KENYATAAN
MEDIA / PRESS RELEASE
18 Januari 2001 / 23 Syawal 1421
KEMENTERIAN HAL-EHWAL WANITA - SESUATU YANG TELAH LAMA DITUNGGU
Wanita keADILan memandang positif pembentukan kementerian baru khusus untuk wanita dan berharap semoga Dato' Shahrizat Abdul Jalil selaku menteri yang diamanahkan ke atasnya, akan benar-benar dapat meletakkan agenda pembangunan wanita sebagai utama dan di atas segala agenda politik ataupun peribadi.
Pembentukan kementerian ini memang seharusnya telah lama dilaksanakan memandangkan negara kita ini sedang membangun dan sumbangan wanita amat-amat besar sekali. Negara jiran kita, Indonesia, juga telah lama mewujudkan satu kementerian yang tugasnya ialah khusus membangunkan peranan wanita dan meningkatkan kedayaan wanita
Dengan itu, Wanita keADILan menggesa kementerian yang baru ini agar serius dan komited di dalam melaksanakan beberapa perkara untuk memartabatkan wanita di antaranya:
i. Meningkatkan kepekaan "gender" di kalangan rakyat Malaysia tidak kira lelaki mahupun wanita, melalui suatu proses pendidikan yang sistematik, dimasa yang sama meningkatkan kedayaan (empowerment) dengan cara menyusun strategi pembangunan wanita yang dapat memastikan partisipasi wanita dalam semua bidang tanpa diskriminasi.
ii. Memastikan sumbangan serta keterlibatan wanita di dalam proses demokrasi dan proses membuat keputusan di semua peringkat iaitu dari peringkat terendah hinggalah ke peringkat paling tinggi. Tahap 30% penyertaan wanita seharusnya merupakan angka yang dicita-citakan.
iii. Memastikan bahawa undang-undang sivil dapat benar-benar membela wanita tanpa diskriminasi dengan membuat pindaan-pindaan yang diperlukan, serta memastikan perlaksanaan undang-undang syariah dapat diselaraskan dan diperkemaskan, demi membela nasib wanita di Malaysia.
iv. Menjalankan segala bentuk cara untuk memastikan martabat wanita dipertingkatkan, dibela serta kedudukan wanita disanjungi dan dihormati. Penganiayaan dan penderaan terhadap wanita juga mestilah dibenteras sehabis-habisan.
Dengan itu, semua aktivis, pemimpin dan kumpulan wanita dari semua latarbelakang tanpa mengira kecenderungan politik mereka mestilah dilibatkan di dalam menghadapi cabaran genting di atas.
Wanita keADILan menyatakan komitmen untuk meletakkan agenda wanita sebagai utama dan mencabar Dato' Sharizat Abdul Jalil untuk turut sama berbuat demikian seterusnya membuktikan kemampuan dan potensi kementerian ini seperti yang diharapkan oleh warga wanita khususnya di Malaysia.
Hjh Fuziah Salleh
Ketua Wanita keADILan
Parti Keadilan Nasional.