SRIKANDI, WANITA keADILan
24 Mei 2001
SUHAKAM DIGESA BERTINDAK SEGERA UNTUK DAPATKAN KEBENARAN RAWATAN DATO' SERI ANWARWanita keADILan ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), atas usaha Suruhanjaya tersebut dalam mengatur pertemuan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim di Sungai Buloh, pada 22 Mei 2001 baru-baru ini. Difahamkan langkah ini adalah hasil tindakbalas kepada Memorandum Rawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang diserahkan kepada SUHAKAM sebelum ini.
Pada 14 April 2001 lepas, bersama Memorandum Rakyat, Wanita keADILan telah menghantar Memorandum Rawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama beribu-ribu poskad daripada Rakyat merayu agar SUHAKAM berbuat sesuatu dalam hal Rawatan Dato' Seri Anwar.
(Sila rujuk Lampiran; Memorandum to Tan Sri Musa Hitam, Chairperson SUHAKAM, Regarding Dato' Seri Anwar Ibrahim's Medical Treatment)
Wanita keADILan menggesa SUHAKAM dapat terus berperanan dalam mendesak pihak berwajib supaya tidak melengah-lengahkan kebenaran mendapatkan rawatan yang diminta dan diperlukan oleh Dato' Seri Anwar.
Keadaan beliau didapati agak stabil semasa berada dalam pengawasan Hospital Kuala Lumpur. Sejak dikembalikan ke penjara, beliau tidak mendapat perhatian doktor dan rawatan pasukan perubatan seperti di hospital dan ini menjejaskan kestabilan kesihatan beliau.
Oleh itu, SUHAKAM harus bertindak dengan segera, dalam isu rawatan ini, memandangkan keadaan Dato' Seri Anwar yang semakin membimbangkan dan pihak SUHAKAM sendiri sudah menyaksikannya.
Perkembangan Isu Rawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sentiasa diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia dengan penuh harapan. Tindakan pantas dan tegas oleh pihak SUHAKAM sebagai wakil kepada rakyat di dalam mengembalikan hak kemanusiaan Dato' Seri Anwar Ibrahim, adalah penentu kepada pengembalian hak kemanusiaan rakyat di dalam segala hal dimasa hadapan.
Hjh. Fuziah Salleh
Ketua Wanita
Parti Keadilan Nasional
24 Mei 2001