Sinar Online
 
|| Fokus || Feqah || Santapan Rohani || Sirah || Tauhid || Renungan ||
 

Fokus
 
Sempena Aidil Adha, Sinar telah mengadakan wawancara khas dengan Syeikh Abdullah, imam masjid Heidelberg, Victoria untuk membincangkan dan menyingkap rahsia-rahsia di sebalik sambutan hari yang mulia ini. Ikutilah sebahagian dari wawancara kami bersama beliau, yang telah dialih bahasakan

Sinar: Mengapakah kita menyambut aidil adha.

Syeikh Abdullah: Terdapat beberapa sebab mengapa kita menyambut aidil adha.Yang pertama adalah kerana kita mengikuti bapa kita Nabi Ibrahim alaihisalam yang mula-mula merayakannya.Yang kedua adalah untuk melahir rasa syukur kita terhadap Allah Taala kerana telah memberi peluangan kepada kita menunaikan salah satu rukan islam yang lima. Jika aidilfitri disambut setelah selesai menunaikan ibadah puasa di bulan ramadhan dan zakat fitrah, aidil adha pula disambut bersempena dengan ibadah haji. Sebagai seorang yang beriman kita rasa bersyukur kerana allah memberi peluang untuk terus beribadah. Perhatikanlah berapa ramai manusia yang lain yang tidak dapat menunaikan ibadah ini kerana tidak berupaya “physically” ataupun tiada hidayah keimanan. Sebab yang lain adalah kerana, pada masa Rasullullah S.A.W sampai di Madinah, baginda mendapati penduduk Madinah maraikan dua perayaan yang dipenuhi dengan acara nyanyian, tarian, jamuan makanan dan minuman, serta pelbagai permainan yang lain. Melihat situasi sebegini, Rasullullah bersabda yang lebih kurang maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan  dua hari perayaan (aidil fitri dan aidil adha) yang lebih baik dari perayaan yang kamu sambut ini ”. Lantaran itulah, aidil fitri dan aidil adha di sambut oleh seluruh umat islam.

Sinar: Apakah amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari ini.

Syeikh Abdullah: Pertama, kita membersihkan diri pada awal pagi, mandi sunat aidil fitri atau pun aidil adha. Kita memakai pakaian yang bersih dan pakaian yang menutup aurat. Jangan makan sehingga selesai menunaikan solat sunat aidil adha. Berbeza dengan hari raya fitri kita disunatkan makan sedikit dahulu sebelum pergi bersembahayang sunat aidil fitri, tetapi aidul adha kita disunatkan jangan makan sehingga kita selesai menunaikan solat sunat hari raya. Apabila sampai di tempat solat, jangan gopoh mencari tempat duduk , jangan sampai menyinggung dan mengganggu
jemaah yang lain. Duduk di mana-mana ruang yang ada. Kita juga disunatkan bertakbir. Pada bila-bila masa, ketika memamdu, berjalan-jalan atau sekadar berehat-rehat. Untuk aidil adha kita disunatkan bertakbir  bermula dari waktu maghrib raya pertama sehingga selesai hari-hari tasyrik. Tetapi untuk aidil fitri kita disunatkan bertakbir pada satu syawal sahaja.
    Solat sunat hari raya digalakkan dihadiri oleh semua orang islam., lelaki, perempuan, dewasa ataupun kanak-kanak. Hatta, wanita yang di dalam haid pun digalakkan untuk hadir dan berkumpul sekadar mendengar khutbah hari raya. Setelah selesai solat, dan pulang ke rumah masing-masing, kita disunatkan untuk mengambil jalan yang berlainan dari jalan yang kita gunakan untuk pergi bersolat tadi. Kita juga disunatkan untuk menyembelih binatang qurban, lembu, unta, kambing dan lain-lain. Jangan lupa untuk mengziarahi saudara-saudara dan sahabat taulan kita yang lain. Terutamanya saudara-saudara kita yang kurang kemampuan.

Sinar: Adakah amalan menziarahi kubur, yang sering dilakukan oleh orang-orang Islam di Malaysia, digalakkan pada pagi hari raya.

