naungan_nur_wahyu
Ensiklopedia Nusantara: Jam'u al-Fawaid Kupas Kelebihan Dalam Bulan Islam
Home
Ma'arij al-Lahfan Hujah Tariqah Naqshabandi
Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durrah an-Nafisah Bahasan Tasawuf, Guna Bahasa Beradab
Ensiklopedia Nusantara: Penulis kitab Taj as-Salathin Masih Diragui
Ensiklopedia Nusantara: Tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin Pedoman Ilmu Falak Melayu
Ensiklopedia Nusantara: Tabligh al-Amanat Pencatat Polemik Tarikat di Minangkabau
Ensiklopedia Nusantara: Jam'u al-Fawaid Kupas Kelebihan Dalam Bulan Islam
Ensiklopedia Nusantara: Kitab Syeikh Daud kupas fiqh mazhab Syafie
Ensiklopedia Nusantara: Bidayah al-Hidayah banyak petik tulisan al-Ghazali
Ensiklopedia Nusantara: At-Tauhidiyah Bicara Ilmu Akidah
Artikel John Voll
Karya Prof. Emeritus Osman Bakar
Dialog Peradaban
Koleksi Artikel Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah
Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durr al-Mantsur Bukti Tok Kenali Pernah Menulis Kitab Terjemahan Arab
Koleksi Artikel Mohd Zaidi Abdullah
Kertas Kerja Hari Pondok Se-Malaysia 1
maklumat lanjut Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi
Bacaan Pilihan Dari Pelbagai Jurus Pandang
Categories
Globalisasi Dan Pemikiran Islam Silam
The West's Perception Towards Islam After Sept 11 by Prof. Osman Bakar
al-Ghazali and Aesthetics
Bruno Guiderdoni In Interview
The Exploration of the Cosmos : an endless Quest ? by : Bruno Guiderdoni
Paparan Sejarah Islam: Abad Ke-11 Hingga Abad Ke-15 H

Enter subhead content here

Ensiklopedia Nusantara: Jam'u al-Fawaid kupas kelebihan dalam bulan Islam


DALAM ruangan kali ini, dibawakan kitab Jam'u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid. Kitab yang tebal dan khazanah dunia Melayu penting ini juga ditulis oleh Syeikh Daud ibnu as-Syeikh 'Abdullah al-Fathani.
 
Kitab ini selesai penulisannya di Makkah al-Mukarramah pada Jumaat, 27 Jumadilawal 1239. Di antara manuskrip salinan yang baik dan lengkap yang ditemui ialah salinan oleh 'Abdus Shamad Mahmud Jala, tinggal di Kampung Pusin, Patani. Tarikh selesai penyalinan pada Ahad selepas Asar, 8 Rabiulawal 1286. Tempat melakukan penyalinan di Kampung Pusin, Patani.

Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1303 Hijrah atas usaha dan tashhih Syeikh Ahmad al-Fathani. Ada beberapa lagi edisi cetakan lainnya di antaranya oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, di Zuqaq Saiyidi Ahmad Dardir, berhampiran Jami' Al-Azhar Al-Munir, pada Zulkaedah 1311.

Daripada cetakan pertama hingga terakhir dicantumkan pada bahagian tepinya ‘al-Fawaid al-Bahiyah’ karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, membicarakan pelbagai hadis. Pentashhih pertama Syeikh Ahmad al-Fathani, cetakan 1311 Hijrah ditashhih oleh Syeikh Muhammad Tahir bin Muhammad Jalaluddin al-Minankabawi.

Kandungan secara umum membicarakan pelbagai ilmu pengetahuan: sejarah, akidah, fiqh, tasawuf, akhlak, hadis, tafsir, doa dan sebagainya. Kandungan dimulakan halaman depan cetakan 1311 Hijrah tercatat nama al-'Allamah al-Imam Bahjah Din al-Islam, kalimat ini jika diterjemahkan, maksudnya ialah ‘yang sangat alim, imam keindahan agama Islam’. Sesudah kalimat itu, disambung dengan nama beliau iaitu asy-Syeikh Daud ibnu as-Syeikh 'Abdullah al-Fathani.

