari Germany tersebut telah melihat kelengkapan pembedahan serta tenaga pakar yang ada di Hospital Kuala Lumpur dan membuat beberapa saranan :-
Dengan itu, Wanita dan Pemuda keADILan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia untuk mendesak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia, agar diluluskan permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim, seorang pemimpin negara, untuk mendapat rawatan di Germany, dengan segera dan memastikan Dato Seri Anwar Ibrahim dibenarkan tinggal di hospital sementara menunggu pembedahan.
HAJJAH FUZIAH SALLEH / MOHD. EZAM MOHD. NOR
KETUA WANITA / KETUA PEMUDA
WANITA keADILan / PEMUDA keADILan
28 MAC 2001
Kepada SUHAKAM
Saya sebagai warganegara Malaysia terpanggil untuk merayu kepada SUHAKAM agar mendesak Kerajaan Malaysia supaya bersikap adil dalam isu DatoSeri Anwar Ibrahim mendapat rawatan di Germany.
Rawatan yang diperlukan merupakan hak seorang individu, seorang warganegara Malaysia dan tambahan pula keadaan yang dialami beliau, telah dikenalpasti antara puncanya, ialah daripada kecederaan semasa beliau berada dalam tahanan polis.
Atas nasihat Dr. Hoogland, pakar bedah dari Alpha Clinic, Germany, Dato Seri Anwar Ibrahim perlu menjalani pembedahan secara "endoscopic microsurgery".
Setelah melihat kelengkapan pembedahan serta tenaga pakar yang ada di Hospital Kuala Lumpur, Dr. Hoogland mendapati ada kelengkapan yang tidak sesuai untuk pembedahan yang berkepakaran serta berisiko tinggi ini.
Pakar tersebut memberi jaminan, Dato Seri Anwar Ibrahim akan pulih sehingga 90% jika pembedahan dijalankan di Germany.
Rakyat Malaysia merayu agar Dato Seri Anwar diberi layanan yang sewajarnya setelah beliau pada suatu masa dahulu, banyak berbakti kepada negara dan rakyat. Ini merupakan sedikit yang mampu dibalas kepada seorang wira negara yang hanya memerlukan rawatan kesihatan.
Yang benar,
Rakyat Malaysia