Syeikh Abdullah: Amalan menziarahi kubur adalah amalan yang baik. Tetapi ianya tidak sesuai dilakukan pada hari raya. Tujuan menziarahi kubur adalah untuk kita mengingati hari kemudian hari pembalasan . Suatu hari nanti kita pasti ke sana juga. Dan ianya boleh dilakukan pada bila-bila masa. Setiap minggu misalnya, tetapi kenapa harus diadakan pada hari raya. Hari raya adalah hari untuk kita bergembira setelah selesai menunaikan ibadah utama dalam islam. Kadang-kadang kita mencampur adukkan adat-tradisi dengan ibadah, itulah yang menyebabkan keadaaan seperti ini berlaku.

Sinar: Bolehkah Syeikh Abdullah mengaitkan kepentingan aidil adha dengan kehidupan kita seharian.

Syeikh Abdullah: Terdapat banyak kepentingan hari ini untuk difikirkan bersama, tetapi mungkin yang boleh saya fikirkan pada masa ini adalah, tentang betapa gahnya perhimpunan yang sedang berlaku di tanah suci Makkah. Betapa ramai manusia dari serata dunia datang semata-mata mencari keredhaan Allah dengan melakukan ibadah haji dan pelbagai ibadah yang lain. Kita perhatikan jemaah haji yang datang itu sama sahaja pakaiannya dan tuntutannya. Tidak kira darjat dan keturunannya, raja, pegawai besar ataupun pekerja biasa. Semuanya sama sahaja. Begitulah kita di sisi Allah, hanya ketakwaan kepadaNya sahaja yang membezakan kita.
 
Sinar: Apakah nasihat Syeikh Abdullah kepada pembaca sinar untuk menghidupkan suasana hari raya di sini.

Syeikh Abdullah:  Di Australia kita adalah golongan minoriti, jadi kalau hendak dibandingkan sambutan hari raya baik aidil fitri ataupun aidil adha memang banyak perbezaannya. Di negara yang majoriti penduduknya adalah umat islam seperti Malaysia ataupun Arab saudi, kita memang dapat merasakan suasana perayaan dengan jelas. Di sini, suasana sebegitu memang tidak dapat dirasakan sekiranya tiada usaha-usaha untuk menghidupkannya. Cadangan saya kepada semua umat islam yang menyambut hari raya di sini adalah: pertama kita bersedia sebelum hari raya lagi. Luangkan hari itu untuk sambutan perayaan. Sebagai seorang pelajar misalannya, dan hari raya tidak jatuh pada hari cuti sekolah, kalau terlalu sibuk, sekadar meluangkan masa untuk bersolat sunat dan mendengar khutbah mungkin tidak menjadi masalah. Kita boleh memberitahu orang-orang berkenaan tentang kebesaran hari raya di kalangan umat islam. Saya percaya mereka memahaminya. Kedua elakkan dari tidak bercampur dengan masayarakat Islam yang lain. Jangan menyambut hari raya bersendirian atau di dalam kelompok yang amat kecil. Atau tidak ada semangat kemasyarakatan langsung, sehingga tidak mengendahkan perayaan ini. Hari raya tidak datang setiap masa, kenapa harus membiarkan ianya berlalu begitu sahaja? Di samping itu kita jangan lupa untuk menziarahi saudara mara kita yang bersama-sama menyambut hari ini. Elakkan diri dari melakukan perkara yang boleh menyinggung perassan mereka. Kita berpakaian ‘baru’ dan melemparkan wajah yang manis kepada mereka. Amalan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan adalah suatu amalan yang mulia. Tapi kita perlu ingat pergaulan dan sambutan itu, janganlah sampai melibatkan perkara-perkara yang di luar batasan yang dibenarkan oleh Allah Taala dan RasulNya.
 
 
Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada engkau, dengan berjalan kaki dan (hatta) menaiki menaiki unta kurus, mereka akan datang dari segenap pelusok dunia (untuk mengerjakan haji) 
Al Hajj-27
 
 


 
|| Fokus || Feqah || Santapan Rohani || Sirah || Tauhid || Renungan || Koleksi Sinar ||