Sinar Online
 
|| Fokus || Feqah || Santapan Rohani || Sirah || Tauhid || Renungan ||
 

Bicara Kekuatan
 
        Satu hari saya bertemu dengan seorang insan yang benar-benar telah membangkitkan saya dari mimpi yang  mendodoi-dodoi hidup. Mungkin Allah ingin memberi peringatan kepada saya melalui kehadirannya. Insan ini acapkali berbicara tentang kekuatan jiwa hingga kadangkala saya kelu lidah untuk menjawab soalan-soalannya tentang kekuatan jiwa. Di mana datangnya kekuatan jiwa? Kenapa sesetengah orang tampak begitu gagah menghadapi cabaran meskipun keadaannya serba kekurangan dan mengapa pula sesetengah orang yang serba-serbi cukup boleh hanyut dalam dugaan-dugaan hidup? Mengapa sesetengah orang mampu tersenyum bila diduga dan separuh yang lain menangis teresak-esak?

        Saban malam saya memerah otak mencari jawapan yang hakiki hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Akhirnya saya temui jawapannya dalam majlis ilmu di kalangan sahabat-sahabat karib saya…

        Orang yang serba kekurangan lebih pergantungannya kepada Allah umpama musafir yang berkelana seorang diri di sahara tanpa tahu nasibnya di hari muka. Hanya pada Allah tempat berharap hanya pada Allah tempat bertawakkal. Mereka menangis mengadu nasib kepada Allah, mereka gembira apabila mendapat nikmat Allah dan mereka bersyukur kepadanya. Mereka tahu hanya Allah yang memahami hati dan jiwa mereka dan hanya Allah yang berkuasa mengubah jiwa mereka.

        Orang yang cacat pula maklum diri mereka ada kekurangan dan kekurangan itu tidak mungkin dapat dicukupkan sepenuhnya melainkan oleh Allah. Mereka akur bahawa inilah takdir mereka dan mahu atau tidak terpaksa dihadapi.

        Orang yang nampak dirinya serba cukup tetapi sentiasa terasa lemah bila menghadapi dugaan adalah insan yang hakikatnya kuat jika ia beranggapan bahawa ia hamba dan segala kecukupan pada dirinya adalah milik Allah dan kecukupan itu digunakan pada mencari keredhaan Allah. Umpamanya seorang berada yang serba lengkap tetapi tidak terikat dengan kesenangannya dan tidak berat membelanjakan harta pada mencari redhaNya. Akan tetapi jika serba serbi cukup tetapi masih terasa kurangnya nikmat yang diberikan oleh Allah dan terasa lemah kerana tidak mampu untuk mengaut lebih nikmat Allah maka orang ini adalah orang yang sebenar-benar lemah jiwanya. Apabila nikmat yang diberi oleh Allah dirasakan tidak cukup, umpamanya elaun bulanan dirasakan sedikit meskipun hakikatnya dia mampu hidup dengan jumlah itu maka sesungguhnya rezeki yang diperolehi itu kurang berkatnya. Mungkin banyak wang yang dibelanjakan ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya atau pembaziran berlaku.
 
        Satu perkara yang menarik untuk saya utarakan ialah perkaitan antara airmata dan kekuatan. Kerap air mata dikaitkan dengan wanita dan kelemahan tetapi realitinya itu salah. Air mata adalah sumber kekuatan mukminin dan mukminaat sejati. Masakan tidak , segelas air mata takwa sudah cukup memadamkan marak api neraka yang membakar. Bila saya fikirkan semula ini adalah kelebihan wanita yang secara fitrahnya lebih mudah mengalirkan air mata daripada lelaki. Apabila wanita berkenaan menangis mengenangkan betapa lemahnya ia berbanding kekuasaan Allah air matanya sudah menjadi saksi ia di hadapan Allah. Matanya akan mengakui ketakwaannya di hadapan Allah. Apabila ia bertaubat menangis mengenangkan dosa-dosanya kelak di hadapan Allah air matanya menjadi bukti taubatnya. Sekuat-kuat manusia ialah mereka yang menangis di seorang diri sambil mengadu nasib kepada tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Lembut.

        Justeru tidaklah air mata lambang kelemahan bahkan boleh menjadi sumber kekuatan umat Islam. Tetapi jika air mata dialirkan untuk menagih simpati manusia dan untuk menarik perhatian orang maka inilah airmata yang tiada gunanya dan kalau tidak kena gayanya membawa kepada perkara-perkara yang mendatangkan dosa umpamanya wanita yang sengaja menangis teresak-esak untuk menarik perhatian lelaki dan lain-lain tujuan lagi.

        “Ya Allah tunjukkanlah yang hak itu sebagai hak dan berikanlah kami kekuatan untuk mengikutinya dan tunjukkanlah yang bathil itu sebagai bathil dan berikanlah kami kekuatan untuk menjauhinya, sesungguhnya engkaulah pemilik segala kelebihan” Amin….
 


 
|| Fokus || Feqah || Santapan Rohani || Sirah || Tauhid || Renungan ||