hnyflower1btn.gif (1483 bytes) KENYATAAN AKHBAR / PRESS STATEMENT

9 Julai 2001

 

KESAL DENGAN PENAHANAN PELAJAR

Wanita keADILan
menggesa pihak berkuasa untuk tidak menyalahgunakan kuasa yang di dalam tangan mereka. Tindakan pihak polis menahan dua orang pelajar Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, pada 5 Julai 2001 dan Mohamad Fuad Mohd Ikhwan, pada 6 Julai 2001 di bawah akta zalim ISA amat keterlaluan.

Pihak Polis menahan mereka atas alasan keduanya menggugat kestabilan negara dan telah terlibat dalam Perhimpunan Mahasiswa Menentang ISA.

Wanita keADILan melihat ini sebagai langkah melenyapkan suara mahasiswa yang berani menyuarakan pandangan mereka terhadap pemerintah. Tindakan ini juga menunjukkan pihak berkuasa kurang senang melihat aktivisma pelajar bangun menentang ketidakadilan.

Penahanan di bawah akta ISA, yang menafikan hak untuk membela diri dan berjumpa dengan keluarga dan peguam, akan mendedahkan mereka kepada tekanan mental dan fizikal serta hak mereka akan dicabuli. Wanita keADILan amat bimbang, akan keselamatan mereka.

mansuhISA.jpg (18166 bytes)


Sebelum itu, penangkapan tujuh orang pelajar, telah dilaporkan dipukul semasa dalam tahanan polis. Ada kemungkinan, kedua-dua pelajar ini akan dikenakan tindakan yang serupa dan dipaksa untuk mengaku perkara-perkara yang tidak mereka lakukan.

Wanita keADILan menuntut perkara-perkara berikut :

i. Dibebaskan semua tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
ii. Mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak untuk berkumpul secara aman
iii. Menggesa pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bertindak mengembalikan hak rakyat.
iv. Menuntut Akta zalim ISA dimansuhkan segera.

Wanita keADILan ingin menegaskan sekali lagi bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah akta zalim dan kuno, peninggalan penjajah, tidak sesuai dipertahankan lagi, ia telah dan akan disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

 

Hjh Fuziah Salleh
Ketua Wanita keADILan
Parti Keadilan Nasional.