Pada mukadimah Syeikh Daud as-Syeikh 'Abdullah al-Fathani menulis: “Maka inilah beberapa faedah yang amat nyata, dan beberapa kalimah yang tinggi dan beberapa nasihat yang amat nyata, dan beberapa hikayat bagi ahlillah, dan salihin yang elok. Telah mengasihani Allah akan seseorang yang mengira-girakan barang yang tersebut dalamnya dan iktibar, dan mengamalkan dengan barang yang terkandung padanya, dan mencubakan daripada beberapa hikmah yang dibangsakan daripada tuhan, dan beberapa nasihat yang amat nyata. Telah aku pungut akan dia daripada beberapa kitab kaum ahli tasawuf daripada beberapa hadis Nabi SAW, dan perkataan sahabat, dan ahli al-wilayat.”

Dua bab selepas mukadimah menekankan pengajaran supaya insan Muslim sentiasa memohon perlindungan daripada al-Khaliq (Allah) yang menjadikan sekalian alam. Selepasnya diterapkan pula supaya memulakan pekerjaan supaya membaca Basmalah. Pelbagai contoh kelebihan membaca kedua-duanya diperkenalkan dengan terperinci.

Dalam tasawuf memang ada konsep mahabbah (kasih sayang). Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani selepas kedua-dua bab itu, terus membicarakan bab al-Mahabbah. Beliau mulai dengan sepotong hadis lengkap dengan lafaz Arabnya dan beliau terjemahkan: “Bahawasanya Allah berfirman pada hari kiamat: “Di mana orang yang berkasih mereka itu dengan kebesaran-Ku? Pada hari ini Aku naungkan mereka itu dalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan, melainkan naungan-Ku.”

Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani memberi pelbagai contoh mengenai mahabbah, yang boleh dikategorikan ke dalam sastera sufi. Beliau mengungkapkan berkasih-kasihan yang terjadi dalam peristiwa Zulaikha dengan Nabi Yusuf. ‘Hikayat Nabi Yusuf’ yang berdasarkan petikan beberapa ayat al-Quran beliau ungkapkan dengan panjang lebar. Dari bahagian ini pula dapat dibuktikan bahawa Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama besar yang juga bijak dalam ilmu tafsir al-Quran.

Demikian panjang yang dibicarakan dalam bab al-Mahabbah, pada muka 61, baru memasuki bab Pada Menyatakan Berhadap Hamba Kepada Allah Dan Kembali Kepada-Nya. Mulai bab ini dan dua bab selepasnya semuanya membicarakan tasawuf, saya langkaukan saja, hingga masuk membicarakan bulan penting dalam Islam.

Selain terjadi pelbagai peristiwa, dianjurkan pula pelbagai amalan tertentu yang dikerjakan dalamnya. Mengenai ini dimulai mengenai pada muka 74. Perbicaraan mengenai Rejab termasuk peristiwa Israk dan Mikraj yang terjadi pada bulan ini.

Perbicaraan selanjutnya mengenai Syaaban dengan pelbagai kelebihannya, termasuk yang terkenal Nisfu Syaaban (muka 91 hingga 100). Seiringan Rejab dan Syaaban, puncak amalan ibadah kaum Muslimin ialah Ramadan, yang mana Muslimin wajib berpuasa. Semua kelebihan ibadah dalam bulan Ramadan disebut oleh Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani secara terperinci, termasuk bahasan mendalam mengenai "Lailah al-Qadar" yang disebut dalam al-Quran bahawa beribadah di dalamnya menyamai 1,000 bulan, iaitu lebih kurang 83 tahun. Zulhijjah juga dibicarakan. Ibadah dalam Zulhijjah selain wajib haji dan umrah, ada pelbagai amalan sunat seperti takbir dan puasa sunat 10 hari.

Mengenai Muharam, terutama hari Tasu'a dan 'Asyura (9 dan 10 Muharam) dibahas Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani secara khusus.

Masih banyak perkara yang dibicarakan dalam Jam'u al-Fawaid saya tinggalkan. Saya simpulkan bahawa khusus membicarakan kelebihan bulan Islam, ternyata karya Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani itu adalah satu-satunya dalam bahasa Melayu, tidak ada kitab lain seumpamanya.

Enter supporting content here